Ahad, 20 Disember 2020 | 10:21am

Pesona bunga matahari di Bagan Datuk

BAGAN DATUK: Keceriaan warna bunga matahari dengan keindahan panorama taman menjadikan Sunflower Garden di Bagan Sungai Burung, di sini, menjadi lokasi tumpuan orang ramai.

Taman bunga matahari itu tular di media sosial dan menjadi lokasi tarikan terbaru di Bagan Datuk untuk pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dalam suasana perkampungan.

Pencinta bunga matahari atau nama botaninya 'Helianthus annuus' juga tidak perlu ke ladang bunga matahari di Thailand yang terkenal dengan keindahan flora itu ketika pintu sempadan negara masih ditutup akibat pandemik COVID-19.

Pengunjung, Ariana Shah Shamin, 45, berkata, keindahan bunga itu menggamitnya ke Bagan Datuk biarpun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer dari Sabak Bernam, Selangor.

"Saya terkejut kerana di Bagan Datuk ada taman bunga matahari seindah seperti di Thailand dan ini membuatkan saya gembira dan teruja.

"Sebelum ini saya memang merancang mahu ke ladang bunga matahari di Bangkok tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana COVID-19," katanya.

Menurutnya, dia mengetahui kewujudan taman itu selepas tular di media sosial dan pada mulanya 'cuak' kerana jalan masuk ke taman bunga itu agak sunyi.

"Taman ini dalam kampung dan apabila sampai saya teruja melihat keindahan bunga matahari dan berbaloi menempuh perjalanan jauh.

"Selepas ini kita sudah tidak perlu ke luar negara untuk melihat dan bergambar dengan bunga matahari kerana dalam negara juga sudah ada taman flora itu," katanya.

Pemilik taman, Khor Weng Kiang, 46, berkata, taman bunga matahari itu dibuka bersama enam rakan baiknya sejak tahun lalu untuk merancakkan lagi pelancongan domestik.

Katanya, taman seluas 0.8 hektar itu mempunyai 2,000 pokok bunga matahari yang mengambil masa 90 hari untuk berbunga.

"Setiap hari hampir 300 hingga 400 pengunjung dari dalam dan luar daerah ini datang ke sini dan boleh mencecah 500 orang pada hujung minggu.

"Keindahan bunga matahari menjadi tumpuan ramai, malah taman ini turut menjadi lokasi pengantin merakam gambar kenangan," katanya.

Taman itu dibuka setiap hari pada 9 pagi hingga 7 malam dengan bayaran bermula RM5 hingga RM13 mengikut usia dan 'port' bergambar turut disediakan seperti buaian, tangga langgit, arca berbentuk hati dan aktiviti memberi ikan makan.

Pengunjung bergambar dengan bunga matahari di Sunflower Garden di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Pengunjung bergambar dengan bunga matahari di Sunflower Garden di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X