Rabu, 31 Januari 2024 | 10:10am
Kejernihan air di Tasik Kenyir yang menghijau begitu memukau dan menyejukkan mata. - Foto hiasan
Kejernihan air di Tasik Kenyir yang menghijau begitu memukau dan menyejukkan mata. - Foto hiasan
Pesona flora dan fauna menjadikan Tasik Kenyir destinasi digemari pengunjung. - Foto hiasan
Pesona flora dan fauna menjadikan Tasik Kenyir destinasi digemari pengunjung. - Foto hiasan
Kaki tangan UMT mengadakan program pendidikan bersama anak Orang Asli Semaq Beri, di Tasik Kenyir, baru-baru ini. - Foto/Ihsan UMT
Kaki tangan UMT mengadakan program pendidikan bersama anak Orang Asli Semaq Beri, di Tasik Kenyir, baru-baru ini. - Foto/Ihsan UMT
Khazanah alam yang cantik di Tasik Kenyir masih terpelihara. - Foto/Ihsan UMT
Khazanah alam yang cantik di Tasik Kenyir masih terpelihara. - Foto/Ihsan UMT

Pesona flora, fauna dan biodiversiti Tasik Kenyir memukau

KEINDAHAN flora dan fauna serta kekayaan biodiversiti di Tasik Kenyir, Terengganu, tidak dapat disangkal lagi.

Kicauan beburung di hening pagi begitu mengujakan dan ia seakan menggamit memori zaman silam sebelum internet diperkenalkan secara meluas.

Kejernihan air yang menghijau begitu memukau dan menyejukkan mata siapa sahaja yang memandang.

Memiliki 340 pulau sememangnya menyerlahkan lagi gelaran yang menjadi bualan ramai bahawa tasik buatan manusia itu adalah tasik terbesar di Asia Tenggara.

Dengan berkeluasan 260 kilometer persegi, ia cukup bagi menampung air tawar bagi kegunaan janakuasa tenaga hidro elektrik yang dibina pada sekitar 1980an.

Bagi tujuan itu, kira-kira sembilan kampung 'dikorbankan' yang mana dahulunya dihuni oleh penduduk iaitu Kampung Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing.

Kini Tasik kenyir menjadi salah sebuah destinasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong.

Impak penubuhan empangan Jenagor membawa limpahan rezeki kepada penduduk sekitar Hulu Terengganu itu.

Keunikan sering menjadi tumpuan pengunjung seperti Taman Herba, air terjun, taman rama-rama, taman orkid, Gua Bewah, santuari kelah dan pelbagai lagi. Ternyata penawaran perkhidmatan rumah bot yang menjadi trend percutian berkumpulan merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat selain menawarkan pakej istimewa buat kaki pancing.

Lebih menarik apabila terdapat komuniti Orang Asli Semaq Beri turut menjadikan sebahagian kawasan Taman Negeri Kenyir sebagai tempat untuk membina kehidupan.

Kekayaan hasil hutan di kawasan itu memberi nilai ekonomi kepada kira-kira 500 komuniti orang asli menjualnya kepada pihak lain.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Khatijah Omar, komuniti Orang Asli itu perlu dibantu dalam usaha meningkatkan kualiti hidup serta keseimbangan sosio ekonomi.

"Suku kaum Orang Asli di Tasik Kenyir adalah saling berkait dengan suku yang lain melalui jalur Tasik Kenyir ke Kuala Tahan.

"UMT lakukan projek rintis kepada komuniti Orang Asli Semaq beri dengan menganjurkan program galakan pertanian, penghasilan barangan kraftangan dan sebagainya bagi tujuan memperkasakan ekonomi komuniti Orang Asli.

Perkenalkan 'jungle school'

Dari aspek pendidikan, Prof Khatijah berkata, pihaknya memperkenalkan sekolah khas dinamakan sebagai 'jungle school'.

"Kita melihat Orang Asli golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan dan usaha kita mewujudkan Sekolah Rimba atau 'Jungle School' selari dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4 (menjamin pendidikan menyeluruh dan sama rata serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat).

Menurutnya, masih terdapat kanak-kanak Orang Asli yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

"Slot pembelajaran dirangka dan dilaksanakan sebanyak 20 slot diisi dengan kandungan pembelajaran santai dalam usaha menarik minat anak-anak Orang Asli untuk belajar.

Antara pengisian slot pembelajaran berkenaan adalah Hutan Ini Milik Kita, Pasar Borong, Sing Along, Jom Masuk Hutan, Treasure Hunt & Show and Tell".

Berita Harian X