Pasar Terapung Kampung Pulau Tengah di Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian Kelantan, sudah tidak asing dan menjadi pemandangan biasa penduduk tempatan di negeri itu.
Lokasi itu sering dibanjiri pengunjung luar sekali gus mengukir kenangan dan pengalaman berbeza apabila dapat menyaksikan 20 perahu gentian kaca berisi pelbagai aneka makanan serta minuman dijual di situ.
Suasana itu juga saling tak tumpah seperti di pasar terapung di kota Bangkok, Thailand.
Meskipun tidak sehebat Pasar Terapung Damnoen Saduak, Tha Kha, Bang Nam Pheung, Khlong Lat Mayom, Taling Chan dan Amphawa di Bangkok, ia sudah cukup menghiburkan.
Hanya memandu kira-kira 15 minit dari pusat bandar Kota Bharu, pengunjung sampai di Pasar Terapung Kampung Pulau Tengah bagi menyaksikan keindahan Sungai Pengkalan Datu yang mengalir ke muara Pantai Sabak.
Melangkah ke pelantar kayu sepanjang 700 meter ke sungai itu, pengunjung berpeluang berbelanja pelbagai makanan dan minuman disajikan 20 peniaga pasar terapung itu.
Pelantar diperbuat daripada kayu yang tahan air dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan melalui peruntukan kerajaan pada 2019.
Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan program memajukan pasar terapung itu tergendala selama tiga tahun dan hanya mula beroperasi kira-kira dua bulan lalu.
Anggota komuniti Kampung Pulau Tengah berganding bahu memajukan projek pasar terapung berkenaan dengan ditunjangi oleh tenaga penggerak utama, ahli perniagaan produk kosmetik, Azli Mohd Noor, 46.
Sebelum pelantar dibina, ada antara anggota komuniti di kampung menyediakan perkhidmatan bot untuk membawa pelancong menyusuri Sungai Pengkalan Datu hingga muara Pantai Sabak.
Dimajukan untuk tarikan pelancongan
Dengan mengambil konsep pasar terapung di Bangkok, Azli menyediakan 20 perahu gentian kaca dan modal perniagaan kepada 20 peniaga terbabit bagi memulakan perniagaan antara jam 3 petang hingga 7 malam pada setiap Jumaat dan Sabtu.
"Kami ingin menjadikan pasar terapung ini antara destinasi pelancongan menarik di Kelantan dan sekali gus meningkatkan sosioekonomi komuniti melalui perniagaan dan perkhidmatan kepada pelancong," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pasar terapung ini menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dapat menghilangkan lapar dan dahaga, malah ada bot kayuh mampu memuatkan empat penumpang.
Platform berniaga dan tarikan pelancong
Menurut peniaga minuman, Nik Mohamad Akbar Nik Husin, 47, peluang berniaga selain dapat meningkatkan pendapatan, pastinya bangga lokasi ini menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara.
"Sambutan pelanggan memuaskan dan ia melengkapkan perniagaan saya pada setiap Jumaat dan Sabtu," katanya.
Alias Yusof, 44, dan anaknya, Mohd Aqif Danial, 13, cukup gembira melayan pelanggan yang ingin menikmati donut, mi segera perasa tomyam dan bomboloni.
Katanya, meskipun baharu berusia setahun jagung, pasar terapung membolehkannya menyediakan modal pusingan yang cukup untuk menjamin kelangsungan perniagaan.
Beri pengunjung pengalaman baharu
Pengunjung dari Melaka, Noor Azilah Mohamad, 47, pemandangan indah Sungai Pengkalan Datu yang dihiasi deretan perahu gentian kaca dijadikan tempat perniagaan atas air, sememangnya menjadikan percutiannya sekeluarga di Kelantan terisi dengan pengalaman baharu.
"Saya tertarik cara mereka berniaga dan harganya munasabah. Cara jualan ini dianggap unik dan boleh dikongsikan sosial media bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini," katanya.
Keliling lihat pemandangan dengan naiki bot
Bagi pengunjung ingin merasai makanan panas dan minuman, mereka boleh singgah ke warung terapung diusahakan komuniti kampung berkenaan.
Selepas penat melangkah di pelantar kayu sambil berbelanja dan menikmati aneka juadah.
Selain itu, khidmat bot disediakan juga memberi peluang pengunjung menikmati pemandangan indah Sungai Pengkalan Datu yang tidak tercemar dek pembangunan.
Kehadiran tetamu pada hujung minggu disambut mesra oleh penduduk Kampung Pulau Tengah, selain ada ruang letak kenderaan yang luas.
Sesiapa melancong di Kelantan, jangan lupa ke Pasar Terapung Kampung Pulau Tengah yang seharusnya tidak tersisih daripada peta lokasi menarik dikunjungi pada Jumaat dan Sabtu.