Selasa, 28 Mei 2024 | 8:26am
Pokok Methuselah dipercayai berusia 4,856 tahun di temui di California.
Pokok Methuselah dipercayai berusia 4,856 tahun di temui di California.

10 pokok tertua dunia

KEWUJUDAN pokok besar penting dalam menjamin kelestarian alam sekitar, tingkatkan kesihatan manusia, mengurangkan pencemaran udara dan perlu hidup secara berterusan bagi memelihara tumbuhan itu.

Di sisi ilmu sains, fungsi pokok memberi teduhan selain dapat mengurangkan pencemaran udara serta bunyi terutama di kawasan bandar yang di kelilingi 'hutan' konkrit berpuluh-puluh tingkat.

Menurut kajian, pokok berperanan menyerap gas karbon yang dilepaskan hasil aktiviti pembakaran, pengangkutan dan pelbagai lagi.

Dengan 'teknologi' semula jadi yang ada pada pokok itu juga boleh menjadi penapis kepada gas pencemar atau pelepasan gas rumah hijau.

Tanpa pokok teknologi semula jadi lain juga tidak dapat berlaku lantas berisiko menyebabkan kandungan gas pencemar dan mendapan logam berat sekeliling kita akan terus bertambah sehingga berisiko mengancam kesihatan manusia.

Walaupun terdapat segelintir masyarakat mempunyai sentimen negatif terhadap pokok besar kerana dianggap boleh memudarat atau mengakibatkan individu tercedera atau maut serta memaksa untuk ditebang, hakikatnya ia tetap menjadi nadi kehidupan sekiranya pohon itu dijaga dan diselenggara dengan baik.

Menariknya, tiada siapa yang tahun sebenarnya ada 10 spesies pokok purba yang paling lama hidup di dunia seperti disenaraikan oleh www.treehugger.com.

Ternyata pokok purba itu mampu hidup beribu-ribu tahun serta melalui banyak tamadun termasuk berjaya meredah pelbagai bentuk perubahan iklim, tekanan kemajuan industri yang memerlukan banyak pokok ditebang demi pembangunan. Berikut perinciannya:

1. Pokok Methuselah

Pokok ini tergolong dalam spesies pine bristlecone purba dan dipercayai sudah berusia 4,856 tahun, ditemui hidup di Hutan Negara Inyo dekat White Mountains, California.

Ekoran usianya mencapai tahap purba, lokasi sebenar keberadaannya dirahsiakan bagi melindungi spesies itu.

Pokok General Sherman berusia sekitar 2,500 hingga 2,700 tahun
Pokok General Sherman berusia sekitar 2,500 hingga 2,700 tahun

2. Pokok General Sherman

Dipercayai berusia sekitar 2,500 hingga 2,700 tahun, ditemui tumbuh di Taman Negara Sequoia, California. Ia pokok sequoia gergasi yang utuh hingga sekarang.

Pokok ini dikatakan menjangkau kira-kira setinggi bangunan 27 tingkat.

Pokok Sarv-e Abarqu dianggarkan berusia 4,000 tahun.
Pokok Sarv-e Abarqu dianggarkan berusia 4,000 tahun.

3. Pokok Sarv-e Abarqu

Pohon purba itu dipanggil 'Zroastrian Sarv' oleh penduduk di Iran. Pokok cemara itu tumbuh di wilayah Yazd, Iran dan dianggarkan berusia 4,000 tahun dengan melalui tamadun manusia.

Ia dianggap monumen kebangsaan Iran, selain dikatakan istimewa di hati semua rakyat negara itu. Kemungkinan besar pokok itu digelar makhluk hidup tertua di Asia.

Pokok Llangernyw Yew dipercayai berusia 4,000 tahun
Pokok Llangernyw Yew dipercayai berusia 4,000 tahun

4. Pokok Llangernyw Yew

Terletak di halaman gereja kecil St Dygain dekat Kampung Lllangernyw, Wales Utara, United Kingdom (UK).

