Jumaat, 2 Februari 2024 | 11:53am
Foto hiasan. - Foto AGENSI
Foto hiasan. - Foto AGENSI

Hasilkan ukiran patung doh sempena Tahun Baharu Cina

GEORGETOWN: Minat dan kecintaan yang mendalam terhadap seni kraf tradisional mendorong pasangan suami isteri Loh Ban Tatt, 54, dan Elaine Teoh, 53, belajar sendiri menghasilkan ukiran patung sempena Tahun Baharu Cina.

Mungkin kedengaran asing, namun menurut Elaine, seni unik itu adalah warisan yang berasal dari China dan telah wujud sejak lebih 1,500 tahun lalu, tetapi semakin dilupakan generasi hari ini.

Malah, jika ada sekali pun kebanyakannya dilihat sudah hilang identiti asal kerana tidak menggunakan bahan asli sebaliknya ditukar kepada bahan lain seperti tanah liat.

Elaine berkata, dia dan suaminya mula menghasilkan patung-patung itu sejak enam tahun lepas dan mengambil masa setahun mencuba pelbagai teknik dan sukatan sebelum dapat menghasilkan doh tepung yang sempurna.

"Kita menggunakan 100 peratus kaedah tradisional dari awal proses pembuatan doh hingga siap menjadi sebuah patung kerana mahu mengekalkan keasliannya seperti yang dibuat oleh nenek moyang terdahulu.

"Bagaimanapun, jika dahulu patung-patung yang dihasilkan hanyalah patung keagamaan, tetapi kini kita telah memodenkan selari peredaran masa dengan membuat patung berkonsepkan animasi kerana mahu menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak untuk mengenali seni ini," katanya ketika di kediamannya di Paya Terubong, di sini.

Seni patung doh

Elaine berkata, bahan asas yang digunakan untuk membuat doh itu adalah campuran tepung gandum, tepung pulut dan air yang kemudiannya dikukus selama 45 minit.

Seterusnya, ia diuli dalam keadaan masih panas dan memakan masa sehingga seminggu untuk mendapatkan kesempurnaan tekstur yang kenyal dan licin.

Selepas siap, doh-doh itu akan dicampurkan pula dengan warna tertentu dan disimpan di dalam bekas bagi mengelakkan ia menjadi keras sekali gus sukar dibentuk jika terdedah terlalu lama kepada udara.

Setiap tahun, pasangan kepada tiga cahaya mata lelaki itu akan menghasilkan patung haiwan mengikut kalendar Lunar masyarakat Cina, dan bersempena Tahun Baharu Cina kali ini Elaine dan Loh menghasilkan patung animasi naga dalam pelbagai saiz.

Semua patung-patung comel itu dibentuk dan diukir dengan penuh ketelitian oleh Loh bagi memastikan setiap perincian yang dihasilkan adalah sempurna.

Biarpun dalam keadaan kurang sihat, dia tetap tekun dan bersemangat malah ketika ditahan selama sebulan di wad baru-baru ini pun kerja seninya itu turut dibawa sekali kerana menganggap ia sebagai terapi.

Menurut Loh, patung-patung hiasan itu dijual sekiranya ada permintaan dengan harga antara RM10 hingga RM68 mengikut saiz, dan selain patung hiasan mereka turut menghasilkan aksesori seperti rantai kunci dan anting-anting.

Loh berkata, dia sebenarnya mahu membuat ukiran patung naga sebenar yang lebih besar untuk Tahun Baharu Cina ini tetapi terpaksa mengehadkan pergerakan disebabkan faktor kesihatan.

"Untuk menyiapkan satu-satu patung ini tidak susah hanya memakan masa antara 15 hingga 20 minit untuk patung kecil namun jika membabitkan perincian yang rumit boleh mengambil masa sehingga sehari tetapi, paling lama adalah proses untuk menunggu doh patung itu betul-betul kering dan mengeras," katanya.

Bagi memastikan seni itu tidak hilang ditelan zaman, Loh dan Elaine turut aktif menerima jemputan dari pelbagai pihak termasuk sekolah bagi mengajar seni pembuatan patung berasaskan doh tepung itu.

"Ramai anak muda hari ini tidak berminat untuk mempelajari seni ini disebabkan proses pembuatan doh yang rumit, tetapi kami berharap ada yang mahu meneruskan legasi ini suatu hari nanti," katanya.

Loh berkata, dua anaknya Darren,19, dan Derrick,18, mewarisi seni itu, dan beliau berharap ia dapat diteruskan dan dikembangkan agar tidak dilupakan.– BERNAMA

Berita Harian X