Khamis, 13 Oktober 2022 | 9:16am
Tapak glamping sedia pelbagai kemudahan menjadikan perkhemahan selesa dalam pelbagai segi. - Foto/Nor Shahfizan
Tapak glamping sedia pelbagai kemudahan menjadikan perkhemahan selesa dalam pelbagai segi. - Foto/Nor Shahfizan
Pengunjung menyertai program Festival Glamping Malaysia Antarabangsa, di Jelebu. - Foto/Nor Shahfizan
Pengunjung menyertai program Festival Glamping Malaysia Antarabangsa, di Jelebu. - Foto/Nor Shahfizan
Pelbagai aktiviti disediakan di Hooton Retreat, Jelebu.
Pelbagai aktiviti disediakan di Hooton Retreat, Jelebu.
Ruang dalam khemah yang dilengkapi katil dan kelengkapan lain tampak selesa.
Ruang dalam khemah yang dilengkapi katil dan kelengkapan lain tampak selesa.

Malam damai bertemankan pekikan cengkerik

KALAU dahulu berkhemah dianggap sebagai aktiviti yang agak sukar kerana pelbagai kelengkapan perlu dibawa terutama khemah dan 'sleeping bag' yang pastinya menambah bebanan dipikul.

Walau mungkin ada kawasan tertentu dikhaskan untuk memasang khemah, tetapi keperluan asas seperti tandas, elektrik dan air bersih agak sukar, menjadikan yang berjiwa kental mampu melakukannya.

Hendak memasang khemah juga bukan mudah, malah masih ramai tewas membinanya dan terpaksa mengalah dan meminta bantuan mereka yang lebih pakar.

Justeru, ramai memilih untuk bercuti di hotel atau resort, walau mereka sebenarnya berminat untuk bercuti dan menghabiskan masa menikmati keindahan alam semula jadi, tidak kira di dalam hutan, di puncak gunung atau di tepi sungai.

Namun begitu, trend terkini dalam dunia percutian yang semakin mencuri perhatian pasti menjadi penyelamat kepada pencinta alam sekitar ini. Jika dahulu memasang khemah atau persekitaran yang kurang selesa menjadi cabaran, dengan konsep 'glamping', ia bukan lagi satu masalah.

MPPD merampas beberapa khemah milik pengusaha yang didapati melanggar peraturan di kawasan Pantai Cermin dan Pantai Port Dickson.- Foto ihsan MPPD
MPPD merampas beberapa khemah milik pengusaha yang didapati melanggar peraturan di kawasan Pantai Cermin dan Pantai Port Dickson.- Foto ihsan MPPD

Menerusi konsep perkhemahan glamor ini, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membawa pelbagai peralatan untuk berkhemah kerana semua kemudahan disediakan oleh penyedia.

Kali pertama penulis berkesempatan berkhemah secara glamor ini, terkesima dengan pelbagai kemudahan disediakan di tapak 'glamping' di Hooton Retreat, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mana tidaknya, khemah dilengkapi dengan penyejuk hawa, katil, tilam dan selimut manakala tandas serta pelbagai kemudahan lain menanti pengunjung.

Glamping jadi aliran terkini

Pengarah Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, Zakaria Mohd Nani, berkata aliran glamping semakin menarik perhatian kerana ia menyediakan persekitaran lebih bersih dan selamat kepada pengunjung.

"Glamping berpotensi membantu membina budaya berkhemah yang boleh menjadi aktiviti disertai keluarga dan rakan berbanding, dahulu tidak ramai ingin membawa keluarga kerana kemudahan kurang lengkap." katanya ketika ditemui dalam program 'Festival Glamping Malaysia Antarabangsa (MIGFEST), di sini.

Pengalaman mengikuti program tiga hari dua malam di tapak glamping ini memberi peluang kepada penulis untuk menikmati suasana berkhemah konsep baharu ini pelbagai saiz khemah sedia menanti pengunjung.

Zakaria Mohd Nani
Zakaria Mohd Nani

Namun begitu, bagi mereka yang masih selesa membawa khemah sendiri, tiada masalah kerana ada ruang khas manakala, ingin bersantai bersama keluarga khemah sesuai juga disediakan.

Beberapa keluarga yang disertai kanak-kanak turut berkhemah di sini dilihat begitu selesa bersantai dan bermalam dalam dusun durian yang menjadi lokasi festival ini.

Kemudahan khemah, tandas dan pelbagai kemudahan lain yang disediakan menjadikan pengalaman berkhemah ini lebih mudah jika dibandingkan mereka perlu melakukan semuanya sendiri seperti sebelum ini.

Malah, lebih banyak masa dapat diluangkan untuk meneroka kawasan sekeliling menjadikan pengalaman berkhemah di sini pastinya lebih bermakna yang mana mereka juga boleh cuba untuk menyertai aktiviti flying fox, memanah, mengikuti bengkel membuat kopi serta bengkel kemahiran hidup.

Penulis (duduk tengah) bersama peserta yang mengikuti program MIGFEST 2022, di Hooton Retreat. -
Penulis (duduk tengah) bersama peserta yang mengikuti program MIGFEST 2022, di Hooton Retreat. -

Bermalam dalam suasana segar alam semula jadi

Pengusaha Hooton Retreat, Bryan Gan berkata, MIGFEST diadakan kali pertama bertujuan dan objektif utama kami ialah menyokong industri ini untuk menarik bukan sahaja pencinta alam sekitar, tetapi mereka yang tidak gemar berkhemah, selesa merasai pengalaman bermalam bersama alam semula jadi.

"Pada 2023, kami merancang menganjurkan festival ini dengan kemeriahan lebih lima kali ganda dengan matlamat menarik seramai mungkin peserta dalam dan luar negara," katanya.

Bryan Gan
Bryan Gan

Ini kali pertama penulis berasa sangat selesa apabila berkhemah kerana tidak perlu bimbang khemah akan ditiup angin, malah malam yang biasanya terasa panjang ketika perkhemahan biasa, terasa sangat pendek sedangkan kopi yang dihirup masih belum habis.

Entah kenapa, bunyi cengkerik terasa lebih merdu berbanding biasa, mungkin kerana penulis tidak perlu bimbang ada antara serangga berkenaan yang tumpang bermalam dalam khemah berlapikkan tanah dan sleeping bag ang biasanya menjadi tempat tidur apabila berkhemah.

Sesungguhnya pengalaman glamping ini memberi satu perspektif baharu untuk penulis dan berharap konsep ini akan terus dikembangkan sekali gus menjadikan pilihan percutian keluarga supaya anak-anak muda tidak terus hanyut dengan dunia digital yang semakin menguasai kehidupan hari ini.

Antara aktiviti lasak disediakan di pusat glamping Hooton Retreat.
Antara aktiviti lasak disediakan di pusat glamping Hooton Retreat.

Berita Harian X