Dipercayai berusia 4,000 tahun, ditanam sejak zaman gangsa prasejarah. Pada 2002 ketika sambutan Jubli Emas Ratu Elizabeth II, pokok itu diisytihar sebagai salah satu daripada 50 pokok Great British oleh Tree Council.

Terdapat mitos berkait pokok itu, ia berakar umbi dalam budaya Welsh kerana dikaitkan dengan roh dipanggil Angelystor atau malaikat kematian.

Pokok Alerce dipercayai berusia sekitar 3,600 tahun.
Pokok Alerce dipercayai berusia sekitar 3,600 tahun.

5. Pokok Alerce

Pokok daripada spesies Fitzroya cupressoides berasal dari pergunungan Andes. Tidak dapat dipastikan usia sebenar pokok ini kerana kebanyakan spesimen lebih besar banyak ditebang sejak berabad-abad lalu.

Namun, ada percaya ia berusia sekitar 3,600 tahun. Sehingga kini, spesimen hidup tertua pokok itu yang diketahui berusia 3,000 tahun atau lebih.

Kayunya sangat berharga untuk warga Chile sebagai kasau (kayu) untuk kekuda bumbung.

Pokok Patriarca da Floresta berusia melebihi 2,000 tahun
Pokok Patriarca da Floresta berusia melebihi 2,000 tahun

6. Pokok Patriarca da Floresta

Tergolong spesies Cariniana legalis didapati di Brazil dan berusia melebihi 2,000 tahun. Pohon itu dipercayai suci bagi penduduk di Amerika Selatan. Bagaimanapun, spesiesnya terancam secara meluas akibat pembalakan hutan di Brazil, Colombia dan Venezuela.

Pokok The Senator berusia sekitar 3,500 tahun
Pokok The Senator berusia sekitar 3,500 tahun

7. Pokok The Senator

Pernah alami kebakaran pada 2012 yang menyebabkan sebahagian besar pokok itu musnah. Namun, masih dianggap sebagai pokok ikonik.

Pohon ini tergolong spesies pokok cemara botak yang terbesar di Amerika Syarikat, dianggap tertua dan masih wujud sampai sekarang, iaitu dianggarkan berusia sekitar 3,500 tahun.

Pokok ini diangkat sebagai mercu tanda kaum India Seminole dan puak Orang Asli. Masih utuh meskipun banyak kali dibadai taufan.

Pokok Olive Tree of Vouves berusia berusia 2,000 hingga 3,000 tahun
Pokok Olive Tree of Vouves berusia berusia 2,000 hingga 3,000 tahun

8. Pokok Olive Tree of Vouves

Pokok zaitun purba terletak di Crete, Yunani. Antara tujuh pokok zaitun di Mediterranean, dipercayai berusia 2,000 hingga 3,000 tahun.

Walaupun usia sebenar tidak dapat disahkan, pokok itu mungkin yang tertua. Ia terkenal sebagai tumbuhan tahan lasak, kemarau, penyakit dan api.

9. Pokok Jōmon Sugi

Pokok crytomeria tertua dan terbesar di Yakushima, Jepun. Pakar percaya ia mencecah usia 3,000 tahun, sekalig gus menjadi faktor mengapa pulau itu dinamakan sebagai tapak warisan dunia UNESCO.

Mengikut teori itu, mungkin menjadikan ia pohon tertua di dunia.

10. Pokok Chestnut Tree of One Hundred Horses

Terletak di Gunung Etna dekat Sicily, Itali, tergolong sebagai pokok berangan terbesar di dunia. Dipercayai usianya antara 2,000 hingga 4,000 tahun.

Pokok ini terletak lebih lapan kilometer (km) dari kawah Gunung Etna, antara gunung berapi paling aktif di dunia. Nama pokok itu berasal daripada legenda di mana sekumpulan 100 kesatria terperangkap dalam ribut petir buruk. Mengikut cerita, semua kesatria berteduh di bawah pohon besar itu.- Agensi

Berita Harian X