Rabu, 14 Februari 2024 | 4:35pm
Batu ikonik Taman Negara Bako runtuh dipercayai dihempas ombak besar, semalam. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation
Batu ikonik Taman Negara Bako runtuh dipercayai dihempas ombak besar, semalam. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation

Batu ikonik Taman Negara Bako runtuh

KUCHING: Batu ikonik yang menjadi tarikan utama di Taman Negara Bako, runtuh dipercayai akibat ombak kuat ketika air laut pasang, semalam.

Batu yang dikenali sebagai 'Turus Laut Kepala Ular' itu menjadi latar belakang wajib bagi pelancong untuk merakam gambar kenangan ketika berkunjung ke taman negara terkecil di Asia dan yang paling tua di Sarawak itu yang terletak 37 kilometer dari pusat bandar raya ini.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, kejadian itu dilaporkan oleh pemandu pelancong taman negara itu yang dikenali sebagai Paul pada jam 4 petang, semalam.

Menurut kenyataan itu, batu berkenaan dipercayai runtuh disebabkan oleh fenomena ombak besar yang berlaku di perairan Bako sejak beberapa hari lalu.

"Turus laut itu adalah salah satu khazanah geologi negara yang terbentuk dari kesan hakisan batuan pasir selama berjuta-juta tahun.

"Formasinya yang unik dan indah memukau dan mempersonakan pandangan pengunjung yang datang melihatnya," kata kenyataan itu.

Batu ikonik Taman Negara Bako runtuh dipercayai dihempas ombak besar, semalam. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation
Batu ikonik Taman Negara Bako runtuh dipercayai dihempas ombak besar, semalam. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation

Batu ikonik Bako. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation
Batu ikonik Bako. - Foto FB Sarawak Forestry Corporation

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Abang Arabi Abang Aimran, berkata beliau terkejut dan sedih selepas dimaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, turus laut itu bukan sahaja menarik dari aspek keindahan semula jadi tetapi juga banyak memberi sumbangan yang besar kepada industri pelancongan tempatan, terutamanya kepada pengusaha bot di Taman Negara Bako.

"Ramai pengunjung sudah melihat keindahan alam ini dan kita seharusnya sentiasa mengaguminya dan tidak mengambil mudah anugerah yang telah dikurniakan ini.

"Anugerah alam ini kadang-kadang boleh dipulihkan dan kadang-kadang tidak dapat digantikan," katanya.

Menurutnya, satu set lengkungan laut dan turus laut ikonik yang serupa di Victoria, Australia, juga mengalami nasib serupa apabila mengalami runtuhan.

"Buat masa ini, daripada 12 tiang atau lengkungan yang asal, hanya tinggal lapan yang masih wujud," katanya.

Berita Harian X