Pelbagai koleksi seni khat tulisan jawi dan rumi serta lukisan kanvas dihasilkan sejak lebih 40 tahun lalu di tempatkan di sebuah rumah ini, sudah seperti mini muzium hingga menjadi tarikan pengunjung.
Menariknya, karya seni dihasilkan pesara guru, Zaidi Osman, 65, tersimpan kemas di Al Baihaqi Art Gallery miliknya, di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal Alor Gajah, Melaka, ini menggunakan pen batang resam.
Lantas galeri seninya kerap menjadi tumpuan pelajar universiti, penyelidik dan orang ramai untuk melihat hasil kerjanya.
Tidak sia-sia cinta mendalam terhadap seni khat dan melukis membuatkan Zaidi tidak berhenti berkarya, selain kerap menjadi rujukan generasi muda mendalami bidang itu.
Lebih menarik, beliau memiliki lebih 5,000 pen batang resam yang digunakan untuk menghasilkan seni khat.
Pen berasal daripada pokok resam atau spesis paku pakis ini memang lazim digunakan penulis al-Quran kerana amat sesuai bagi menghasilkan kaligrafi kerana cirinya lebih halus, mudah dibentuk dan serasi cara penggunanya.
"Saya pernah menggunakan lidi enau, pensel, pen marker, berus warna, rotan dan buluh, tetapi lebih selesa menggunakan batang resam yang saya dihasilkan sendiri," katanya.
Pen batang resam hasilkan khat unit
Atas usaha gigihnya, Zaidi mencari sendiri batang resam itu di dalam hutan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan, selain di Temerloh, Kenyir dan Lancang di Pahang.
Jadi, tidak mustahil beliau memiliki stok begitu banyak batang resam bertindak seperti pen untuk menghasilkan karya seni khat lebih unik.
"Saya berusaha mencari sendiri batang resam dan rasa puas hati ada bahan ini sebagai alat utama melakar seni khat.
"Jika beli pen batang resam berharga lebih RM8 sebatang. Selain digunakan sendiri, saya juga menjual pen ini. Setakat ini, saya sudah menjual lebih 2,000 batang untuk kegunaan pelajar dan penggiat khat di seluruh negara.
Antara kelebihan pen batang resam itu termasuk lebih lama digunakan ia lebih lembut. Material pen ini juga lebih tahan berbanding yang lain dan pasti dapat menghasilkan bentuk tulisan diingini.
Pen itu menggunakan dakwat dakwat cina, dakwat pen parker selain warna air sesuai digunakan untuk menghasilkan khat yang unik.
Beliau menghasilkan pelbagai jenis khat, iaitu khat nasakh, thuluth, waseem, diwani, taj, kufi, ijazah, riqaah, tughra, faraisi, diwani jali dan beberapa lagi memerlukan ketekunan dan kesungguhan.
Melakar seni khat tanpa henti
Ketika ini, beliau sedang menghasilkan tulisan khat untuk senaskhah al-Quran.
"Saya pernah menulis khat di sampul surat untuk perkahwinan, selain menulis nama lebih 1,300 pelajar, guru dan petugas sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hj Talib Karim, Alor Gajah di kertas A4 dengan khat rumi dan jawi.
Seni khat beliau juga ada di beberapa masjid di Melaka, Sepang dan Semenyih, selain bertanggungjawab mewujudkan galeri khat di sekolah menengah itu sebelum bersara.
"Untuk tulisan khat ini, saya mengambil masa lebih empat bulan untuk menyiapkannya ," katanya yang berharap dapat menubuhkan Akademi Khat satu hari nanti.
Beliau menghasilkan poster seni khat untuk mereka divaksin COVID-19 dan mengambil gambar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Melaka di Lendu, tahun lalu.
Merancakkan bidang lukisan
Apa menarik menerusi kerja menulis khat ini, menambahkan lagi kemahiran beliau menghafaz ayat al-Quran, sekali gus dapat menguatkan daya ingatannya.
Dengan kemahiran itu, beliau bersedia mengajar pihak berminat mempelajari bidang itu tanpa perlu membeli peralatan kerana semuanya sudah tersedia.
Harga koleksinya antara RM20 sehingga RM2,000.
Karyanya banyak dipamerkan di pelbagai tempat termasuk di Muzium Melaka, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Galeri Shah Alam, Balai Seni Lukis Negara, Balai Seni Lukis Melaka dan Muzium Padi Kedah.
Zaidi juga tenaga pengajar tulisan khat di UiTM Jasin dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), selain sering menjadi penceramah, hakim dan panel pertandingan khat.
Beliau juga menghasilkan lukisan di dinding di dalam ruang tamu rumahnya.
"Ada lukisan pemandangan tepi laut menjadi kenangan saya kerana dihasilkan sehari sebelum kejadian tsunami, pada 2004," katanya.