Khamis, 23 Mei 2024 | 10:22am
Pusat Konservasi Resing Kampung Gol menempatkan beberapa spesies resing antaranya labi-labi gergasi cengkerang lembut atau nama saintifiknya Pelochelys cantorii. - Foto BERNAMA
Pusat Konservasi Resing Kampung Gol menempatkan beberapa spesies resing antaranya labi-labi gergasi cengkerang lembut atau nama saintifiknya Pelochelys cantorii. - Foto BERNAMA

Telur jadi buruan, nasib labi-labi gergasi kelam diancam kepupusan

JERANTUT: Hanya ditemukan di kawasan Taman Negara Kuala Tahan, khususnya Sungai Tembeling, Pahang, kelibat resing atau labi-labi gergasi air tawar kini semakin jarang kelihatan.

Reptilia daripada keluarga Trionychidae ini adalah spesies 'jarang jumpa', menjadikan Sungai Tembeling sebagai habitat di situ.

Menurut penyelidik, Mohd Ruzed Embong, begitu mudah melihat haiwan ini bertelur di beting pasir apabila tiba musim, iaitu antara Disember hingga Julai, pada era 1970-an.

"Ketika waktu puncak bertelur, iaitu Mac hingga April, antara lima hingga enam ekor resing betina boleh dilihat naik bertelur saban hari pada waktu itu.

Namun sekarang memang sukar. "Setakat (musim bertelur) tahun ini, kita hanya kesan tujuh ekor dan kita kenal pasti tujuh lokasi aktif haiwan ini bertelur dalam lingkungan 100 kilometer di sepanjang sungai berkenaan," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak menemukan sebarang telur, sebaliknya cuma kesan-kesan sarang dengan sisa kulit telur yang bersepah.

PULIHARA

Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Kemudahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam itu, berkata kemerosotan bilangan labi-labi gergasi terbabit berkait rapat dengan fenomena semula jadi termasuk ancaman haiwan pemangsa seperti biawak dan burung helang malah manusia.

"Keadaan ini diburukkan lagi oleh aktiviti perlombongan, selain telur resing ini juga menjadi buruan penduduk setempat kerana rasanya yang enak.

Malah, resing turut dipercayai mempunyai faedah perubatan," kata beliau lagi.

Bimbang dengan masa depan reptilia terbabit, beliau berkata UiTM Shah Alam bekerjasama dengan penduduk Kampung Gol di Tembeling Tengah dekat sini, serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), menubuhkan pusat pemuliharaan bagi melindungi spesies yang amat terancam berkenaan.

"Pusat Konservasi Resing Kampung Gol adalah satu-satunya pusat pemuliharaan resing di negara ini, dan di peringkat Asia Tenggara pula ada dua lagi pusat, iaitu di Kemboja dan Vietnam," jelas beliau, menambah penubuhan pusat itu menelan belanja sekitar RM90,000 yang disalurkan oleh Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional dan Geran Bestari UiTM.

Beroperasi sejak dua tahun lalu, pusat yang dibangunkan di atas kawasan seluas lapan hektar itu berperanan sebagai tempat pengeraman dan penetasan telur resing serta aktiviti pendidikan dan kesedaran awam tentang hidupan liar itu.

"Pada masa ini, kita ada kira-kira 100 biji telur yang sedang dieram. Pengeraman mengambil masa dua bulan dan selepas menetas kita akan jaga hingga anak-anak resing ini mencapai usia matang, iaitu setahun, sebelum kita lepaskan ke habitat asal mereka," katanya.

Selain dikutip sendiri, telur-telur terbabit turut dibeli daripada nelayan pada harga RM3 sebiji.

"Kita upah nelayan cari kerana bukan mudah untuk kesan telur-telur ini yang ditimbus dengan pasir," tambahnya.

Kini pusat yang diuruskan oleh komuniti Kampung Gol itu menempatkan beberapa spesies resing, antaranya ialah labi-labi gergasi cengkerang lembut atau nama saintifiknya Pelochelys cantorii dan labi-labi bintang (Chitra chitra) yang mampu mencapai saiz hingga 60 sentimeter panjang dengan berat sekitar 20 hingga 30 kilogram.

MENJADI BURUAN

Menurut seorang penduduk Kampung Gol yang turut terbabit dalam projek pemuliharaan itu, Arif Ahmad, 54, antara cabaran utama usaha berkenaan ialah mencari telur untuk ditetaskan.

"Orang kata telur resing ini lebih enak berbanding telur penyu… lebih berlemak, justeru memang jadi buruan penduduk setempat. Lebih-lebih lagi telur resing hanya boleh didapati secara bermusim," katanya.

KEKANG CURI TELUR RESING ELAK PUPUS

Percaya resing akan pupus di negara ini jika kegiatan mencuri telur reptilia itu tidak dikekang, beliau berkata mereka berusaha memantau kegiatan penduduk dengan menyusuri sungai sepanjang musim resing bertelur.

"Usaha ini tidak mudah kerana keadaan sungai itu sendiri. Kadangkala kami terpaksa bermalam di tepi sungai kerana perjalanan pergi dan balik amat jauh.

Apatah lagi resing ini sukar dijumpai," katanya, menambah seekor resing betina mampu mengeluarkan hingga 100 biji telur.

Labi-labi gergasi adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya oleh pihak berkuasa menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, selain turut tersenarai sebagai haiwan dilarang daripada didagangkan dalam apa juga bentuk di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Dalam pada itu, Perhilitan berkata penubuhan pusat konservasi itu penting bagi menjamin ekosistem hidupan akuatik.

Menurut jabatan itu, resing memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada kitaran semula jadi ekosistem di dalam sungai, iaitu selaku pemangsa buat hidupan air seperti krustasea, serangga akuatik dan juga ikan.

Justeru, kewujudan reptilia ini menjamin keseimbangan populasi hidupan akuatik, kata Perhilitan dalam kenyataan.

PERHILITAN juga melihat penubuhan pusat konservasi itu dapat membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat menerusi kedatangan pelancong dan lain-lain. – BERNAMA

Berita Harian X