MENYAKSIKAN suasana desa, hembusan bayu menyegarkan, panorama indah bendang terbentang luas, lembayung senja melabuhkan cahaya kemerahan-merahan di celah-celah bukau-bukau sering tidak mengecewakan.
Lebih menarik dapat menghirup kopi pelbagai rasa membasahi tekak sambil melihatkan keindahan pemandangan berkenaan, membuatkan individu dibuai memori silam.
Jadi, tidak lengkap bagi orang ramai yang berkunjung ke Pantai Kurong Tengar, Kuala Perlis ini, tanpa singgah untuk menikmati kopi lazatnya.
Dengan hembusan bayu Selat Melaka, sebuah kenderaan saji atau 'food truck' dengan nama County's Kopi yang di parkir di tepi laluan trek pantai itu, sentiasa menjadi tumpuan umum untuk bertamu di sekitar premis itu.
'Food truck' bergerak itu juga menjadi lokasi tetap bagi penggemar kopi terutama golongan muda dari serata daerah di Perlis untuk minum kopi sambil menghayati ketenangan matahari terbenam di pantai berkenaan.
Jadi tidak mustahil, mengapa hampir setiap petang premis itu dipenuhi orang ramai yang tidak sahaja mahu melihat panorama matahari terbenam, malah untuk menikmati aroma kopi yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Fahmi Che Khosni, 38 dan Nurul Asyikin Mokhtar Kamal, 31.
Konsep santai
Menurut Fahmi, dia dan isterinya memulakan operasi di lokasi berkenaan sejak November tahun lalu bagi mencari kelainan dan mencari lokasi yang strategik untuk perniagaan kopinya itu.
"Kami memilih lokasi ini selepas mendapat inspirasi mengenai konsep seperti ini yang banyak dijalankan di Indonesia.
Konsep lebih santai dan yakin penggemar kopi boleh menikmati minuman itu dengan selesa sambil menjamu mata melihat panorama indah matahari terbenam tersedia di kawasan berkenaan.
"Inilah keunikan tempat ini. Pelawat yang berkunjung ke premis kami dapat menyaksikan panorama berbeza setiap hari berbanding yang ada di tempat lain.
"Keunikan pemandangan bukit dan sawah padi terbentang luas tampak mendamaikan.
"Lebih menarik kita bentangkan permaidani dan meja ringkas kepada pengunjung yang mahu berkelah sambil menghirup kopi dan menyaksikan matahari terbenam," katanya ketika ditemui di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Sedia pelbagai jenis kopi
Beliau hanya menjalankan operasi selama dua jam di kawasan itu, iaitu dari 5 petang sehingga 7 malam setiap hari kecuali Khamis. Kita pilih perkataan 'County's' yang membawa maksud daerah atau mukim.
"Kami menyediakan lima jenis kopi yang diolah dengan resipi kami sendiri iaitu Latte Moccha, Dolce Latte, Hazelnut Coffee dan Caramel Macchiato selain lima minuman bukan kopi untuk pengunjung yang bukan penggemar kopi seperti minuman Passion Fruit, Green Tea, Strawberry Magenta dan Lemonade Freeze.
"Selain itu turut menjual makanan petang seperti roti sandwich daging dimana semua dijual dengan harga berpatutan sekitar RM4 hingga RM12 dan sambutan sejak kami buka disini sangat memberangsangkan.
"Manakan tidak, dalam masa dua jam 50 hingga 100 cawan kopi terjual dan jumlahnya meningkat apabila cuti hujung minggu dan cuti sekolah kerana kawasan ini sering menjadi tumpuan pada waktu berkenaan," katanya.
Jadi tempat 'melepak'
Pengunjung, Rosnani Nazri, 38, yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis mengakui seronok 'melepak' di kawasan itu kerana ia begitu menenangkan.
"Sambil minum kopi, sambil tengok matahari terbenam dan walaupun pantai ini berselut dan surut sekitar waktu petang, ia kelihatan mendamaikan.
"Saya tidak hairanlah apabila ramai golongan muda ada dari Kedah sanggup datang untuk menikmati kopi sambil beristirahat," katanya.
Mahasiswa, Wan Adib Wan Mohd Nor, 22, berkata, dia pertama kali tiba di kawasan itu bersama beberapa rakannya dan menikmati kopi yang enak.
"Saya melihat kombinasi kopi dengan alam semula jadi ternyata mampu menghadirkan satu perasaan yang begitu menenangkan ditambah pula dengan angin yang bertiup menambahkan lagi suasana yang begitu mendamaikan.
"Bagi saya pengusaha kedai kopi ini berjaya membawa sajian kopi ke satu tahap baru dengan menikmatinya sambil melihat pelbagai panorama yang indah di kawasan ini terutama pada senja ini," katanya.