Sabtu, 3 Februari 2024 | 9:30am
Tasik Berombak Setiu, berkemungkinan tanah bencah air tawar yang terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. - Foto ihsan UMT
Tasik Berombak Setiu, berkemungkinan tanah bencah air tawar yang terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. - Foto ihsan UMT

Tanah bencah penyelamat alam sekitar

TANAH bencah atau tanah lembap ditakrifkan sebagai kawasan tanah yang mana dilitupi air sama ada air ialah air masin, air tawar atau air payau (campuran air masin dan air tawar) dan air berkenaan wujud sama ada secara bermusim atau secara kekal.

Tanah bencah boleh dikelaskan mengikut kedudukan landskap (misalnya ada tanah bencah yang berkaitan dengan laut dan daratan), litupan tumbuhan atau vegetasi yang ditampung oleh tanah bencah (misalnya paya laut, paya air tawar) dan regim hidrologinya (misalnya lakustrin ialah tanah bencah yang berkaitan dengan paya, misalnya paya gambut).

Rupa bentuk atau kewujudan tanah bencah boleh dibezakan daripada ekosistem semula jadi yang lain dengan melihat kepada pada jenis badan air dan tumbuhan yang hidup di kawasan tanah bencah itu.

Di antara contoh tanah bencah yang terbesar di dunia ialah Lembangan Sungai Amazon di Brazil, Amerika Selatan, Lembangan Congo di Afrika dan Lembangan Mekong di Vietnam, Asia Tenggara.

Contoh tanah lembap yang utama di Malaysia ialah Tasik Chini, Tasik Bera, di Pahang, Lembangan Kinabatangan di Sabah, Taman Negara Tanah Bencah Kuching, di Sarawak, Tanjung Piai di Johor dan Tanah Bencah Setiu di Terengganu.

Disebabkan hubung kait dan interaksi di antara tanah dan air di kawasan tanah bencah, maka tanah bencah boleh memberikan pelbagai faedah atau menyediakan pelbagai khidmat ekosistem kepada manusia dan alam sekitar daripada tiga skop utama iaitu ekologi, ekonomi dan sosial serta hubung kait yang rapat di antara ketiga-tiga skop itu.

Dari segi ekologi tanah bencah menjadi sumber simpanan stok karbon dunia, yang mana stok karbon ini memberikan impak kepada keseimbangan alam sekitar dunia.

Dari aspek perubahan iklim pula, stok karbon di tanah bencah berperanan kritikal untuk pengawalan dunia iklim yang stabil dan seimbang melalui kawalan kitaran karbon.

Karbon yang berlebihan akan memudaratkan alam sekitar stok karbon ini tidak seharusnya dilepaskan kerana ini akan menyebabkan ketidakseimbangan kepada kitar karbon sejagat dan mengganggu gas-gas rumah hijau (misalnya gas karbon dioksida, gas metana dan wap air), yang mengawal keseimbangan suhu bumi.

Pasukan sukan pelayaran ketika menyertai Pertandingan RLIR 2024 anjuran Tentera Laut. - Foto ihsan UMT.
Pasukan sukan pelayaran ketika menyertai Pertandingan RLIR 2024 anjuran Tentera Laut. - Foto ihsan UMT.

Peningkatan suhu bumi akan membawa kepada implikasi perubahan iklim sejagat yang semakin dirasai dan ditakuti pada masa kini.

Tanah bencah menakung air yang banyak, membantu mengawal banjir serta hidrologi setempat.

Tanah bencah juga membantu menyimpan sumber air bersih untuk kemaslahan kesihatan dan kelangsungan hidup manusia. Tanah bencah berperanan menyokong kepelbagaian biologi yang tinggi, flora dan fauna, yang sebahagian besarnya turut menjadi sumber ekonomi kepada manusia.

Ikan air tawar dan makanan laut sebagai sumber makanan dan dikomersialkan untuk memberikan pulangan kewangan yang menyokong kelangsungan hidup masyarakat di sekitar tanah bencah.

Nelayan bergantung kepada sumber ikan yang membiak dan membesar di kawasan tanah bencah air payau atau paya bakau.

Kesihatan ekosistem atau kebersihan sumber air di kawasan paya laut menjamin kesihatan hidupan di lautan samudera.

Banyak lagi contoh hubung kait ekosistem di antara ekosistem tanah bencah dan ekosistem daratan serta implikasinya kepada manusia yang boleh kita lihat dan huraikan!

Saling hubungan di antara tanah bencah, keseimbangan alam sekitar dan kelestarian hidup manusia adalah sesuatu yang kompleks dan menuntut kefahaman untuk kita sama-sama menghargai kewujudan tanah bencah.

Program Penghayatan Paya Bakau kerjasama UMT dan pihak swasta merupakan usaha memberikan pendedahan dan kesedaran kepentingan tanah bencah.
Program Penghayatan Paya Bakau kerjasama UMT dan pihak swasta merupakan usaha memberikan pendedahan dan kesedaran kepentingan tanah bencah.

Kemusnahan tanah bencah akibat aktiviti manusia, misalnya perubahan guna tanah yang pantas dan pembangunan fizikal yang tidak terkawal amat membimbangkan dan memberikan impak yang besar kepada keseimbangan alam sekitar dan ekosistem semula jadi.

Masyarakat awam perlu didedahkan kepada peranan dan kepentingan tanah bencah. Aktiviti dan program kesedaran kepada peranan tanah bencah dan kepentingan pemuliharaan perlu sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa.

Institusi pengajian tinggi awam, khasnya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berperanan besar untuk meningkatkan kesedaran awam kepada masyarakat setempat.

Kewujudan stesen penyelidikan seperti Stesen Penyelidikan Alami Tanah Bencah Setiu UMT, merancakkan lagi aktiviti penyelidikan di kawasan Tanah Bencah Setiu.

Dapatan penyelidikan oleh ahli akademik dan penyelidik UMT dikongsikan bersama masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti pemindahan ilmu dan pembabitan masyarakat.

Semoga dengan kesedaran yang tinggi terhadap peranan dan kepentingan tanah bencah kita akan berupaya menyelamatkan bumi kita atau setidak-tidaknya melambatkan kesan perubahan iklim!

Prof Madya Dr Jamilah Mohd Salim.
Prof Madya Dr Jamilah Mohd Salim.

Penulis adalah Pensyarah Kanan/Felo Penyelidik Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (Bio-D Tropika), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Berita Harian X