Gema Aidilfitri semakin terasa sekali gus hati melonjak sama untuk meraikan.
Tambah meriah pusat beli-belah menghiaskan ruangnya dengan dekorasi dan alunan lagu-lagu berlatar belakangkan suasana hari raya, sekali gus membangkitkan mood kita menyambut lebaran.
Terokai keriangan dan keindahan sambutan Aidilfitri dengan melihat dekorasi, berbelanja pakaian, kuih raya dan kelengkapan rumah di 10 pusat beli-belah di ibu kota.
1. Suria KLCC
KLCC terletak di tengah bandar Kuala Lumpur, membawa pengunjung mengimbau suasana perayaan berinspirasikan suasana perkampungan nelayan di pantai timur untuk tahun ini bermula 24 Mac sehingga 1 Mei ini.
Dekorasi mengetengahkan reka bentuk "Rumah Kampung" tradisional ditumpukan di laman 'Centre Court'.
Keunikan pelbagai dekorasi mengembalikan memori indah di suasana kampung dengan tata landskap jendela yang gah serta atmosfera kampung dengan kewujudan replika pokok kelapa.
Selain disediakan aktiviti interaktif wayang kulit, permainan tradisional seperti teng teng, gasing dan congkak serta alunan muzik lebaran dilaungkan di perkarangan pusat beli-belah bagi menceriakan suasana Aidilfitri.
Replika pelita terbesar di Malaysia berukuran setinggi 50 kaki ditampilkan sekali lagi di laman "Esplanade KLCC" yang tercatat dalam Malaysia Book of Records pada 2022 (replika pelita terbesar dan tertinggi di Malaysia).
2. Avenue K
Berlatar belakangkan ciri-ciri Marrakesh pusat beli-belah Avenue K, di Jalan Ampang, menampilkan seni kuno dan ketukangan moden bertemakan Vivid Raya.
Dekorasi permaidani terbang gergasi dengan lampu berwarna-warni bergantungan menghiasi gerbang Atrium menggamit pengunjung ke nadi Maghribi dan terpesona dengan keindahan Marrakesh.
Terdapat pameran pinggan mangkuk porselin berseni yang menghiasi dinding kota kuno ini serta karya jubin bagi mencipta latar belakang yang sesuai untuk bergambar.
Di kawasan lapang elegan dengan ruang lounge peribadi di taman dilitupi kehijauan pokok palma, selain alunan muzik Gamelan, Angklung, Cak Lempong dan muzik kontemporari.
Tarian Melayu dipersembahkan secara langsung menggambarkan budaya, adat dan tradisi Melayu, selain seni kaligrafi Jawi dilukis untuk menghasilkan seni menarik untuk dibawa pulang, bermula 24 Mac hingga 21 April.
3. Pavilion Bukit Jalil
Bertemakan Meriah Raya, dekorasi indah menampilkan kepelbagaian warna pastel membangkitkan 'mood' musim perayaan. Disematkan gubahan pelbagai bunga dan kabin untuk kenangan gambar yang digayakan dengan suasana rumah kampung.
Dimeriahkan lagi dengan 3 arca bersaiz besar Garfield yang menanti kehadiran pengunjung ke Pavilion Bukit Jalil.
Pengalaman meriah raya dirasai dengan lebih 400 kedai untuk melengkapkan misi membeli-belah anda, selain menyediakan pilihan untuk sesi berbuka puasa.
4. The Curve
The Curve memilih tema 'Nostalgia Raya' dengan dekorasi hiasan sawah padi yang indah, pastinya membawa anda mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanak bersama keluarga tersayang.
Terletak di Petaling Jaya, hanya 20 minit dari Kuala Lumpur, tambah dirasai apabila halwa telinga pengunjung dialunkan persembahan muzik nostalgia raya.
Pengunjung boleh mendapatkan pilihan jenama tempatan dan trend moden penuh nostalgia meliputi koleksi fesyen, barangan kecantikan, kelengkapan rumah dan barangan kemas, di samping menawarkan pelbagai baucar ketika membeli-belah untuk persiapan Syawal.
5. Pusat beli-belah One Utama
Raikan Aidilfitri anda dengan 'Sinar Estetika Aidilfitri' di pusat belah-belah ini dengan semangat Aidilfitri yang ceria, diilhamkan oleh budaya Asia Barat.
Lawati Bazar Raya yang meriah di kawasan Oval dan 'Center Court' untuk mendapatkan trend fesyen terkini serta pelbagai juadah raya seperti rendang dan kuih bahulu atau hidangan Turki yang asli.
Jangan lepaskan peluang ganjaran Estetika dengan hadiah menarik menerusi pelbagai peraduan dan promosi diadakan.
6. Sunway Pyramid
Tahun ini, si Singa sudah mengubah Sunway Pyramid menjadi pesona nostalgia cahaya perayaan!
Mari beraya sakan di gerai Cahaya Raya mereka dengan produk penjagaan kulit ekslusif yang mampu milik, pakaian tradisional seperti Butik Rimba dan banyak lagi serta menghayati persembahan yang tersedia.
7. SACC MALL
Terletak di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam, SACC Mall menawarkan pengalaman membeli-belah yang menarik untuk seisi keluarga.
Terdapat di keseluruhan tingkat yang menawarkan jenama tempatan dan antarabangsa terkemuka, SACC Mall ialah pusat beli-belah yang wajib dikunjungi oleh pembeli dengan anggaran bajet yang berbeza untuk persiapan Aidilfitri.
Daripada barangan rumah, fesyen terkini hinggalah produk kecantikan, semuanya boleh didapati di sini dengan promosi dan tawaran menarik khas untuk sambutan Aidilfitri!
8. GM Klang Wholesale City
Rioooh Raya bersama GM Klang tahun ini dengan lebih 2,500 kedai yang menawarkan jualan borong dan runcit yang tiada tandingan.
Pembeli boleh merebut peluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM7,300 pada musim perayaan ini melalui pembelian pelbagai produk yang ditawarkan seperti pakaian, fesyen terkini, tekstil, barangan rumah, hiasan rumah dan pelbagai lagi!
9. Mitsui Outlet Park
Salah satu tempat membeli-belah terbaik untuk barangan berjenama, Mitsui Outlet Park menawarkan pelbagai promosi Aidilfitri merentasi lebih 140 kedai dengan harga mampu milik dan eksklusif.
Terletak hanya 6 kilometer dari KLIA dan KLIA2, pembeli boleh melawat kawasan ini dengan mudah untuk membeli-belah di musim perayaan dalam perjalanan untuk Balik Kampung! Pastikan anda merebut hadiah bernilai RM 50,000 untuk dimenangi, pastinya satu tawaran yang tidak boleh dilepaskan!
10. I-CITY MALL
Pusat beli-belah ikonik di Selangor ini pastinya menjadi tumpuan bagi penggemar fesyen pada Hari Raya kali ini, hasil kerjasama istimewa bersama Rizman Ruzaini, antara pereka fesyen legenda di Malaysia dengan tema 'Raikan Raya'.
Dengan lebih daripada 50 jenama tersedia seperti Bulan Bintang dan Elrah, anda boleh beraya sakan di sini dengan tawaran terbaik untuk OOTD Raya anda!