Selasa, 5 March 2024 | 8:47am

Rahsia rumah kitar semula, dibina guna 10 jenis kayu terpakai berusia 150 tahun

MEMASUKI perkarangan sebuah rumah tradisional dua tingkat ini, suasana terasa seperti berada di dalam persekitaran kampung nenek moyang yang berusia ratusan tahun dengan rekaan unik dan binaan tersergam indah.

Rumah dikenali 'Chengal House' terletak di Jalan Loji Bukit Panchor, Nibong Tebal, Pulau Pinang itu sebenarnya baru berusia 17 tahun yang dibina menggunakan bahan-bahan kitar semula, iaitu kayu terpakai berusia lebih 100 tahun yang diselamatkan dari seluruh negara.

Sama ada kerangka bumbung, tiang, tingkap, pintu dan jubin lantai semua bahan itu adalah yang dikitar semula daripada kediaman serta bangunan berusia lebih satu abad yang dirobohkan.

Ruangan dalaman dibina dengan rekaan menarik dan sejuk mata memandang. - Foto Danial Saad
Ruangan dalaman dibina dengan rekaan menarik dan sejuk mata memandang. - Foto Danial Saad

Kok Wah menunjukkan antara kayu yang diselamatkan untuk proses membaikpulih, penjagaan kualiti terletak di bengkel miliknya di Nibong Tebal. NSTP Danial Saad
Kok Wah menunjukkan antara kayu yang diselamatkan untuk proses membaikpulih, penjagaan kualiti terletak di bengkel miliknya di Nibong Tebal. NSTP Danial Saad

Jadi, tidak hairan mengapa suasana rumah itu terlihat lama tetapi mewah dengan landskap dan dekorasi kediaman yang mempamerkan barang-barang antik.

Pemilik rumah itu, Gooi Kok Wah, 56, menempuh pelbagai cabaran dan rintangan untuk memiliki kediaman yang mempunyai nilai estetika rentetan dia pernah ditipu, selain kecewa susulan tiada tukang rumah sanggup melayan permintaannya hingga mendorongnya mencabar diri membina sendiri.

Bermula daripada lakaran reka bentuk, pemilihan bahan bersesuaian sehingga proses tatarias rumah termasuk dekorasi landskap semuanya dilakukan sendiri dengan bantuan beberapa pekerjanya.

Menurut Kok Wah, dia mengambil keputusan berhenti kerja kerana mahu fokus terhadap perniagaan kayu terpakai diceburinya sejak 20 tahun lalu, sekali gus ingin melakukan sesuatu untuk menarik kepercayaan pelanggannya.

Juga menggunakan bumbung rumah daripada dewan sekolah berusia lebih 100 tahun.
Juga menggunakan bumbung rumah daripada dewan sekolah berusia lebih 100 tahun.

Kok Wah menunjukkan antara perabot lama mencecah usia ratusan tahun yang telah dibaikpulih di bengkel miliknya di Nibong Tebal.
Kok Wah menunjukkan antara perabot lama mencecah usia ratusan tahun yang telah dibaikpulih di bengkel miliknya di Nibong Tebal.

Dia yang enggan mendedahkan berapa kos keseluruhan rumah dan keluasan tapak rumah ini, menjelaskan tidak semua orang percaya kayu terpakai sebenarnya mempunyai nilai serta kualiti jauh lebih baik dan harganya murah berbanding kayu pada masa kini.

"Perkara (ilmu) ini saya pelajari ketika bekerja di sebuah kilang mengeksport kayu yang mendedahkan mengenai proses pengeringan kayu baharu mengambil masa terlalu lama terutama bagi penghasilan perabot besar contohnya sebuah meja memakan masa antara dua ke tiga tahun untuk kering.

"Berbeza kayu lama apabila saya melihat satu rumah lama (rumah kampung papan) yang diruntuhkan dan kemudian saya teliti jenis kayu ini kering serta masih berkualiti.

"Hal ini terbukti apabila saya membeli kayu itu untuk dijadikan sampel dan ternyata masih elok hingga hari ini.

"Jadi, saya berfikir mahu jalankan perniagaan sendiri dan bermula kerja-kerja menyelamatkan kayu lama (terpakai) dengan membeli di seluruh Malaysia. Kemudian saya buka bengkel bagi menempatkan semua kayu diselamatkan itu untuk proses membaikpulih, penjagaan kualiti serta ada digunakan untuk penghasilan perabot," katanya kepada BH.

Penggunaan kayu lama kurang diancam anai-anai dan tampak lebih klasik. - Foto Danial Saad
Penggunaan kayu lama kurang diancam anai-anai dan tampak lebih klasik. - Foto Danial Saad

Guna 10 jenis kayu lama

Dengan pembinaan 'Chengal House' membabitkan 10 jenis kayu lama antaranya cengal, jati, meranti dan merbah membolehkan pelanggan melihat lebih dekat, selain tidak ragu-ragu kualiti kayu terpakai.

"Rumah ini dibina 17 tahun lalu, tetapi semua kayu digunakan berusia antara 100 hingga 150 tahun ke atas yang dicari dan menjelajah sendiri di seluruh pelosok negeri. Ada yang dapat maklumat daripada rakan.

"Awal bina rumah ini ada pelbagai masalah dan cabaran saya lalui kerana tiada tukang, bahkan pernah ditipu dengan memberi banyak alasan hingga saya kecewa.

"Ini membuatkan saya mencari penyelesaian sehingga membuka jalan untuk bina sendiri dengan bantuan beberapa pekerja yang mengambil masa enam bulan disiapkan," katanya.

Buat rumah seperti 'jigsaw puzzle'

Bapa tiga anak itu berkata, kerja pembinaan rumah ini begitu menyeronokkan kerana dia penggemar kayu dan segala-galanya diusahakan hanya kaedah 'try and error'.

