Ahad, 5 March 2023 | 10:30am
Musim cuti sekolah sesuai untuk membawa keluarga menjelajah pelbagai destinasi pelancongan. - Foto hiasan
Musim cuti sekolah sesuai untuk membawa keluarga menjelajah pelbagai destinasi pelancongan. - Foto hiasan

Manfaatkan cuti sekolah

SOALAN wajar atau tidak melancong sering bermain dalam fikiran mereka yang beranak kecil.

Segelintir ibu bapa memikirkan membawa bersama anak terlalu kecil yang belum memahami, membazir dan agak menyusahkan.

Malah, tidak kurang memilih untuk meninggalkan si kecil di kampung sementara si ibu dan ayah berdua-duaan saja makan angin. Begitupun apalah ertinya bercuti berdua-duaan, sedangkan hati teringatkan permata hati yang ditinggalkan sementara itu?

Ibu bapa harus ingat, kanak-kanak tidak mungkin memahami seperti orang dewasa untuk tidak meragam atau 'bergaduh' sesama mereka ketika dalam kenderaan kerana mereka adalah kanak-kanak.

Panduan di bawah mungkin dapat membantu.

Destinasi

Sediakan semua maklumat mengenai sesuatu tempat sebelum memulakan perjalanan dan jadikannya pengalaman interaktif antara ibu bapa dan anak.

Contohnya, jika menjelajah hutan rimba, bersedia untuk memberi penjelasan kepada anak mengenai jenis flora dan fauna yang bakal ditemui sepanjang jalan.

Merancang atur cara

Kanak-kanak mudah letih, oleh itu elakkan program perjalanan yang terlampau sibuk. Sebagai panduan, aturkan supaya terdapat keseimbangan antara masa aktiviti dengan masa berehat.

Berkemas awal

Elakkan berkemas pada saat terakhir kerana ia mendatangkan tekanan berlebihan. Apabila tarikh perjalanan sudah ditentukan, sediakan senarai dan mula mengemas.

Jangan lupa barangan yang akan membantu mengekalkan keadaan keluarga bersih dan sihat, termasuk kain pembalut luka, ubat tahan sakit atau demam kanak-kanak, ubat nyamuk dan tisu lembap nyah-kuman.

Rancang percutian dengan pelbagai aktiviti bermanfaat. - Foto hiasan
Rancang percutian dengan pelbagai aktiviti bermanfaat. - Foto hiasan

Keselamatan

Untuk anak-anak kecil, letakkan sekeping kad dengan nama, alamat dan nombor telefon bimbit ibu bapa atau penjaga ke dalam poket mereka.

Untuk kanak-kanak yang lebih tua, berikan mereka nombor telefon ibu bapa atau penjaga serta nama hotel yang diduduki, sebagai persiapan jika mereka terpisah. Masukkan sekali gambar terkini mereka.

Makanan

Sediakan makanan dan minuman ringan. Kanak-kanak yang lapar dan haus memang mudah meragam. Pastikan mereka makan sebelum perjalanan bermula dan minum banyak air sepanjang perjalanan.

Berhenti

Bila tiba waktu berehat, pastikan anak-anak singgah ke bilik air.

Fahami anak

Tetapkan dalam fikiran bahawa anda bercuti dengan kanak-kanak, maka jangan mementingkan diri serta emosi sendiri saja.

Fahami kanak-kanak bila mereka berasa tidak selesa atau meragam. Alihkan perhatian mereka dengan permainan atau memberi makanan yang digemarinya. Sekiranya boleh berhenti di kawasan rehat, berhenti seketika.

Andainya berada di dalam kapal terbang, boleh memberinya buku cerita atau permainan video. Apabila melawat ke sesuatu kawasan menarik, terangkan kepada mereka mengenai kawasan berkenaan.

Kanak-kanak boleh memahami dan mengingati apa yang anda terangkan kepadanya. Beri masa untuk anak anak meneroka. Pastikan mereka berasa lawatan ke sesuatu kawasan itu lebih bermakna dan mereka tidak dihambat waktu.

Penginapan

Segera periksa keseluruhan kawasan penginapan. Kenal pasti kekurangan yang ada. Mungkin ada barangan berbahaya termasuk kaca.

Bersihkan segera bagi mengelakkan ia daripada mengundang kecelakaan.

Berita Harian X