Ahad, 10 Januari 2021 | 10:30am
Berada di puncak Bukit Keluang, Jertih dapat saksikan keindahan alam yang menghadap Laut China Selatan. - Foto/Ihsan Nik Hasmira
Berada di puncak Bukit Keluang, Jertih dapat saksikan keindahan alam yang menghadap Laut China Selatan. - Foto/Ihsan Nik Hasmira

Keindahan Bukit Keluang buruan pencinta alam

Umpama jatuh cinta pandang pertama saat kaki menjejaki puncak Bukit Keluang, Jertih, Terengganu, mata terpesona dengan keindahan pemandangan Laut China Selatan berlatarkan kehijauan hutan di pesisiran pantai.

Bagi pencinta alam tegar, keindahan alam semula jadi dengan desiran angin laut bertiup lembut memberi rasa ketenangan mampu mengasyikkan jiwa sekali gus mencetuskan kerinduan berpanjangan untuk kerap mendaki puncak itu.

Bukit Keluang yang terletak 4 kilometer (km) dari Pekan Kuala Besut sering menjadi tumpuan utama pengunjung pada hujung minggu untuk melakukan aktiviti mendaki bukit bersama keluarga.

Bagi seorang pendaki Bukit Keluang, Nik Hasmira Nik Yahya, 33, beliau kerap mendaki ke puncak itu, iaitu dua kali dalam tempoh sehari kerana rindu keindahan pemandangan berada di lokasi terbabit, selain mahu meningkatkan stamina.

Meletakkan papan tanda aras ketinggian bukit dan kiraan kalori dibakar ketika mendaki boleh menggalakkan orang ramai untuk menjaga kesihatan.
Meletakkan papan tanda aras ketinggian bukit dan kiraan kalori dibakar ketika mendaki boleh menggalakkan orang ramai untuk menjaga kesihatan.

"Keindahan pemandangan puncak ketika matahari terbit dan matahari terbenam tidak sama disebabkan itu saya sanggup mendaki bukit pada awal pagi dan sekali lagi pada waktu petang.

"Menikmati keindahan alam tidak sama dengan mendengar pengalaman orang kerana kita sendiri yang boleh rasa betapa nyaman udara segar di puncak bukit dan melihat Pulau Perhentian dari jauh," katanya.

Teroka keindahan alam

Ibu kepada seorang anak ini berkata, beliau mula aktif mendaki Bukit Keluang, sejak 2017 bersama rakan dan ahli keluarga.

"Kebiasaannya setiap hujung minggu, iaitu Jumaat dan Sabtu jumlah pengunjung yang mendaki Bukit Kluang akan bertambah berkali ganda hingga mencecah ratusan antara 200 hingga 300 orang.

"Selalunya seawal jam 6.45 pagi sudah ada pengunjung yang mula mendaki bukit dan petang kebiasaannya sekitar jam 4.30 petang ke atas.

"Jika diikutkan jarak antara kaki bukit hingga ke puncak tidak terlalu jauh bagi yang biasa mendaki boleh sampai ke atas dalam tempoh kurang 10 minit bagi tidak biasa kadang-kadang mengambil masa hingga 20 minit," katanya.

Tangga yang boleh digunakan pendaki untuk menuruni Bukit Keluang, Besut berhampiran Pantai Bukit Keluang, Besut.
Tangga yang boleh digunakan pendaki untuk menuruni Bukit Keluang, Besut berhampiran Pantai Bukit Keluang, Besut.

Beliau sentiasa teruja untuk meneroka keindahan alam di sini yang segar dan menghijau.

Kekalkan kebersihan

Sukarelawan Geng Supik Hitam Outdoor Recreation (GSH OUTREC), Mohd Hafizuddin Amlin, 37 berkata, kumpulan mereka ditubuhkan sejak 2015 dan mempunyai 35 ahli aktif melakukan kerja amal mengutip sampah di Bukit Keluang termasuk kawasan pelancongan utama.

"Penubuhan geng ini pada awalnya untuk membantu memungut sampah di sepanjang trek sehingga ke puncak Bukit Keluang kerana mahu memastikan kebersihan kawasan tumpuan sentiasa terjaga.

"Dari situ timbul ilham untuk menubuhkan Geng Supik Hitam dan hampir setiap hujung minggu kami mendaki Bukit Keluang sambil membawa supik (plastik) hitam untuk mengutip sampah," katanya.

Hafizuddin berkata, selalunya tiga hingga lima plastik hitam sampah-sarap bersaiz besar mengandungi botol plastik, kadang tapak kasut dikutip di laluan dan puncak Bukit Keluang.

"Aktiviti dilakukan secara sukarela dan tanggungjawab menjaga kebersihan sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama setiap pengunjung yang mendaki Bukit Keluang," katanya.

Beliau bersama GSH Outrec mengambil inisiatif memasang poster pemberitahuan notis prosedur operasi standard ( SOP) mendaki

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) COVID-19 Bukit Keluang.

"Kebanyakan pendaki patuh pada arahan terutama tidak dibenarkan berada di puncak bukit lebih 15 minit untuk bergambar kerana memberi peluang kepada pendaki lain pula berada di situ.

"Beberapa cadangan yang perlu dilakukan untuk menaiktaraf Bukit Keluang antaranya perlu ditambah penghadang trek yang sukar, meletakkan papan tanda aras ketinggian bukit dan kiraan kalori dibakar ketika mendaki boleh menggalakkan orang ramai untuk menjaga kesihatan," katanya.

Naik taraf trek tarik pengunjung

Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda, berkata pihaknya sudah menghantar cadangan untuk menaik taraf trek Bukit Keluang kepada pihak

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Antara beberapa cadangan kawasan berisiko boleh mengancam keselamatan pendaki akan diletakkan pagar, menambah beberapa wakaf sebagai tempat rehat pendaki ketika naik atau turun," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mewujudkan Jawantankuasa Pembangunan Bukit Keluang untuk memastikan usaha membangunkan kawasan itu dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.

Nik Hasmira kerap mendaki Bukit Keluang.
Nik Hasmira kerap mendaki Bukit Keluang.

Berita Harian X