"Ketika buat rumah ini macam main permainan 'jigsaw puzzle' (teka teki susun suai gambar). Saya hanya mencuba dan apabila salah saya mencari penyelesaiannya sehinggalah rumah tradisional berstrukturkan kayu tersergam indah.

"Rangka bumbung rumah ini diperoleh daripada dewan lama Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist yang berusia lebih 100 tahun; tiang rumah dari kilang papan di Kuantan, Pahang; jubin (lantai) dari rumah kolonial di Raub; jendela (tingkap) dan pintu rumah dari penyelamatan kayu di Hospital Ipoh, Perak, termasuk gereja dan stesen kereta api di daerah ini.

"Saya sepenuhnya memerah keringat untuk bina. Saya bukan tukang rumah dan memerlukan banyak berfikir, tetapi bersyukur berjaya menyelesaikan dengan hasil penat-lelah," katanya turut membina sebuah rumah kolonial Inggeris bersebelahannya bagi menempatkan pelbagai jenis perabot dihasilkan daripada kayu terpakai.

Lebih 95 peratus kayu digunakan daripada kayu lama yang diselamatkan melalui rumah kampung dan bangunan lama berstruktur kayu yang dirobohkan bagi pembangunan projek baharu.

"Sebab itu, saya beli kayu terpakai ini. Perabot kayu lama sudah rosak saya beli dan dibersihkan sebelum baik pulih untuk mencantikkannya semula.

"Dengan penyelamatan kayu sekali gus menjadikan alam sekitar lebih mapan berikutan tiada pencemaran, selain banyak pokok terselamat daripada tangan-tangan yang rakus, " katanya ada beberapa kayu dan hiasan rumah diimport dari Indonesia,

Myanmar dan Thailand.

Kayu lama berkualiti, kurang diancam anai-anai

Bagusnya, kayu lama itu kurang diancam anai-anai susulan tekstur bahan dan penjagaan yang komprehensif.

"Saya tidak kata tiada langsung serangan anai-anai, tetapi kayu lama mampu bertahan dan kualitinya elok kerana teksturnya kering dan penjagaannya bagus membolehkan ia masih boleh diguna pakai hingga sekarang.

Kok Wah berkata, rumah itu tidak dibuka kepada orang awam, tetapi jika ada sesiapa berminat mengunjungi sambil melihat perabot dihasilkannya boleh membuat temujanji.

"Rumah ini juga pernah dikunjungi kru produksi filem yang datang menyewa peralatan perabot dihasilkan termasuk

ada pasangan pengantin mengabdikan kenangan untuk bergambar di sini.

"Bagi berminat untuk datang melihat rumah ini termasuk rumah kolonial yang saya jadikan muzium serta ruang pameran perabot yang saya hasilkan boleh menghubungi saya bagi membuat temujanji," katanya yang mempunyai laman sosial 'Chengal House'.

Pertahankan bangunan warisan sebagai aset pelancongan

Sementara itu, Kok Wah menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran lebih tegas menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bagi memastikan bangunan warisan di Pulau Pinang tidak dirobohkan sewenang-wenangnya.

Dia kecewa apabila membaca laporan bangunan warisan di negeri ini diruntuhkan bagi memberi laluan pembinaan projek baharu.

Sedangkan katanya, bangunan sebagai warisan dan aset tarikan pelancong berikutan nilai estetika dan sejarah perlu dipelihara.

"Pergilah mana-mana negara di seluruh dunia sekalipun, pelancong akan bertumpu ke tempat warisan dengan melihat bangunan lama.

"Oleh sebab itu, pentingnya kita (Malaysia) khususnya Pulau Pinang menjaga bangunan warisan yang ada supaya masih ada aset pelancongan sangat bernilai," katanya.

Bagi menjadikan bangunan warisan kekal relevan ia memerlukan ubah suai seiring peredaran semasa.

"Ini maknanya, kekalkan seperti sedia kala dengan tidak menyentuh atau menukar seni bina di bahagian luar, sebaliknya hanya mengubahsuai bahagian dalam bangunan mengikut zaman ketika ini.

"Justeru, bangunan warisan akan kekal relevan sampai bila-bila. Kita lihat negara lain ada bangunan lamanya bukan sahaja berusia ratusan tahun padahal ada yang mencecah usia 1,000 tahun dan pasaknya masih utuh.

"Ini kerana bahan digunakan ketika dulu kala sangat berkualiti dan dijaga rapi membolehkan bangunan itu masih ada untuk tatapan hingga hari ini," katanya.

Sedia kongsi ilmu

Kok Wah berkata, dia yang sering diundang pihak 'Georgetown World Heritage Incorporated' (GWTHI) bagi memberi pendedahan berhubung kayu lama sedia bekerjasama bagi memastikan bangunan warisan di negeri ini terpelihara.

"Saya sebenarnya sedih jika ada yang sanggup menjual dan merobohkan bangunan warisan, padahal struktur lama ini sangat berharga selain boleh dijadikan tatapan generasi akan datang.

"Mungkin PBT perlu bertindak lebih tegas dalam hal ini dan pada masa sama jika ada sesiapa yang memerlukan khidmat (dari segi nasihat) saya sudi berkongsi ilmu," katanya.

Rumah Chengal guna 10 jenis kayu lama antaranya chengal, Jati, Meranti dan Merbah dan barangan perabot lama dibaikpulih berusia lebih 150 tahun. - NSTP/Danial Saad
Rumah Chengal guna 10 jenis kayu lama antaranya chengal, Jati, Meranti dan Merbah dan barangan perabot lama dibaikpulih berusia lebih 150 tahun. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X