Jumaat, 23 Februari 2024 | 8:10am
Buat pemeriksaan pada kenderaan sebelum memulakan perjalanan. - Foto hiasan
Buat pemeriksaan pada kenderaan sebelum memulakan perjalanan. - Foto hiasan
Pemeriksaan setiap komponen pada kenderaan dapat kenal pasti mana yang perlu diganti untuk lancarkan perjalanan. - Foto hiasan
Pemeriksaan setiap komponen pada kenderaan dapat kenal pasti mana yang perlu diganti untuk lancarkan perjalanan. - Foto hiasan

Penjagaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh

MUSIM cuti sekolah yang panjang sudah pasti digunakan sepenuhnya ibu bapa untuk bercuti bersama anak-anak.

Namun, apabila semua pulang bercuti dan bergembira, kita harus melakukan pemeriksaan pada kenderaan sebelum memulakan perjalanan.

Kerosakan enjin boleh berlaku sekiranya minyak enjin tidak pernah ditukar walaupun melakukan perjalanan melebihi beribu kilometer.

Untuk memeriksa sama ada minyak enjin mencukupi atau tidak sangat mudah.

Letak kereta pada kawasan rata dan matikan enjin. Cari bahagian minyak enjin dengan bahagian yang mudah kelihatan dan tertera perkataan Engine Oil.

Keluarkan batang besi dan lapkan dengan kain atau tisu. Masukkan kembali batang besi untuk mengukur tahap cecair di dalamnya. Jika berkurangan anda perlu tambah.

Jika minyak berwarna hitam anda perlu melakukan servis dan mekanik menukar minyak yang baru.

Apabila memandu kereta lama dan radiator mengalami kebocoran, perkara yang sering ditakuti berlaku apabila kereta mengalami kepana melampau.

Ia boleh membantutkan perjalanan kerana anda memerlukan masa merehatkan kereta dari melakukan perjalanan jauh.

Oleh itu, sebelum bertolak, pastikan radiator kereta mempunyai air mencukupi dan jangan lupa meletakkan cecair coolant.

Ini bertujuan membantu menyejukkan sistem enjin apabila kereta bergerak. Periksa semua bahagian lain yang mengalami kebocoran.

Periksa kipas pendingin radiator dan talinya bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Satu peringatan: Jangan sesekali membuka penutup radiator ketika ia masih panas kerana ia boleh melecurkan tangan anda.

Lazimnya, jangka hayat bateri kereta baharu antara dua hingga lima tahun. Sekiranya bateri kereta anda berusia empat hingga lima tahun, anda mungkin boleh menukar bateri baharu sebelum memulakan perjalanan jauh.

Anda perlu periksa terminal negatif dan positif pada bateri sekiranya ada sebarang hakisan akibat karat. Jika ada, tuang air panas padanya untuk menghilangkan hakisan itu.

Jika bateri masih boleh digunakan, periksa tahap air bateri di dalamnya. Pastikan air bateri berukuran lima milimeter melebihi paras plet atau pastikan air bateri berada antara tahap tertera pada bateri.

Jika cecair berkurangan, tambahkan air bateri tetapi jangan melebihi paras dibenarkan. Ketika anda melakukan ini jangan dedahkan bateri pada nyalaan api kerana ia boleh menyebabkan letupan.

Bahagian lain yang perlu diperiksa ialah tali sawat kenderaan. Pastikan ia tidak merekah atau rosak sebelum memulakan perjalanan jauh.

Jika tidak, gantikan dengan yang baru kerana jika putus di tengah jalan, ia boleh mengakibatkan kerosakan besar pada bahagian enjin.

Periksa cecair bagi sistem brek dan brek pad supaya ia tidak haus. Jika ia perlu ditukarkan, segeralah berbuat demikian untuk mengelakkan sistem brek gagal berfungsi di waktu kecemasan.

Jangan lupa periksa cecair stereng berkuasa bagi melancarkan sistem gear dan stereng supaya ia melancarkan pemanduan kereta kelak.

Periksa penapis udara kereta kerana debu menyebabkan komponen enjin cepat kotor dan bagi memastikan tiada sebarang gangguan, penapis udara perlu lebih kerap dibersihkan.

Bahagian penting kenderaan

Bahagian paling penting yang perlu diberi perhatian kerana segala berat kereta dan muatannya ditampung keempat-empat tayar kereta.

Oleh itu, periksa tayar sama ada kerekahan, bahagian menggelembung atau corak bunga tayar botak kelihatan pada tayar kereta.

Jika keadaan kewangan mengizinkan, anda perlu tukar tayar baru jika corak bunga tayar botak. Ini boleh menyelamatkan keluarga anda sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.

Memandu kereta dengan tayar botak sangat membahayakan terutamanya waktu hujan lebat. Kereta mungkin gagal dikawal akibat permukaan jalan dipenuhi dengan air.

Oleh itu, tukar tayar dan jangan lupa untuk melakukan penjajaran, pengimbangan dan periksa tekanan angin pada tayar. Penjajaran dan pengimbangan perlu juga dilakukan jika anda dapati kereta bergetar sewaktu anda memandu.

Berita Harian X