Selasa, 3 Januari 2023 | 1:42pm

Pesona Tasik Timah Tasoh gamit pengunjung dalam dan luar negara

MENYUSURI Tasik Timah Tasoh yang terletak di Empangan Timah Tasoh, Beseri, di Padang Besar, Perlis dengan bot pelancong membuatkan ramai pengunjung teruja kerana dapat menyaksikan sepuasnya panorama yang mempesonakan.

Manakan tidak, tasik yang selama ini sepi dan hanya dipenuhi pemancing tegar yang memancing ikan yang terdapat kini menjadi antara destinasi wajib pelancong tatkala berkunjung ke kawasan tasik itu.

Selain keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekeliling tasik berkenaan, pengunjung yang datang ke tasik itu turut 'memburu' pemandangan dan panorama indah Bukit Chabang yang dapat dilihat apabila menaiki bot pelancong yang akan membawa pengunjung mengelilingi sebahagian daripada kawasan tasik berkenaan.

Tinjauan di kawasan tasik berkenaan, baru-baru ini mendapati ramai pelancong dari luar Perlis berpusu ke lokasi berkenaan untuk bergambar dengan pemandangan indah yang banyak terdapat di tasik berkenaan.

Selain itu juga, ia menjadi habitat kepada burung Upeh atau Asian Openbill Stork yang sering mencari makanan seperti ikan yang banyak terdapat dalam tasik berkenaan.

Pengunjung melihat pemandangan semalu air yang tumbuh meliar berlatarbelakangkan Bukit Chabang di Tasik Timah Tasoh, Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengunjung melihat pemandangan semalu air yang tumbuh meliar berlatarbelakangkan Bukit Chabang di Tasik Timah Tasoh, Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Pemandangan semalu air yang tumbuh meliar berlatarbelakangkan Bukit Chabang menjadi antara tarikan pengunjung di Tasik Timah Tasoh, Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pemandangan semalu air yang tumbuh meliar berlatarbelakangkan Bukit Chabang menjadi antara tarikan pengunjung di Tasik Timah Tasoh, Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Menurut Pengerusi Kelab Rekreasi Empangan Timah Tasoh, Rosmadi Ismail, 53, berkata, Tasik Timah Tasoh yang menjadi sebahagian daripada Empangan Timah Tasoh ini berkeluasan 20 kilometer persegi.

"Jika kita lihat keluasan tasik ini juga, ada bahagian tasik terutama di kebanyakan bahagian barat tasik ini tidak dibenarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Perlis untuk dilalui pengusaha bot pelancong seperti kami

kerana ia sudah memasuki kawasan tadahan air empangan di sini.

"Bahagian utara dan timur tasik ini mempunyai dua hingga tiga tarikan seperti pemandangan indah Bukit Chabang yang sering menjadi 'buruan' pelancong untuk bergambar kerana kita memang dapat melihat struktur bukit itu secara jelas dan menarik apabila menyusuri kawasan tasik ini dengan bot.

"Ditambah pula, pemandangan indah ini dihiasi dengan tumbuhan air seperti kangkung kerbau, semalu air dan keladi bunting di mana lokasi ini terletak sekitar tiga kilometer dari pangkalan bot Dataran Empangan Timah Tasoh," katanya.

Naik bot lihat panorama keliling tasik

Rosmadi yang juga pengusaha dan pemandu bot berlesen di kawasan berkenaan berkata, sememangnya pelancong datang ke situ hanya mencari latar pemandangan indah yang cantik untuk bergambar.

Pengunjung menaiki bot melihat pemandangan matahari terbenam di Tasik Timah Tasoh. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengunjung menaiki bot melihat pemandangan matahari terbenam di Tasik Timah Tasoh. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

"Mewakili pemandu bot di sini, saya anggaran hampir 100 orang berkunjung ke sini setiap hari dan lebih ramai apabila musim cuti perayaan atau cuti sekolah.

"Setiap hari 13 perjalanan mengelilingi tasik. Kami terima bagi satu bot dan operasi bermula jam 7 pagi hingga 7 petang dengan harga RM50 untuk enam orang dalam satu bot.

"Selain pelancong domestik, Tasik Timah Tasoh juga dikunjungi pelancong asing termasuk dari Singapura, Thailand, Arab Saudi dan China.

"Malah, kawasan ini juga menjadi persinggahan kepada golongan 'camper' yang suka mendirikan khemah bermalam di kawasan ini sambil menikmati keindahan alam semula jadi termasuk gemersik unggas di kawasan ini," katanya.

Pengunjung melihat pemandangan semalu air yang tumbuh meliar berlatarbelakangkan Bukit Chabang di Tasik Timah Tasoh, Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengunjung melihat pemandangan semalu air yang tumbuh meliar berlatarbelakangkan Bukit Chabang di Tasik Timah Tasoh, Perlis. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Selain lokasi yang berlatarbelakangkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand di jalan menuju Padang Besar itu, tempat ini menjadi 'pot' pelbagai aktiviti seperti berkayak, bot pelancong dan tapak perkhemahan yang mampu menarik kunjungan ribuan pengunjung.

Komuniti di sini yang kebanyakan dalam kalangan nelayan air tawar mengambil inisiatif menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang mendapat sokongan penuh JPS.

Tasik Timah Tasoh yang berada di Empangan Timah Tasoh ini terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar dan ia menjadi pertemuan antara dua buah sungai, iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Keindahan Tasik Timah Tasoh, berlatar belakangkan panorama Bukit Chabang menarik perhatian pengunjung. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Keindahan Tasik Timah Tasoh, berlatar belakangkan panorama Bukit Chabang menarik perhatian pengunjung. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X