Rabu, 16 November 2022 | 10:24am

Redah jalan tanah merah berlumpur, sungai sebelum jumpa 'mutiara bersinar'

SEINDAH namanya, inap desa Pulau Manis Sungai Dakoh, yang terletak di Pos Balar seumpama 'mutiara bersinar' di tengah belantara.

Untuk sampai ke sana bukan mudah, pengunjung perlu menggunakan pacuan empat roda meredah jalan tanah merah berlumpur, berbatu, selain menyusuri anak sungai.

Penatnya perjalanan kira-kira lima jam dengan jarak hampir 100 kilometer dari Gua Musang ke Pulau Manis ternyata tidak sia-sia, malah keletihan terubat usai sampai ke lokasi.

Mana tidaknya, pandangan mata terus dijamu keindahan panorama Pulau Manis Sungai Dakoh, di Gua Musang, Kelantan, ini benar-benar mendamaikan.

Tambahan pula, di situ juga tersedia deretan inap desa diperbuat daripada buluh dan rotan dengan kemudahan seperti tandas dan surau menanti siap menanti ketibaan pengunjung.

Sebanyak 11 inap desa ini pula didirikan berhampiran sungai, deruan dan aliran airnya yang jernih menarik hati pengunjung untuk terus merasai sejuknya Sungai Dakoh yang belum tercemar.

Pengalaman berendam di dalam Sungai Dakoh juga pasti membuatkan pengunjung seakan tidak mahu naik ke tebing untuk terus menikmati kedinginan dan kejernihan airnya.

Malam sejuk, menenangkan

Lazimnya, pengunjung yang datang pasti akan mengheret mereka bermalam untuk merasai keseronokan di inap desa ini serba-serbi boleh menggamit kenangan kehidupan kampung.

Antara 11 inap desa beri pengalaman tinggal dalam suasana kampung. - NSTP/Paya Linda
Antara 11 inap desa beri pengalaman tinggal dalam suasana kampung. - NSTP/Paya Linda

Ditemani suara cengkerik, unggas dan deruan air sungai tanpa henti memberikan ketenangan berbeza pasti bikin hati berasa tenang serta fikiran menjadi lapang.

Itu yang dapat digambarkan suasana malam di inap desa Pulau Manis Sungai Dakoh, Pos Balar, terlupa sejenak kesibukan rutin harian dan masalah yang dihadapi.

Pengunjung, Sufian Zakaria, 34, walaupun sebagai anak jati Gua Musang, beliau tidak pernah ke tempat ini, justeru berpeluang ke Pulau Manis bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, sesuai dengan dirinya yang gemarkan suasana kesegaran alam semula jadi menghijau.

Sebelum ini, beliau hanya mendengar cerita mengenai keindahan aalam di tempat ini daripada cerita yang pernah sampai ke sini, hingga menarik minat untuk melihat sendiri.

"Oleh itu, apabila dimaklumkan majikan di tempat kerja untuk mengadakan program di inap desa ini, saya sangat teruja.

"Saya pula mahu merasai kelasakan termasuk menaiki kenderaan pacuan empat roda, yang sangat dinanti-nantikan peluang itu.

"Perjalanan melalui jalan tanah merah, berlumpur dan berbatu dalam tempoh berjam-jam memang memenatkan, namun bila tiba di sini, semua penat itu hilang.

"Malah, kita juga dapat melalui kawasan perkampungan Orang Asli suku Temiar yang mempunyai kehidupan unik," katanya yang menginap dua malam.

Binaan inap desa daripada buluh

Menurut, pengurus inap desa Pulau Manis, Ahmadi Jalil Biyor, 40, pembinaan rumah inap desa itu adalah hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan secara bergotong-royong bersama 30 Orang Asli sejak dua tahun lalu.

deruan air sungai tanpa henti memberikan ketenangan berbeza di Sungai Dakoh, Pulau Manis. - NSTP/Paya Linda
deruan air sungai tanpa henti memberikan ketenangan berbeza di Sungai Dakoh, Pulau Manis. - NSTP/Paya Linda

"Struktur rumah inap desa ini diperbuat daripada buluh, kayu hutan dan terletak berhampiran Sungai Dakoh.

"Selain menambah pendapatan, inap desa ini juga dibina bagi membolehkan mereka yang berkunjung ke Pos Balar ini mempunyai tempat untuk bermalam.

"Saya harap dengan adanya inap desa ini akan menarik lebih ramai pelancong secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli di kawasan ini," katanya.

Menginap di sini dikenakan bayaran RM20 sehari dan mampu memuatkan empat orang, selain dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau dan tandas.

Aktiviti berkhemah sambil nikmati panorama di Pulau Manis menambat pengunjung. - NSTP/Paya Linda
Aktiviti berkhemah sambil nikmati panorama di Pulau Manis menambat pengunjung. - NSTP/Paya Linda

Proses penyelenggaraan dilakukan secara berkala kerana strukturnya daripada buluh dan kayu hutan yang diperoleh di dalam hutan.

Selain itu, dengan pelbagai keunikan Kampung Dakoh akan terus dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang harus dikunjungi.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam usaha mewujudkan aktiviti eko-pelancongan di kawasan kampung Orang Asli di daerah ini.

Langkah memberi peluang Orang Asli untuk memaparkan keindahan alam semula jadi, tradisi kebudayaan serta meningkatkan sumber pendapatan masyarakat setempat.

Deruan dan aliran air jernih menarik pengunjung untuk terus merasai sejuk air Sungai Dakoh. - NSTP/Paya Linda
Deruan dan aliran air jernih menarik pengunjung untuk terus merasai sejuk air Sungai Dakoh. - NSTP/Paya Linda
Berita Harian X