Isnin, 18 Disember 2023 | 11:15am
Kopi Sawah-kedai kopi ditengah-tengah bendang di Sekinchan, Selangor. - Foto Bernama
Kopi Sawah-kedai kopi ditengah-tengah bendang di Sekinchan, Selangor. - Foto Bernama

Jom ngopi dulu baru ke sawah

SAWAH dan Sekinchan berpisah tiada dan sebagai pelengkap, secawan kopi sebelum ke bendang.

Rutin pesawah di kawasan jelapang padi Selangor ini menjadi inspirasi tiga sahabat - Muhammad Izzat Zakwan Samudin, Muhammad Redzuani Ismail dan Mohammad Faqhrul Nisyam Ismail untuk membuka kedai kopi di tengah-tengah bendang tatkala ramai usahawan muda lain memilih kafe berkonsep hipster.

Berpadanan dengan nama kedai, iaitu "Kopi Sawah", anak muda yang masing-masing berusia 25 tahun dan bersahabat sejak sekolah rendah ini mengetengahkan slogan "ngopi dulu baru ke sawah", strategi yang nyata berjaya apabila kedai kopi itu menjadi tumpuan penduduk setempat dan pengunjung luar.

Mula beroperasi pada penghujung 2021, kedai kopi terletak di Jalan Parit 8, Kampung Sungai Leman, Sekinchan, iaitu kira-kira 100 kilometer dari ibu negara, memberikan pengalaman menarik kepada pelanggan yang ingin bersantai dalam suasana damai sawah padi.

Nyaman bersulam pahit manis kopi

Pengalaman itu dilalui sendiri oleh penulis yang berkesempatan berkunjung ke Kopi Sawah baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, hidangan kopi yang ditawarkan juga menepati cita rasa penulis, iaitu pahit, manis dan berlemak, satu keseimbangan di dalam cawan.

Kopi Sawah, menawarkan keseimbangan rasa pahit, manis dan berlemak di dalam cawan. - Foto Bernama
Kopi Sawah, menawarkan keseimbangan rasa pahit, manis dan berlemak di dalam cawan. - Foto Bernama

Kehijauan sawah padi seluas mata memandang dan kesegaran udara kampung sambil menghirup kopi sejuk di bawah payung besar, membuatkan lelah penulis memandu dari ibu kota hilang begitu sahaja.

"Sebagai anak jati Sekinchan, kami bangga dapat mengangkat tempat kelahiran kami ke tahap lebih tinggi di mata pelawat.

Daerah ini sudah dikenali sebagai kawasan sawah padi negara dan perniagaan kami adalah simbolik cara hidup pesawah di sini yang menjadi kebanggaan kami.

"Amalan 'ngopi dulu baru ke sawah' adalah tradisi orang lama di sini yang akan menikmati secawan kopi terlebih dahulu sebelum turun ke bendang," jelas Muhammad Izzat Zakwan.

Bercerita lanjut, anak pesawah itu berkata beliau mengembangkan idea perniagaan itu bersama-sama sahabatnya Muhammad Redzuani ketika masing-masing bekerja sambilan sebagai pembantu kedai makan dan penghantar makanan.

"Kami baru tamat pengajian, saya daripada Universiti Sultan Zainal Abidin dan Redzuani daripada Universiti Pertahanan Nasional.

Langsung tidak ada pengalaman berniaga, modal pun tidak ada.

"Berbekalkan keazaman yang tinggi, kami memberanikan diri untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan dengan menyewa tanah di sini dan seterusnya tertubuh Kopi Sawah," katanya.

Bermodal RM8,000, mereka berdua membangunkan perniagaan itu dengan beliau menjual kopi sementara Redzuani menawarkan ayam goreng Korea.

"Kami kemudian mengajak Faqhrul Nisyam yang ketika itu tidak mempunyai pekerjaan tetap, untuk turut serta," tambahnya.

Sambung anak ketiga daripada enam beradik itu lagi, memahami kekangan modal mereka, ahli keluarga serta penduduk kampung turut membantu membina kedai mereka, yang secara langsung mencerminkan keakraban hubungan komuniti setempat.

Barista yang tak suka kopi

Ironinya, Izzat Zakwan bukan penggemar kopi, namun disebabkan oleh trend semasa yang menyaksikan percambahan premis menjual kopi dari kafe hipster hingga ke gerai tepi jalan, anak muda itu nekad untuk menghasilkan minuman kopi dengan rasa tersendiri.

"Nak bancuh kopi sukar bagi individu seperti saya yang tidak suka minum kopi dan susu.

Tetapi sebab sukakan cabaran, saya belajar secara tidak rasmi melalui Facebook selain turut menyertai kumpulan komuniti barista di laman sosial itu.

"Secara kebetulan, saya berkenalan dengan seorang pembekal serbuk kopi. Beliau kemudian memberikan saya idea untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan minuman ini menggunakan serbuk kopi keluarannya," kongsi Izzat Zakwan, menambah beliau berjaya menghasilkan kopi dengan rasa yang diingini dalam tempoh dua minggu, dan tanpa menggunakan mesin kopi.

Anak muda yang mengusahakan perniagaan Kopi Sawah. - Foto Bernama
Anak muda yang mengusahakan perniagaan Kopi Sawah. - Foto Bernama

Menu di kedai itu, beliau berkata selain minuman kopi "signature" Kopi Sawah yang dihidangkan sama ada sejuk atau panas, mereka juga menawarkan minuman lain termasuk kopi kampung atau kopi O, minuman coklat sejuk dan soda.

"Juga ada pelbagai makanan seperti laksa utara, bihun sup, mi kari, ayam goreng Korea, keropok lekor dan pelbagai kuih-muih Melayu.

"Kebanyakan makanan berkenaan adalah air tangan penduduk kampung Sungai Leman yang pastinya menepati cita rasa pelanggan.

Sokong penduduk setempat

Promosi mereka melalui hebahan "mulut ke mulut" dan laman sosial masing-masing.

Tahun pertama pembukaannya penduduk kampung antara pelanggan tetap yang kemudian mengajak kenalan dari daerah berjiran untuk datang menikmati kopi di situ.

"Berkat sokongan penduduk kampung, kamu mula dikenali apabila mereka memuat naik gambar di laman sosial dan menjadi tular.

Izzat Zakwan berkata, mereka menggaji pelajar sebagai pekerja sambilan terutama pada hari minggu dan cuti sekolah dan beroperasi 12 tengah hari hingga 7 malam setiap hari.

Di sini juga dibina jurus pandang (view point) bertingkat membolehkan pelanggan menikmati pemandangan Sekinchan, selain menjadi lokasi pengunjung merakam gambar atau bahasa slanga anak muda "port untuk ber-OOTD" (tempat merakam gambar dengan pakaian yang dikenakan pada hari itu).

"Ramai pelanggan menggelarkan kedai kami sebagai 'the hidden gem' Sekinchan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X