Rabu, 6 March 2024 | 7:41am
Panduan khusus bantu menghias rumah menjadi lebih sempurna. - Foto hiasan
Panduan khusus bantu menghias rumah menjadi lebih sempurna. - Foto hiasan

Tip, pengetahuan asas mudahkan kerja hias rumah

Mengemas dan menghias rumah membuatkan kediaman sentiasa bersih daripada habuk dan bebas bakteria sekali gus lebih nyaman diduduki.

Namun, untuk menghias kediaman memerlukan beberapa pengetahuan asas supaya dapat menghias dengan baik supaya kelihatan sempurna.

Justeru, beberapa panduan khusus mungkin membantu mengatasi sebarang kemungkinan terutama jika baru berpindah rumah mengikut keperluan anda.

Menggantung gambar umpamanya perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak kerosakan pada dinding.

Sebelum mengetuk penyangkut gambar ke dinding, panaskan paku menggunakan mancis bagi memudahkan paku terbenam tanpa berlaku rekahan.

Lekat pita pelekat di luar bingkai gambar untuk diselarikan susunannya dan ia membantu bingkai gambar yang digantung berada pada kedudukan asal.

Penggunaan seterika dan tisu dapat menghilangkan kesan tumpahan lilin tanpa perlu mengubah penataan seluruh ruang.

Lakukan dengan mudah iaitu membiarkan beberapa ketika kesan tumpahan lilin sebelum dicungkil menggunakan kad terpakai.

Panaskan seterika pada suhu rendah dan letakkan tisu untuk menyerap segala tumpahan lilin itu. Ulang beberapa kali hingga kesan berkenaan hilang sepenuhnya dan menyerlahkan kembali keceriaan dekorasi.

Penggunaan stokin atau fabrik terpakai antara alternatif mengelak kesan calar selain memudahkan kerja mengalih perabot.

Bagi perabot besar yang ingin dialihkan, selitkan fabrik atau tuala terpakai di bawah perabot itu terlebih dahulu.

Jika memiliki perabot kayu gunakan pencuci untuk membersihkan kekotoran. Lantai simen pula boleh dibersihkan menggunakan soda penaik dan air panas kerana ia selamat serta bebas kimia.

Berita Harian X