Isnin, 25 March 2024 | 12:34pm
KOTA BHARU 15 MAC 2024. Seni bina lebih 100 kubah seperti Masjid Sheikh Zayed Al-Nahyan di Abu Dhabi dengan keindahan serba putih tersergam indah menjadi antara tarikan utama Masjid Imanul Fa'izin Jalan Peringat -Melor di Kampung Padang Kala, di sini. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
KOTA BHARU 15 MAC 2024. Seni bina lebih 100 kubah seperti Masjid Sheikh Zayed Al-Nahyan di Abu Dhabi dengan keindahan serba putih tersergam indah menjadi antara tarikan utama Masjid Imanul Fa'izin Jalan Peringat -Melor di Kampung Padang Kala, di sini. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemandangan sekitar Masjid Imanul Fa'izin. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemandangan sekitar Masjid Imanul Fa'izin. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Razali (tengah) dan Nik Saiful (kiri) menunjukkan permaidani bercorak yang dihampar indah. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Razali (tengah) dan Nik Saiful (kiri) menunjukkan permaidani bercorak yang dihampar indah. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seni bina memukau menjadi tarikan utama Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala di Kota Bharu. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seni bina memukau menjadi tarikan utama Masjid Imanul Fa’izin, Kampung Padang Kala di Kota Bharu. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Bagai berada di Abu Dhabi dan Madinah serentak

Seni bina memukau dengan lebih 100 kubah seperti Masjid Sheikh Zayed Al-Nahyan di Abu Dhabi dan hamparan permaidani bercorak hijau seperti Raudah di Masjid Nabawi, Madinah, menjadi antara tarikan utama Masjid Imanul Fa'izin, Kampung Padang Kala di Kota Bharu.

Setiap mata mereka melalui Jalan Peringat-Melor itu, pasti akan terpukau dengan keindahan masjid serba putih tersergam indah, tidak kurang juga ada sanggup berhenti menunaikan solat, selain tidak melepaskan peluang untuk bergambar.

Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa'izin, Nik Saiful Adli Burhan, berkata kesemua kubah digunakan untuk membina masjid itu ditempah khas daripada Medan, Indonesia.

Katanya, apa lebih menarik permaidani bercorak terhampar indah di dalam masjid pula ditempah daripada kilang sama menyediakan karpet di Masjid Nabawi, sekali gus membawa aura suasana seakan-akan berada di Raudah.

"Selain itu, marmar pada lantai dan dinding turut mencuri perhatian kerana dilihat mewah dan mewujudkan suasana lebih sejuk serta tenang. Kesemua marmar dipilih adalah yang terbaik dan dibawa dari Turkiye, Mesir dan Oman,

"Masjid ini milik persendirian ditadbir Persatuan Kariah Masjid Imanul Fa'izin berdaftar dibawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan hampir 100 peratus dana disampaikan Ibrahim Mat Sin, 68.

"Sejak mula dibina pada 2020, akhirnya pada hari pertama Ramadan kali ini, pengurusan tertinggi membuat keputusan membuka masjid dan tidak menyangka mendapat sambutan luar biasa dengan jemaah melebihi 2,000 orang sepanjang solat Tarawih," katanya.

Kos pembinaan cecah RM7.5 juta

Nik Saiful berkata, bagaimanapun, terdapat lebih kurang 10 peratus lagi proses pembinaan sedang dijalankan, iaitu di bahagian tempat mengambil wuduk wanita dan pihaknya masih menunggu sistem audio (PA) ditempah khas daripada Jerman.

"Memandangkan bahagian utama masjid sudah siap kami membukanya lebih awal untuk orang ramai, malah sebelum ini hampir setiap hari dron diterbangkan di kawasan ini membuktikan ramai teruja serta tidak sabar menerokai sendiri rumah Allah ini.

"Dua imam dan dua bilal berpendidikan serta berpengalaman dilantik untuk menggalas jawatan berkenaan, selain dibayar dengan pendapatan lumayan kerana sasaran pengurusan masjid juga adalah mengangkat martabat pekerjaan bidang keagamaan.

"Besar juga harapan kami agar Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat Jumaat diadakan di sini tanpa mengambil alih pengurusan asal memandangkan kami mahu menjaga kualiti serta keindahan masjid ini dengan sempurna," katanya.

Jelasnya, pihaknya turut mensasarkan masjid itu sebagai lokasi pelancongan pada masa akan datang, justeru mereka dalam perancangan menyediakan kawasan jubah di bahagian luar masjid boleh dipakai pengunjung bukan Islam yang dialu-alukan menghayati keindahan Masjid Imanul Fa'izin.

Banyak perlu dilalui

Sementara itu, Ibrahim ketika dihubungi mengakui mendapat idea pembinaan rumah ibadat terbabit selepas jatuh cinta dengan keindahan Masjid Sheikh Zayed Al-Nahyan.

"Saya memastikan mereka terbabit dalam pembinaan adalah dalam kalangan pakar dalam seni bina masjid agar berjaya dibina seperti dibayangkan. Alhamdulillah, usaha ini menjadi dan saya gembira kerana sekarang ia boleh digunakan penduduk kampung saya sendiri.

"Banyak cabaran perlu dilalui dalam menyiapkan Masjid Imanul Fa'izin, termasuk memastikan agar bahagian kubah, tiang dan pintu gerbang dibina sempurna serta sama seperti Masjid Sheikh Zayed Al-Nahyan.

"Walaupun kos pembinaan masjid ini mencecah RM7.5 juta, ia sangat berbaloi dan paling penting rumah ibadat ini memberi manfaat serta keselesaan kepada orang ramai, sekali gus menggalakkan lebih ramai orang ke masjid," katanya yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Menurutnya, apa lebih membanggakan apabila golongan bukan Islam turut singgah ke masjid itu kerana tertarik dengan keindahan masjid terbabit, sekali gus membuktikan berjaya berdakwah melalui seni bina.

Sepanjang Ramadan, pengurusan tertinggi masjid turut menyediakan pelbagai juadah untuk moreh memandangkan jemaah yang datang bertarawih sangat menggalakkan.

Difahamkan, jemaah yang hadir bukan sahaja dari Bharu malah dari Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok susulan teruja untuk merasai suasana beribadat di masjid terbabit.

Beri semangat beribadat

Sementara itu, pengunjung, Sarimah Abdullah, 58, berkata beliau teruja kerana dapat melawat dan merasai sendiri pengalaman solat berjemaah di Masjid Imanul Fa'izin selepas beberapa kali melihat video keindahan masjid itu di dalam laman sosial Facebook.

"Saya datang dari Rantau Panjang ke sini yang perjalanannya satu jam setengah bersama anak dan menantu tetapi berbaloi selepas dapat melihat di depan mata masjid tersergam indah.

"Keseluruhan bangunan masjid berwarna putih ditambah dengan seratus kubah pelbagai saiz benar-benar membuatkan ia kelihatan sangat mewah. Secara tidak langsung memberi semangat untuk kita beribadat apabila ada tempat secantik ini.

"Sekurang-kurangnya kalau ada yang bertanya saya boleh bercerita bahawa saya pernah sampai ke masjid ini kerana saya yakin suatu hari nanti ia akan lebih dikenali ramai," katanya.

Jelasnya, Masjid Imanul Fa'izin pastikan akan dijadikan sebagai tempat wajib untuk disinggahi setiap kali melalui kawasan berkenaan.

Berita Harian X