Rabu, 9 Ogos 2017 | 12:03am
DARI kiri: Sheikh Khalil, Sheikh Mokhtar dan Sheikh Muhammad Afiq menunjukkan sebahagian koleksi Transformers mereka. - Foto Amir Irsyad Omar
DARI kiri: Sheikh Khalil, Sheikh Mokhtar dan Sheikh Muhammad Afiq menunjukkan sebahagian koleksi Transformers mereka. - Foto Amir Irsyad Omar
LEBIH 400 koleksi transformers membabitkan tujuh pengumpul memeriahkan program yang julung kali diadakan ini. - Foto Amir Irsyad Omar
LEBIH 400 koleksi transformers membabitkan tujuh pengumpul memeriahkan program yang julung kali diadakan ini. - Foto Amir Irsyad Omar

'Keluarga Transformers'

BUKIT MERTAJAM: Akibat terlalu minat terhadap filem bercorak sains fiksyen, Transformers, dua beradik pantang melihat figura karektor filem berkenaan dan sanggup menghabiskan sejumlah wang untuk membelinya.

Malah, Sheikh Muhammad Afiq Sheikh Mokhtar, 18, dan adiknya Sheikh Khalil, 17, sanggup menggunakan wang perbelanjaan sekolah serta duit raya masing-masing, semata-mata membeli figura yang diminati, sejak 10 tahun lalu.

Minat mengumpulkan replika watak itu sebagai koleksi peribadi, didorong selepas melihat bapanya, Sheikh Mokhtar Sheikh Ali, 57, menjadi pengumpul pelbagai figura aksi sejak tahun 80-an lagi.

"Ayah menjadi inspirasi sehingga kami kini menjadi antara pengumpul tegar figura aksi Transformers di Pulau Pinang," kata Sheikh Muhammad Afiq kepada BH Plus ketika ditemui pada Pameran Koleksi Transformers di sebuah pasaraya di sini, baru-baru ini.

Menurut Afiq, segala-galanya bermula apabila mereka berdua sangat meminati filem Transformers sebelum mula mengumpulkan koleksi figura aksi watak robot terutamanya yang mempunyai rekabentuk unik dan moden.

SEBAHAGIAN kanak-kanak yang hadir pada Pameran Koleksi Transformers di Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
SEBAHAGIAN kanak-kanak yang hadir pada Pameran Koleksi Transformers di Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

SEBAHAGIAN kanak-kanak tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama 'Bumblebee' pada Pameran Koleksi Transformers. - Foto Amir Irsyad Omar
SEBAHAGIAN kanak-kanak tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama 'Bumblebee' pada Pameran Koleksi Transformers. - Foto Amir Irsyad Omar

"Kami beruntung kerana ayah juga adalah pengumpul figura aksi klasik dan ini memudahkan kami memilih robot yang sesuai untuk dikumpul dan bernilai tinggi. Setiap tahun kami membeli pelbagai jenis robot aksi yang kini berjumlah kira-kira 350 unit dan jumlahnya terus meningkat," katanya.

Bagaimanapun, mereka berdua tidak pernah menghitung secara tepat berapa wang yang sudah dibelanjakan bagi membeli figura aksi berkenaan, namun menganggarkan jumlahnya tidak kurang daripada RM15,000.

Afiq yang juga anak sulung daripada empat beradik, berkata hobi mengumpul koleksi figura aksi bukan sesuatu yang sia-sia kerana ia boleh menjana keuntungan mengikut kreativiti pengumpul.

Katanya, bagi menaikkan nilai figura aksi dimilikinya, ada antaranya dinaik taraf dan diubah kepada replika robot yang lebih menarik bagi menjadikannya lebih eksklusif.

"Saya turut menghasilkan 'diorama' iaitu mengolah replika asal Transformers ke reka bentuk yang lebih eksklusif.

"Hasil jualan diaorama ini saya jadikan ia sebagai modal untuk membeli dan menambah koleksi Transformes kami. Tambahan pula saya kini hanya bekerja sambilan manakala adik pula masih belajar di tingkatan lima.

SEBAHAGIAN orang ramai tidak melepaskan peluang hadir ke Pameran Koleksi Transformers di sebuah pasaraya di Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar
SEBAHAGIAN orang ramai tidak melepaskan peluang hadir ke Pameran Koleksi Transformers di sebuah pasaraya di Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

MUHAMMAD Anis menunjukkan sebahagian koleksi Tranformers miliknya. - Foto Amir Irsyad Omar
MUHAMMAD Anis menunjukkan sebahagian koleksi Tranformers miliknya. - Foto Amir Irsyad Omar

"Hobi mengumpul figura aksi ini boleh menjadikan seseorang itu lebih kreatif selain minat ia juga dapat membantu saya menambah duit poket," katanya.

Jelasnya, selain Transformers, dia dan adiknya turut mengumpul koleksi figura aksi lain antaranya Kamen Rider, Ultraman dan Robot Gundam.

Sementara itu, bapanya, Sheikh Mokhtar berkata, dia tidak pernah menghalang minat dua anaknya mengumpul figura aksi sama sepertinya.

"Pada awalnya saya bermula dengan mengumpul komik lama kemudian gitar dan barangan klasik lain, sebelum mempunyai minat mengumpul koleksi figura aksi.

"Pada mulanya, saya ingat hobi ini sudah berakhir berikutan barangan yang dikumpul saya sebelum ini, habis musnah akibat banjir. Namun minat ini berputik kembali selepas berpindah ke rumah baharu," katanya.

Sementara itu, Penganjur Pameran Transformers, Muhammad Anis Fakhri Mohd Nesfu, berkata lebih 400 koleksi transformers membabitkan tujuh pengumpul memeriahkan program yang julung kali diadakan di Seberang Prai.

Katanya, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti berkaitan transformers yang boleh disertai pengunjung hingga ia secara tidak langsung mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Saya juga minat mengumpul figura aksi dan kini memiliki kira-kira 1,000 koleksi. Justeru, ia memberi saya idea untuk mengumpulkan individu yang mempunyai minat sama dalam satu pameran seperti ini.

SEBAHAGIAN figura aksi Transformers. - Foto Amir Irsyad Omar
SEBAHAGIAN figura aksi Transformers. - Foto Amir Irsyad Omar

"Pameran ini dapat memberi inspirasi kepada semua bahawa hobi ini juga tidak hanya kepada orang yang berduit tetapi siapa sahaja boleh jika mempunyai minat mendalam," katanya.

Jelasnya, kebanyakan pengumpul koleksi Transformers bukan dari keluarga yang senang tetapi melalui minat yang ada pada mereka memberi idea untuk menjana pendapatan sampingan sekali gus dapat memiliki lebih banyak koleksi.

INFO

  • Transformers adalah sebuah siri fiksyen diadaptasi daripada komik yang dicipta oleh Hasbro dan Tomy.
  • Michael Bay ialah pengarah pertama filem Transformers pada tahun 2007, diikuti dengan Transformers: Revenge of the Fallen (2009), Transformers: Dark of the Moon (2011), Transformers: Age of Extinction (2014) dan Transformers: The Last Knight (2017).
  • Kehebatan filem Transformers bergantung kepada kesan khas, aksi yang mantap dan muzik latarnya yang menghiburkan.
Berita Harian X