Isnin, 5 April 2021 | 10:08am
Pokok Cat's Claw Creeper, yang berbunga baru-baru ini menjadikan pemandangan di Pusat Rekreasi Gunung Lang tambah berseri. - Foto Ihsan MBI
Pokok Cat's Claw Creeper, yang berbunga baru-baru ini menjadikan pemandangan di Pusat Rekreasi Gunung Lang tambah berseri. - Foto Ihsan MBI

Cat's Claw Creeper si kuning memukau

Keunikan Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak adalah kewujudan pokok bunga berwarna kuning, iaitu Cat's Claw Creeper yang mampu memberikan pesona indah seakan berada di luar negara.

Pokok Cat's Claw Creeper atau nama saintifiknya, dolichandra quadrivalvis mengeluarkan kuntuman mekar berwarna kuning.

Panorama di pusat rekreasi itu tambah berseri baru-baru ini, apabila pokok yang ditanam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada awal tahun 2000 itu kembali berbunga.

Namun, ketika ia berbunga pada bulan lalu, tempohnya tidak lama iaitu kurang dua minggu dan ramai yang tidak sempat merakam kuntumannya kerana sudah gugur.

Bunga Cat’s Claw Creeper menguntum mekar menyerikan pemandangan Pusat Rekreasi Gunung Lang, pada bulan lalu hanya dalam tempoh dua minggu. - Foto Ihsan MBI
Bunga Cat’s Claw Creeper menguntum mekar menyerikan pemandangan Pusat Rekreasi Gunung Lang, pada bulan lalu hanya dalam tempoh dua minggu. - Foto Ihsan MBI

Arkitek Landskap MBI, Mohd Nazim Mohamed Nor berkata, dianggarkan sebanyak 500 pokok itu ditanam pada awal pembukaan taman berkenaan.

Pokok berkenaan dipilih kerana ia jenis yang menjalar dan memanjat yang diletakkan pada binaan reka bentuk kubah di taman itu.

"Biasanya musim berbunga pada Mac hingga April tetapi bergantung kepada keadaan cuaca. Jenis ini bukan berbunga lebat sepanjang tahun dan ia berbunga lebat antara musim daun luruh dan daun tumbuh semula.

"Pokok berbunga selepas musim panas yang panjang dan bermula musim hujan daun kering dan gugur masa musim panas dan bunga mula keluar selepas ada hujan sekali sekala," katanya.

Katanya, untuk berbunga pokok itu memerlukan musim panas yang panjang di mana pada tahun ini negara mengalaminya dan ia berbeza pada dua tahun sebelumnya yang tidak mengalami musim panas panjang.

"Tempoh berbunga bergantung kepada keadaan cuaca semasa negara yang agak tidak menentu. Bunga mula gugur apabila bermula musim hujan lebat yang kerap dan faktor gugur juga adalah kerana daun baru akan mula tumbuh selepas gugur akibat musim panas," katanya.

Kini pengunjung perlu menunggu tahun depan untuk melihat pokok Cat’s Claw Creeper berbunga lagi.
Kini pengunjung perlu menunggu tahun depan untuk melihat pokok Cat’s Claw Creeper berbunga lagi.

Mohd Nazim berkata, selain nyatanya kecantikan dan keindahan bunga itu menjadi keistimewaan, bahagian akarnya boleh dijadikan herba untuk rawatan dalaman badan tetapi ia jenis yang agak agresif dan boleh merosakkan struktur binaan atau lantai.

Katanya, ia boleh dikawal melalui pemasangan 'root barrier' ketika penanaman dilakukan.

"Kami mahu menumpukan tanaman spesis ini di spesifik lokasi di Taman Rekreasi Gunung Lang sebagai daya tarikan utama," katanya.

Berita Harian X