Selasa, 7 Februari 2023 | 9:56am
Antara 10 kesan menyerupai tapak kaki pelbagai saiz, bekas tapak dipercayai kaki Sang Kelembai. - NSTP/Rosman Shamsudin
Antara 10 kesan menyerupai tapak kaki pelbagai saiz, bekas tapak dipercayai kaki Sang Kelembai. - NSTP/Rosman Shamsudin
Isa menunjukkan kesan tapak kaki peninggalan mitos Sang Kelembai. - NSTP/Rosman Shamsudin
Isa menunjukkan kesan tapak kaki peninggalan mitos Sang Kelembai. - NSTP/Rosman Shamsudin
Di sebalik keindahan alam semula jadi, air terjun di Taman Eko Rimba Lata Kinjang ada cerita mitos kewujudan Sang Kelembai beratus tahun dahulu. - NSTP/Rosman Shamsudin
Di sebalik keindahan alam semula jadi, air terjun di Taman Eko Rimba Lata Kinjang ada cerita mitos kewujudan Sang Kelembai beratus tahun dahulu. - NSTP/Rosman Shamsudin
 kemudahan chalet berbentuk kapsul bagi pengunjung ingin bermalam di Taman Eko Rimba Lata Kinjang. - NSTP/Rosman Shamsudin
kemudahan chalet berbentuk kapsul bagi pengunjung ingin bermalam di Taman Eko Rimba Lata Kinjang. - NSTP/Rosman Shamsudin

Jejaki bekas tapak kaki sang kelembai

Kedinginan air terjun yang mengalir menerjah pada takat terjun dan hamparan batu tersimpan cerita mitos yang mungkin tidak diketahui di Taman Eko Rimba Lata Kinjang (TERLK), Chenderiang, Tapah, Perak.

Menariknya Air Terjun Lata Kijang, iaitu tertinggi di Malaysia ini yang dapat dijelas dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), ramai tidak pernah kisah asal usul dan meneroka cerita mitos.

Sebaliknya, ramai lebih terkesima melihat keindahan panorama air terjun setinggi lebih 850 meter ini sekali gus mencatat antara air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

Dek kerana banyak keunikan air terjun ini, lokasi ini kerap dikunjungi pelancong asing dari Arab Saudi, India, China, New Zealand, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan banyak lagi untuk keindahan alam flora dan fauna.

Mitos Sang Kelembai

Namun, berdasarkan cerita mitos atau kepercayaan orang pada zaman dahulu, dipercayai terdapat makhluk ajaib atau luar biasa dikenali Sang Kelembai yang mempunyai tubuh besar dan tinggi serta mempunyai kuasa menyumpah dengan menukarkan benda atau manusia kepada batu.

Rentetan cerita mitos ini, segelintir penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan mempercayai kesan menyerupai tapak kaki pada batu yang terdapat pada bahagian takat terjun itu adalah bekas tapak kaki Sang Kelembai.

Terdapat kira-kira 10 kesan menyerupai tapak kaki pelbagai saiz, jika pengunjung meneroka pada bahagian hamparan batu yang terdapat berhampiran tempat khas yang dibina untuk pengunjung merakamkan gambar atau berswafoto.

Menurut Pengerusi Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Isa Raja Tom, 62, cerita mitos tapak kaki itu menjadi cerita turun-temurun sehingga generasi hari ini.

Saiz kesan menyerupai tapak kaki memang luar biasa jika dibandingkan dengan tapak kaki manusia menunjukkan Sang Kelembai berbadan besar dan mempunyai kuasa luar biasa sehingga mampu meninggalkan kesan pada hamparan batu terbabit dan dapat dilihat dengan jelas," katanya.

Isa yang juga pesara polis dari Pasukan Gerak Am (PGA) Bidor, menjelaskan selain kesan tapak kaki, ada dua lubang batu dipercayai menjadi tempat makhluk mitos itu menumbuk dan menampi padi.

Kisah itu diceritakan turun-temurun sejak beratus tahun dahulu. Sama ada benar atau tidak kewujudan Sang Kelembai itu hanya Tuhan yang mengetahuinya.

"Sebagai generasi pewaris menjadi tanggungjawab kami memelihara dan memulihara kawasan terbabit, apatah lagi menjadi salah satu tarikan ramai," katanya Lata Kinjang dipercayai berasal daripada nama haiwan dikenali kijang.

. Terjun tertinggi di Malaysia menjadi Taman Eko Rimba Lata Kinjang menjadi pilihan orang ramai terutama pada cuti hujung minggu. - NSTP/Rosman Shamsudin
. Terjun tertinggi di Malaysia menjadi Taman Eko Rimba Lata Kinjang menjadi pilihan orang ramai terutama pada cuti hujung minggu. - NSTP/Rosman Shamsudin

Lihat kesan tapak kaki dipercayai Sang Kelembai

Kongsi Isa, untuk melihat kesan itu, pengunjung perlu mendaki anak tangga disediakan TERLK.

Terdapat sebanyak 63 anak tangga sehingga ke jambatan gantung. Pengunjung tidak perlu mendaki sejauh itu kerana kesan terbabit didapati berhampiran Stesen G yang menjadi tempat pengunjung merakamkan gambar atau berswafoto.

"Ketika melewati hamparan batu sambil melihat lebih dekat kesan peninggalan dipercayai Sang Kelembai, pengunjung dinasihatkan sentiasa berhati-hati.

"Permukaan hamparan batu terbabit mempunyai banyak lopak air akibat tempias air yang mengalir dan menghempas pada takat terjun," katanya.

Menurutnya, jarang pengunjung datang ke sini untuk meneroka sejarah dan mitos kerana tujuannya hanya berekreasi, mandi-manda dan berkelah sambil melihat keindahan alam sekeliling.

Hanya individu atau kumpulan tertentu berminat menyelusuri cerita mitos berkaitannya.

Takat terjun menarik

Bagi pekerja pembersihan di TERLK, Norshawala Osman, 35, mengakui tempat ini mempunyai takat terjun yang sungguh menarik.

Pengunjung menikmati kesejukan air yang mengalir secara semula jadi dari Banjaran Titiwangsa sambil melihat keindahannya tidak tercemar.

"Takat terjun yang luas memberi keselesaan pengunjung menyebabkan ia popular dengan kejernihan air terjun menghempas batu membuatkan pengunjung leka," katanya.

Lokasi tumpuan mengambil gambar di Stesen G kerana ada tempat khas, iaitu pelantar berpagar besi berlatar belakang air terjun serta alam semula jadi.

"Yang suka cabaran, teruskan mendaki tangga batu hingga ke Stesen H dan Stesen I untuk merakamkan gambar di titi gantung sambil menikmati panoramanya," katanya.

Selain pondok untuk berkelah, TERLK menyediakan kemudahan inap desa berbentuk kapsul bagi pengunjung ingin bermalam.

"Inap desa dilengkapi penghawa dingin dan katil boleh disewa pada harga RM100 semalam dan ada tapak perkhemahan.

"Inap desa dikelilingi kehijauan alam semula jadi dan terletak berhampiran sungai mampu memberi pengalaman baharu terutama warga kota," katanya.

Bagi yang suka mendaki bukit sambil menerokai khazanah hutan pula, terdapat kemudahan atau perkhidmatan malim gunung bertauliah dengan caj berpatutan.

Berita Harian X