Isnin, 8 March 2021 | 4:32pm
Fenomena karpet awan dari Point View Wang Kelian. Gambar Ihsan Ved Vedder
Fenomena karpet awan dari Point View Wang Kelian. Gambar Ihsan Ved Vedder

Fenomena 'awan Karpet menakjubkan

DENGAN populasi penduduk seramai 255,000 orang dan keluasan 819 kilometer persegi, Perlis sering kali dipandang sepi oleh pelancong yang hanya menjadikan negeri itu sebagai transit untuk melancong ke Langkawi atau menuju ke Hatyai, Thailand.

Malah, sebagai negeri terkecil di Malaysia, Perlis juga dilihat tidak mempunyai tarikan pelancongan, selain Arked Beli-Belah Padang Besar yang terletak berhampiran pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Namun, 'awan karpet' dilihat dari View Point Wang Kelian, di sini mencetuskan fenomena apabila ramai pelancong datang untuk menyaksikan panorama indah itu pada awal pagi.

Fenomena awan menakjubkan

Indah pemandangan fenomena karpet awan yang dapat dilihat pada waktu pagi.- Gambar Insan Ve Veddar
Indah pemandangan fenomena karpet awan yang dapat dilihat pada waktu pagi.- Gambar Insan Ve Veddar

Lazimnya, cuti hujung minggu atau hari kelepasan am pengunjung beriadah di kawasan View Point Wang Kelian, di samping melihat panorama 'awan karpet' terbentuk saujana mata memandang.

View Point Wang Kelian terletak di ketinggian 303 meter dari aras laut. Perjalanan ke sana selama 30 minit dari Kangar manakala 20 minit dari dari pekan Padang Besar.

Kawasan Wang Kelian juga salah satu pintu sempadan ke Thailand di Perlis, selain di Padang Besar.

Penulis berkesempatan melihat karpet awam yang menakjubkan, baru-baru ini.

Ketika menghampiri kawasan itu, ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

Panorama sungguh menakjubkan menjadikan Perlis dikunjungi ramai.- Foto Ihsan Ved Vedder
Panorama sungguh menakjubkan menjadikan Perlis dikunjungi ramai.- Foto Ihsan Ved Vedder

Gumpalan awan

Kelihatan ada pengunjung berbasikal atau berjoging menuju ke kawasan itu dan rata-rata teruja melihat 'awan karpet' yang tular sejak awal tahun lalu.

Sebaik tiba, kelihatan gumpalan awan yang terbentang luas bak permaidani melewati dua puncak Bukit Chabang.

Gumpalan corak awan terbentang juga dapat dilihat sehingga Empangan Timah Tasoh yang terletak 16.2 kilometer dari kawasan itu.

Disebabkan Perlis tiada banyak bangunan pencakar langit dan amat kurang pencemaran udara jadi awan karpet ini mudah terbentuk.

Sejak tular di media sosial mengenai fenomena karpet awan, memberi nafas baharu kepada industri pelancongan Perlis.- Gambar Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Sejak tular di media sosial mengenai fenomena karpet awan, memberi nafas baharu kepada industri pelancongan Perlis.- Gambar Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Beri nafas baru pelancongan di Perlis

Pengunjung, Jasni Hashim, 44 yang bertugas sebagai jurutera di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berkata fenomena 'awan karpet' ini lazimnya berlaku jam 6.50 pagi sehingga jam 7.30 pagi.

"Fenomena ini sebenarnya sudah lama berlaku, namun hanya kebelakangan ini selepas tular gambar keindahan awan berkenaan ramai berpusu-pusu ke kawasan itu.

"Di kawasan sini sangat sesuai untuk melihat keindahan fenomena awan, di samping menikmati cuaca sejuk di kawasan ini," katanya.

Beliau juga dikenali sebagai Ved Vedder dalam kalangan komuniti jurugambar alam semula jadi berkata, kewujudan View Point Wang Kelian untuk melihat fenomena 'awan karpet' ini memberi 'nafas' baru industri pelancongan di Perlis yang sebelum ini agak suram.

Jasni merakam gambar dan video ketika lawatan ke Wang Kelian melihat fenomena karpet awan, baru-baru ini. - Foto Ihsan Jasni Hashim
Jasni merakam gambar dan video ketika lawatan ke Wang Kelian melihat fenomena karpet awan, baru-baru ini. - Foto Ihsan Jasni Hashim

Perlis semakin meriah

Pengunjung, Ahmad A'fifi Azme, 25, dari Kangar berkata, sebelum ini ramai tidak ambil peduli fenomena itu khususnya penduduk di negeri ini.

"Selepas tular di media sosial tiba-tiba menarik ramai pengunjung sedangkan sebelumnya sepi," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, rancangan mengkomersilkan lokasi itu sama seperti di Betong,Thailand.

"Perlis jarang diletakkan sebagai destinasi pelancong domestik dan antarabangsa kerana lebih terarah ke Langkawi, Kedah atau Hatyai di Thailand.

"Perlis hanya sebagai transit persinggahan sementara sebelum ke destinasi berkenaan.

"Selepas tersebar foto keindahan fenomena 'awan karpet' ini, kita melihat ia wajar dibangunkan menjadi tarikan di kawasan View Point Wang Kelian," katanya.

Antara lokasi boleh dikunjungi seperti Muzium Kota Kayang, Hutan Lipur Bukit Kubu, Kampung Pulau Ketam, Trek Kurong Tengar, Masjid Terapung al-Hussein Kuala Perlis, Warung Tepi Sawah, Tasik Melati, Empangan Timah Tasoh dan pelbagai lagi.

Info: View Point Wang Kelian

  • Lokasi terletak berhampiran bandar Satun, Thailand.
  • Menjadi pintu keluar antara Malaysia-Thailand.
  • Fenomena 'awam karpet' dilihat pada awal pagi.
  • Terletak di ketinggian 303 meter dari aras laut.
  • Perjalanan 30 minit dari Kangar, 20 minit dari pekan Padang Besar.
  • Boleh dilihat dari Ampangan Timah Tasoh, 16.2 kilometer dari Menara Pandang Wang Kelian.
  • Berita Harian X