Sabtu, 27 Januari 2024 | 9:47am

Tumpukan kepada perkara positif dalam kehidupan anda

JIKA anda tidak biasa dengan konsep Hukum arikan (Law of Attraction), ia sebenarnya mudah: Positif menarik yang positif, dan negatif menarik yang negatif. Dalam kata lain, anda akan mendapat benda yang baik atau tidak baik mengikut apa yang anda tumpukan.

Jika anda fokus kepada yang positif dalam kehidupan, maka banyak perkara positif yang datang. Samalah juga dengan fokus yang negatif, maka yang negatiflah akan datang kepada anda. Semudah itu.

Inilah masanya untuk anda membina profil anda – jenama profesional anda. Bukan muda untuk melakukannya tetapi apa yang menyukarkan ialah bagaimana untuk memulakan dan di manakah anda harus mulakannya. Terdapat tiga elemen yang harus anda pertimbangkan.

1. Bangunkan profil digital yang kukuh

Jelaskan siapa anda dan apa yang anda lakukan. Bangunkan cadangan nilai yang kukuh supaya anda memberi alasan kepada orang lain untuk berhubung.

Untuk memulakan tugas ini, tanyakan kepada diri anda soalan-soalan ini:

a) Apakah yang akan difikirkan oleh orang yang melihat foto saya?

b) Apakah yang akan berlegar di fikiran orang yang melihat tajuk saya (sebahagian harta digital yang kurang diambil perhatian)?

c) Apakah yang akan membezakan saya daripada ribuan orang lain dalam peranan yang serupa atau berkaitan?

d) Apakah yang saya mahu orang fikirkan apabila mereka melihat profil saya dan apakah yang boleh saya lakukan untuk menjadikannya satu kenyataan?

Fikirkan cara bagaimana anda boleh bangunkan kejelasan tentang diri anda melalui gambar jarak dekat, tajuk dan ringkasan yang menarik.

Fikirkan juga bagaimana anda huraikan tentang pekerjaan yang telah anda lakukan tanpa hanya menceritakan tentang tanggungjawab anda. Juga pertimbangkan pendekatan berpaksikan seni reka dalam profil digital anda. Ini bermaksud anda menggunakan keseimbangan visual dengan ruang yang dipenuhi teks.

Bagaimana anda akan melakukan ini? Artikel anda boleh disokong oleh imej tajuk yang relevan dan memikat. Ia mendorong lebih keterlihatan apabila pembaca menemuinya pada paparan mereka atau apabila mereka melihat profil anda.

Cari cara untuk memasukkan beberapa media sebagai sebahagian daripada ringkasan dan/atau pengalaman kerja anda; ini boleh menjadi slaid, video atau maklumat grafik. Jika anda berkongsi artikel atau buku yang anda tulis di bawah bahagian "Publication", sertakan visual yang dikaitkan dengannya.

2. Bina perangkaian yang berperanan

Kumpulkan orang di sekeliling anda yang boleh dan akan menghargai apa yang anda tawarkan. Beri mereka peluang untuk menyokong idea anda dan menguatkan mesej anda.

LinkedIn bukan sekadar tempat untuk memuat naik CV anda. Ia memberi peluang kepada anda untuk berhubung dengan rakan sebaya anda serta khalayak sasaran anda. Tetapi untuk memanfaatkan ini, anda perlu mempunyai elemen paling penting dalam profil anda dinyatakan dengan jelas sebelum anda menghubungi.

Inilah keindahan menjalinkan hubungan dengan kemungkinan yang terbentang luas. Di LinkedIn, anda mempunyai sambungan pada tahap pertama. Ini ialah orang yang anda berhubung secara langsung sama ada kerana anda telah menerima jemputan mereka untuk berhubung atau mereka memiliki hubungan ini. Terdapat juga sambungan tahap kedua dan ketiga yang patut anda ketahui.

Sambungan tahap kedua ialah orang yang disambungkan ke sambungan tahap pertama anda. Anda akan melihat ikon "2nd degree" di sebelah nama mereka apabila anda mencari mereka. Anda bebas menjemput mereka untuk berhubung.

Sambungan tahap ketiga ialah orang yang disambungkan ke sambungan tahap kedua anda dan begitu juga, mereka akan mempunyai ikon "3rd degree" di sebelah nama mereka. Kemudian, terdapat hubungan yang boleh anda buat dengan rakan-rakan ahli pelbagai kumpulan LinkedIn yang anda sertai. Orang ini juga merupakan sebahagian daripada rangkaian anda kerana anda berkongsi kumpulan.

Peluang boleh diterokai dengan satu klik. Lokasi geografi tidak lagi menjadi halangan. Walaupun tiada apa-apa yang mengalahkan keupayaan untuk memacu hubungan yang lebih dekat dan lebih bermakna daripada hubungan bersemuka, terdapat begitu banyak potensi dan peluang untuk diterokai walaupun dengan hubungan yang anda bina merentas halangan geografi ini. Anda juga boleh memanfaatkan rangkaian untuk berhubung dengan pemimpin pemikiran, pengaruh dan pakar dalam cara yang anda tidak akan dapat lakukan sebelum ini.

3. Bina kerangka kerja

Akhir sekali, tumpukan perhatian kepada membina kerangka kerja anda. Ini adalah peluang untuk menyimpan semua idea terbaik anda dan menjadikannya nyata untuk orang lain menghargai dan berkongsi. Ini adalah strategi pemasaran kandungan terbaik, sama ada artikel, siaran pendek atau video. Ia membolehkan anda menyatakan usaha dan kepakaran anda dengan cara yang berkuasa.

Pemimpin tersohor hari ini berhubungan secara atas talian. Adakah anda juga menggunakannya?

Jika anda melakukan tiga perkara yang saya nyatakan, anda akan membangunkan lebih keterlihatan dan kredibiliti tentang siapa anda sebagai seorang profesional dan anda akan membina rangkaian yang jauh lebih disasarkan dan berperanan di sekeliling anda.

Berita Harian X