Isnin, 15 Januari 2024 | 1:43pm

Lebih 80 basikal klasik 'Pak Lang G' curi tumpuan

MEMASUKI perkarangan rumah pasangan warga emas di Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang ini, membuat sesiapa sahaja teruja apabila melihat berpuluh-puluh basikal klasik tersusun indah di situ.

Terus terbayang, inilah antara pengangkutan utama digunakan kebanyakan nenek moyang kita dahulu bergerak dari satu tempat ke tempat.

Keluar ke pasar membeli barangan, menyelesaikan urusan penting di pejabat kerajaan mahupun menghantar anak-anak ke sekolah banyak menggunakan basikal.

Pengangkutan itu menggambarkan penat jerih generasi terdahulu sebelum merdeka yang taraf hidup sederhana, namun kehidupan mereka berjalan dalam keadaan cukup bahagia walaupun serba kekurangan.

Justeru, mahu mengimbau nostalgia orang-orang lama mendorong pasangan suami isteri, Ahmad Fauzi Ismail, 62, dan isterinya, Jamilah Saaud, 60, mengumpul koleksi basikal klasik sejak empat tahun lalu.

Mereka berkongsi minat sama sentiasa memberi sokongan walaupun masing-masing kini memasuki fasa usia senja.

Bapa lima anak itu berkata, pada mulanya, isterinya langsung tidak meminati basikal klasik bahkan pernah memarahinya berikutan hobi mahal yang dianggap membazir.

"Namun, lama-kelamaan dia mula menerima hobi saya dan jadi minat dengan basikal klasik hingga turut sama mengumpul koleksi.

"Malah, isteri mengikuti saya dalam program membabitkan basikal klasik terutamanya sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Antara basikal klasik milik Ahmad Fauzi yang disimpan di kediamannya di Jalan Permatang Sungai Dua. - NSTP/Danial Saad
Antara basikal klasik milik Ahmad Fauzi yang disimpan di kediamannya di Jalan Permatang Sungai Dua. - NSTP/Danial Saad

Membaiki sendiri basikal ketika ditemui di kediamannya di Jalan Permatang Sungai Dua. - NSTP/Danial Saad
Membaiki sendiri basikal ketika ditemui di kediamannya di Jalan Permatang Sungai Dua. - NSTP/Danial Saad

"Sehingga kini, saya mempunyai lebih 80 koleksi basikal dan daripada jumlah itu 45 koleksi adalah basikal klasik yang beli dan kumpul melalui ekspedisi saya ketika mengunjungi beberapa negeri semasa mengikuti program berkaitan basikal klasik.

"Ada juga beberapa basikal klasik yang diwakafkan kepada saya kerana pemiliknya mengetahui niat saya mahu nilai basikal orang lama dapat terus disaksikan generasi milenium hari ini yang membuatkan amat terharu," katanya.

Nostalgia zaman bersama arwah ayah

Ahmad Fauzi yang mesra disapa 'Pak Lang G', berkata dia mula meminati hobi mengumpul basikal klasik sejak empat tahun lalu berikutan mengingati nostalgia bersama arwah bapanya.

"Kebetulan basikal lama yang dinaiki saya ketika di bangku sekolah masih ada dan boleh digunakan sehingga hari ini yang ia mengimbau kenangan bersama arwah ayah dahulu yang bersusah payah membesarkan saya walaupun keadaan yang serba kekurangan.

"Bermula dari situ tercetusnya minat untuk mencari dan kumpul lebih banyak basikal klasik hingga saya memiliki puluhan koleksi diletakkan di hadapan serta dalam rumah sekali gus menjadi perhatian orang ramai melalui kawasan perumahan hinggakan ada yang berhenti untuk beli tetapi saya tidak menjualnya.

Koleksi basikal paling lama 1946

"Setiap kali menjelang Ogos sempena Hari Merdeka, saya juga akan menghias basikal ini dengan Jalur Gemilang yang secara tidak langsung mengujakan penduduk sekeliling yang mereka datang untuk bergambar, selain mahu mencuba menunggang basikal klasik ini," katanya.

Dia turut menawarkan perkhidmatan sewa basikal klasik terutama kepada pasangan pengantin dan produksi filem atau drama dan separuh bayaran diterima digunakan untuk kos penyelenggaraan basikal manakala selebihnya didermakan untuk tabung masjid.

"Tidak sangka asalnya hanya hobi, tapi dapat juga menjana pendapatan sampingan dan secara tidak langsung berpeluang melakukan kebajikan.

"Kadar sewa tidaklah mahal dan masih boleh berunding kerana saya tidak mahu membebankan sesiapa kerana objektif saya mahu basikal klasik ini akan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat," katanya memaklumkan koleksi paling lama dimilikinya adalah basikal klasik tahun 1946.

Cadang tubuh kelab basikal klasik

Ahmad Fauzi juga berkhidmat sebagai penggali kubur berkata, dia bercadang menubuhkan persatuan bagi menghimpunkan pengumpul dan peminat basikal klasik, suatu hari nanti.

"Sebenarnya barang 'rare' memang akan ada pengumpul dan peminatnya kerana nilai sentimental yang ada pada barang berkenaan.

"Basikal klasik ada pengumpul dan peminatnya yang boleh lihat banyak kelab ditubuhkan.

"Saya bercadang menubuhkan persatuan atau kelab pencinta basikal supaya lebih terurus dan dapat beri manfaat kepada semua masyarakat," katanya.

Isteri sokong minat Pak Lang G

Ahmad Fauzi bersama isterinya, Jamilah berkongsi minat sama terhadap berbasikal klasik. - NSTP/Danial Saad
Ahmad Fauzi bersama isterinya, Jamilah berkongsi minat sama terhadap berbasikal klasik. - NSTP/Danial Saad

Bagi Jamilah, minat suaminya mengheret dirinya untuk mencintai basikal klasik, justeru sentiasa menyokong usaha itu.

Dia bangga inisiatif dan hobi suaminya dapat menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

"Memang dahulu saya marah bila suami terjebak dalam hobi ini, tetapi lepas nampak banyak kebaikan terutama mendekatkan masyarakat terhadap nilai patriotisme dan menggembirakan mereka, saya sedar minat suami ini begitu berharga.

"Dari basikal klasik ini, masyarakat nampak jasa nenek moyang kita terdahulu susah dan basikal menjadi pengangkutan utama untuk ke sana sini hingga melahirkan cerdik pandai yang membangunkan negara pada hari ini," katanya.

Berita Harian X