Sabtu, 13 Januari 2024 | 4:38pm

Orang ramai teruja saksikan fenomena air pasang besar di Tanjung Piai

PONTIAN: Fenomena air pasang besar yang bermula hari ini di Tanjung Piai, di sini, menjadi tarikan pengunjung dan produk pelancongan di kawasan itu, setiap tahun.

Tinjauan di Taman Negara Tanjung Piai yang juga titik penghujung benua Asia mendapati limpahan air pasang besar memenuhi perkarangan pintu masuk taman berkenaan bermula tengah hari tadi.

Pengunjung yang sudah menunggu fenomena itu sejak awal pagi dilihat teruja apabila kawasan tangga di taman itu berubah menjadi air terjun berikutan limpahan air pasang besar dan mengambil kesempatan bermain air dan bermandi-manda.

Pengunjung dari Kampung Serkat di sini, Naimah Md Yusof, 39, berkata ramai penduduk setempat dan pengunjung luar sememangnya menantikan kehadiran fenomena air pasang besar di Taman Negara Tanjung Piai.

"Memang ramai pengunjung setempat dan luar akan datang ke sini setiap kali fenomena air pasang besar apatah lagi Taman Negara Tanjung Piai memang menjadikannya aktiviti tahunan dalam kalendar pelancongan mereka.

"Selalunya fenomena ini berlaku pada Disember menjelang tahun baharu namun tahun ini ia beranjak pula ke Januari.

"Anak-anak paling gembira kerana dapat bermain air dan bermandi manda bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, Syukor Jahuri, 26 dari Kampung Tanjung Piai pula tidak melepaskan peluang untuk merasai pengalaman fenomena berkenaan.

"Saya sebenarnya tak pernah melihat sendiri fenomena air pasang besar berlaku kerana selalunya sibuk bekerja dan kurang gemar keluar ke kawasan tumpuan ramai.

"Namun tahun ini tergerak hati nak merasai pengalaman unik berekreasi bersama keluarga ketika fenomena ini apatah lagi Taman Negara menyediakan fasiliti khas buat pengunjung bermain air dan bermandi mandi ketika ia melanda," katanya.

Wakil Taman Negara Johor Tanjung Piai, Mohd Sidiq Sumar, berkata lebih 500 pengunjung direkod melawat taman negara itu bermula tengah hari tadi bagi menikmati fenomena air pasang besar yang bermula semalam.

Katanya, berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air pasang besar di situ mencecah paras 3.6 meter (m) dari aras laut namun ia tidak merbahaya kepada pengujung yang datang berikutan fasiliti khas disediakan bagi kemudahan pengunjung menikmati pengalaman fenomena unik itu.

"Fenomena hanya berlaku setahun sekali dan ia menjadi tarikan pengunjung apatah lagi selepas pihak kami menyediakan fasiliti khas terutama tangga dan tempat duduk bagi pengunjung bermain air dan bermandi mandi.

"Fenomena air pasang besar selalunya bermula tengah hari sebelum beransur surut kira-kira jam 2.30 petang.

"Namun, kawalan dan pemantauan akan terus dilakukan oleh kakitangan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjaga," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pekan Kukup tidak jauh di situ, mendapati air pasang besar melimpah sehingga ke laluan utama.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan pergerakan penduduk dan pelancong yang dilihat turut bermain air di kawasan jalan raya yang ditenggelami fenomena itu.

Selain, Tanjung Piai dan Kukup, fenomena air pasang besar turut melanda kawasan Benut. Namun setakat ini, keadaan terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka susulan fenomena itu.

 Fenomena air pasang besar yang berlaku hari ini menjadi tarikan pelancong dan penduduk setempat mahupun dari luar bersama-sama bermain air di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian Johor. Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Fenomena air pasang besar yang berlaku hari ini menjadi tarikan pelancong dan penduduk setempat mahupun dari luar bersama-sama bermain air di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian Johor. Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X