Rabu, 14 Julai 2021 | 12:18pm
Pokok tin gunakan kaedah fertigasi yang diusahakan Hishamuddin.- Foto/Rosman Shamsudin
Pokok tin gunakan kaedah fertigasi yang diusahakan Hishamuddin.- Foto/Rosman Shamsudin
Buah tin yang dihasilkan Hishamuddin.- Foto/Rosman Shamsudin
Buah tin yang dihasilkan Hishamuddin.- Foto/Rosman Shamsudin
Pokok anggur ditanam di dalam RPH untuk elak rosak jika hujan lebat.- Foto/Rosman Shamsudin
Pokok anggur ditanam di dalam RPH untuk elak rosak jika hujan lebat.- Foto/Rosman Shamsudin

Agropelancongan baharu di Mualim

BERBUDI pada tanah memang tidak mengecewakan meskipun sesuatu yang diusahakan membabitkan tanaman dari negara empat musim.

Berikutan itu, semakin ramai individu di negara ini menanam buah anggur yang sinonim di negara beriklim sejuk dan buah tin atau nama saintifiknya Ficus Carica pula, biasanya banyak ditanam di kawasan Asia Barat.

Malah, ada antara individu menukar kerjaya sebagai petani menanam anggur dan buah tin demi kelangsungan hidup yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Keupayaan dan kebijaksanaan menggunakan ilmu pengetahuan digabungkan dengan minat mendalam dalam bidang mampu menghasilkan sesuatu tidak dijangka.

Ini dibuktikan seorang jurutera, lulusan dari Universiti Of Brighton, United Kingdom, Hishamuddin Othman, 56, yang menggabungkan bidang kejuruteraan dengan bidang pertanian menerusi tanaman pokok tin dan anggur.

Hishammuddin turut menanam anggur yang menggabungkan bidang kejuruteraan dan pertanian.- Foto/Rosman Shamsudin
Hishammuddin turut menanam anggur yang menggabungkan bidang kejuruteraan dan pertanian.- Foto/Rosman Shamsudin

Sejak Februari lalu, Hishamuddin menumpukan hidupnya dengan mengusahakan Muallim Hortigad & Nursery seluas 0.4 hektar, terletak di Taman Slim Permai, iaitu bersebelahan Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.

Bermodalkan RM150,000 bersama dua lagi rakan kini beliau mempunyai dua rumah pelindung hujan (RPH) dan menggunakan kaedah fertigasi.

Sebanyak 140 pokok tin bermutu tinggi berjaya ditanam. Kini mula mengeluarkan hasil walaupun baru empat bulan mengusahakan tanaman itu.

Selain itu, 72 pokok anggur jenis Lorano, Faith, Dixon, Jupiter, Baikunor,Catalonia dan pelbagai jenis lagi pula sedang dalam proses pengembangan dahan serta menunggu masa mengeluarkan hasil.

Gabungan dua bidang

"Saya meminati bidang pertanian dan kebetulan mempunyai ilmu dalam pembinaan.

gn4id:28707792

"Gabungan kedua-dua bidang itu ternyata membuahkan hasil. Saya sendiri tidak jangkakan dan impikan selama ini.

"Saya bersyukur dengan menggunakan ilmu kejuruteraan terutama dalam aspek pembinaan RPH dan teknik penyiraman serta pembajaan dengan teknologi moden ternyata membuahkan hasil," katanya.

Untuk memastikan buah tin menghasilkan buah yang bermutu dan lebat, setiap satu pokok perlu mempunyai tiga cabang sahaja.

Setiap cabang pokok yang matang mengeluarkan 30 biji buah tin dan setiap 15 biji seberat satu kilogram. Dijual dengan harga RM60 sekilogram.

Hishamuddin berkata tanaman pokok tin ini menggunakan kaedah fertigasi yang menggunakan saluran paip khas yang dibina di sepanjang pokok berkenaan.

Katanya, pokok disiram dan dibaja secara berkala daripada tangki yang dibina lalu dialirkan ke pokok bagi memastikan pokok tin dapat hidup subur serta memberi hasil yang lumayan.

Bagi tanaman pokok anggur, beliau usahakan di dalam RPH .

Beliau berkata, pokok anggur sama juga dengan pokok tin perlu ditanam di dalam RPH bagi mengelak pokok berkenaan rosak jika hujan.

Penggunaan RPH juga boleh mengurangkan risiko serangan penyakit terutama serangga perosak.

"Pokok anggur berasal dari Ukraine memerlukan cuaca sejuk. Namun, ramai yang tidak mengetahui, sebenarnya ketika musim sejuk tumbesaran pokok anggur tidak berlaku.

"Pohon ini hanya berbunga dan mengeluarkan buah ketika musim panas, maknanya pokok ini juga boleh hidup subur di negara ini, tetapi perlu ditanam di dalam RPH bagi mengelak tanaman rosak," katanya.

Tujuan agropelancongan

Biasanya pokok anggur hanya mengambil masa empat bulan untuk mengeluarkan hasil, namun beliau memilih untuk mengembangkan tumbesaran dahan dahulu bagi memastikan pokok anggur berkenaan berbuah lebat.

Sekarang pokok anggur masih dalam peringkat pengembangan dahan dan dijangka mula mengeluarkan buah pada Disember depan.

"Pokok ini hidup subur apabila rentas negeri dan daerah dibenarkan boleh memberi peluang pengunjung melawat dan memetik buah anggur, selain berkongsi pengalaman mengenai tanaman ini. Kita menjual pokok ini jika ada yang berminat ingin membeli," katanya.

Tanaman pokok tin dilakukan secara komersial manakala anggur sebagai aset agropelancongan di daerah Muallim.

Beliau juga tidak sabar untuk beroperasi semula selepas situasi beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Berita Harian X