Ahad, 1 November 2020 | 10:30am
REBANA Perak yang menjadi warisan negeri, mampu jadi tarikan produk pelancongan baharu. - NSTP/Noor Hidaya Tanzizi.
REBANA Perak yang menjadi warisan negeri, mampu jadi tarikan produk pelancongan baharu. - NSTP/Noor Hidaya Tanzizi.

Jejak seni warisan Rebana Perak

KEINDAHAN alam semula jadi dan kepelbagaian produk pelancongan di Perak sering menjadi pilihan strategik pelancong dalam dan luar negara untuk diterokai dengan cara tersendiri.

Antara produk pelancongan cukup terkenal seperti Pulau Pangkor, Lumut kini berstatus pulau bebas cukai, Taiping terkenal dengan Taman Tasik dan Bukit Larut, selain Kuala Kangsar dan Pasir Salak menyimpan 1001 sejarah Perak nyatanya tidak perlu diuar-uarkan lagi.

Sebalik semua itu, Perak turut menyimpan seni warisan alat muzik tradisional yang dimainkan pada majlis keraian iaitu rebana mampu menjadi produk baharu pelancongan negeri.

Tidak keterlaluan jika alat muzik itu disifatkan sebagai identiti masyarakat negeri ini kerana ia hiburan sejak zaman turun-temurun turut dihasilkan sendiri oleh anak tempatan.

Malah, rebana Perak dikaitkan dengan alat muzik berasal dari negara Arab itu menjadi hiburan kepada baginda Sultan Perak yang sering mudik di Sungai Perak bagi menyantuni rakyat jelata dan pedagang dari tanah Arab bersama menyertai rombongan itu.

KASSIM dan isteri, Siti Suhaila menunjukkan rebana yang dihasilkan mereka. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
KASSIM dan isteri, Siti Suhaila menunjukkan rebana yang dihasilkan mereka. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Wajar jadi pakej pelancongan

Paluan alunan muziknya yang merdu dengan lagu didendangkan lebih berunsurkan ketuhanan, kisah Nabi dan pujian kepada Allah serta Rasul adalah seni warisan perlu dipertahankan termasuk pembuatannya.

Lantas sewajarnya ia dimasukkan dalam pakej kepada pelancong apabila ke negeri ini bagi melihat secara dekat proses penghasilannya dan persembahan kumpulan muzik itu.

Rebana Perak yang dimainkan 12 pemain dalam satu kumpulan membabitkan empat jenis rebana iaitu penengkah dan penyelang digelar 'ibu rebana', satu pembandung dan sembilan pelalu digelar 'anak'.

Setiap jenis rebana menghasilkan bunyi berbeza dengan bunyi ibu rebana lebih kuat, nyaring dan berdengung namun gabungan keempat-empat rebana menghasilkan alunan muzik merdu dan padu.

Rebana Perak dibuat daripada kayu halban jenis tanduk dan bunga dengan jenis tanduk akan menghasilkan bunyi terbaik, selain tahan lama dan menggunakan kulit lembu atau kerbau pada bahagian diafram.

Rebana dan kompang juga dua alat muzik sangat berbeza walaupun ada menyangka ia sama kerana kompang menggunakan kulit kambing, lebih besar, nipis dan bunyinya tidak nyaring dan berdegung seperti rebana.

Keunikan rebana jadi halwa telinga

Pembuat rebana dari Kampung Pulau Gajah, Kampung Gajah, Kassim Ibrahim, 43, berkata lebih empat tahun beliau terbabit dalam seni pembuatan alat muzik tradisional itu dengan berbekalkan minat mendalam sejak kecil.

"Saya buat rebana dan melatih kumpulan. Selain ada kumpulan anak beranak kerana semua anak saya dan isteri turut berminat dengan alat muzik ini.

"Rebana Perak ada keistimewaan tersendiri di setiap daerah seperti ketinggian dan saiz muka rebana, namun bunyinya tetap sama," katanya turut dibantu isteri, Siti Suhaila Shamsuddin, 38.

Baluh rebana menunjukkan ciri khas tukang dengan bahagian dalam melengkung dan ketebalan baluh berperanan menghasilkan bunyi yang sedap, berdengung dan lebih kuat hingga boleh didengar lebih 500 meter terutama ketika suasana sunyi.

KULIT lembu perlu dijemur selama sebulan untuk digunakan pada bahagian diafram rebana. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
KULIT lembu perlu dijemur selama sebulan untuk digunakan pada bahagian diafram rebana. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

"Proses pembuatan rebana bermula dengan pemotongan kayu mengikut bentuk dan saiz sebelum direndam dalam air dan dilarik dengan mesin pelarik.

"Selepas itu proses memasang dan memaku kulit serta perincian kekemasan lain seperti melicinkan kulit dan mengilatkan rebana.

"Rebana penyelang dan penengkah mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk disiapkan bagi mendapatkan bunyi terbaik manakala jenis lain hanya seminggu disiapkan," katanya.

Mampu jadi produk pelancongan Perak

Proses pembuatan rebana yang rumit selain memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi menjadikan alat muzik itu mempunyai keistimewaan serta nilai estetika tersendiri.

Satu set rebana dijual pada harga RM2,700 hingga RM3,000 manakala untuk penengkah dan penyelang antara RM700 hingga RM1,000.

Kassim berkata, rebana dimainkan pada majlis keraian di setiap daerah di Perak, namun kini ia semakin dilupakan.

Katanya, ketika ini boleh dikatakan hanya daerah Perak Tengah, Kuala Kangsar dan Batang Padang sahaja yang masih mempunyai kumpulan dan giat bermain alat muzik itu.

"Generasi muda sekarang kurang berminat. Pemainnya masih ada cuma tidak serancak dahulu di mana setiap kampung mesti ada kumpulan rebana, namun sekarang sebuah kampung belum tentu ada.

"Di Perak tukang rebana hanya saya dan seorang lagi di Kuala Kangsar sahaja. 25 tahun lalu di Kampung Gajah ada lima tukang rebana tetapi sekarang hanya saya sahaja," katanya.

PROSES menegangkan kulit lembu sebelum siap sebagai rebana yang menjadi alat muzik tradisional masyarakat di Perak. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
PROSES menegangkan kulit lembu sebelum siap sebagai rebana yang menjadi alat muzik tradisional masyarakat di Perak. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Sebagai anak kelahiran Kampung Gajah, beliau tidak mahu seni warisan itu hanya tinggal nama semata-mata jika ia tidak dipertahankan.

"Saya mahu seni warisan dan pembuatan rebana diteruskan sebagai budaya yang tak lapuk ditelan zaman.

"Rebana ada potensi untuk dijadikan tarikan dan produk pelancongan desa di Perak, pelancong dalam dan luar negara boleh mengenali serta mendalami seni budaya," katanya.

Berita Harian X