Isnin, 22 Januari 2024 | 11:42am
Keadaan ke Kampung Tersang - Rantau Panjang yang memasuki pekan Rantau Panjang ditenggelami banjir ditutup kepada semua kenderaan berikutan limpahan air sungai golok hari ini. - Foto fail NSTP
Keadaan ke Kampung Tersang - Rantau Panjang yang memasuki pekan Rantau Panjang ditenggelami banjir ditutup kepada semua kenderaan berikutan limpahan air sungai golok hari ini. - Foto fail NSTP

Bina rumah terapung, kurangkan risiko rosak akibat banjir

BANJIR antara fenomena alam berisiko menyebabkan ancaman besar sehingga menjejaskan sistem kehidupan, selain memusnahkan harta benda, merosakkan infrastruktur, bangunan dan menghalang akses perkhidmatan awam, juga meragut nyawa.

Selalunya banjir memberikan kesan jangka panjang dan mendatangkan kos yang tinggi berikutan planet mengalami perubahan iklim dan pelbagai aktiviti manusia mengubah landskap alam sekitar.

Ketika ini, hampir boleh dikatakan kebanyakan bangunan moden di negara ini mampu mengharungi banjir, namun sudah ada struktur terutama yang berada dalam kawasan atau lembangan banjir mempunyai daya tahan bencana itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Ukur Bangunan, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Dr Zahiruddin Fitri Abu Hassan, berkata sebagai langkah persediaan menghadapi banjir bermusim, ada bangunan sekolah dibina tanpa bilik darjah di tanah.

Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Zahiruddin Fitri Abu Hassan

"Ciri reka bentuk bangunan seperti ini memungkinkan kerajaan menjadikan sekolah sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan penduduk masih boleh ditempatkan di tingkat atas sekiranya sesebuah tempat dinaiki air.

"Ia juga mengurangkan risiko kerosakan barangan seperti perabot dan buku sekolah yang kebiasaannya akan rosak akibat ditenggelami air.

"Ketika ini, memang tiada bangunan kalis banjir tetapi kita boleh lihat bagaimana seorang penduduk dari Kampung Tanjung Kala, Kuala Krai Kelantan dan Kampung Tebak, Air Putih, Kemaman mengambil inisiatif membina rumah kayu yang mampu terapung atau dikenali sebagai rumah kelong dan membolehkan kediamannya kurang mengalami kerosakan.

Sebelum ini dilaporkan, pemilik rumah terapong itu, Tuan Noor Tuan Deris, 66, dari Kampung Tanjung Kala menggunakan kreativiti sendiri membina rumah itu sebagai persiapan menghadapi banjir sering di kawasan itu.

Idea timbul selepas banjir kuning pada 2014, hanya bermodalkan RM1,000 untuk membeli 16 tong dram plastik diletakkan di bawah rumah bagi membolehkan terapung dan tidak ditenggelami air.

Rumah itu diikat pada pokok supaya tidak hanyut sekiranya berlaku arus deras.

Tuan Noor (depan) mencipta rumah terapung menggunakan tong plastik untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Tanjung Kala. - Foto fail NSTP
Tuan Noor (depan) mencipta rumah terapung menggunakan tong plastik untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Tanjung Kala. - Foto fail NSTP

Sebuah syarikat pembangunan perumahan Jepun, Ichijo Komuten juga berhasil mencipta rumah yang boleh terapung sebaik sahaja paras air meningkat," katanya.

"Begitu juga ada contoh sebuah rumah di Worcestershire, United Kingdom di mana pemiliknya membina tembok penahan setinggi lebih dari dua meter untuk mengelakkan kediamannya dinaiki air banjir.

Pasukan patologi menilai kerosakan bangunan

(Gambar kiri) Kesan seperti kulat dan berlumut perkara lazim berlaku selepas bangunan dilanda banjir. (Gambar kanan) Kesan hitam akibat serapan air akibat banji. - Foto ihsan Zahiruddin Fitri
(Gambar kiri) Kesan seperti kulat dan berlumut perkara lazim berlaku selepas bangunan dilanda banjir. (Gambar kanan) Kesan hitam akibat serapan air akibat banji. - Foto ihsan Zahiruddin Fitri

Justeru katanya, dalam mengurus pembaikan bangunan selepas banjir, sains kerosakan bangunan atau patologi bangunan sangat penting kerana banjir ialah bencana tidak dapat dielak dan pasukan patologi ini mempunyai kepakaran teknikal spesifik bagi menilai kerosakan bangunan serta menjalankan penyelenggaraan pasca banjir.

"Jadi banjir biasanya tidak merosakkan struktur, tetapi menyebabkan kerosakan kepada fabrik bangunan seperti dinding, lantai, tingkap, pintu dan bumbung premis.

"Antaranya, banjir menyebabkan bangunan ditumbuhi kulat, cat menggelupas, kerosakan jubin atau plaster, dan tugas pasukan patologi ini mengembalikan fungsi bangunan selamat untuk diguna atau didiami," katanya.

Katanya, batu-bata dinding yang dinaiki air boleh menjadi seperti span atau penyerap di mana mikrostruktur bahan binaan itu mengalami kelembapan akibat terendam dalam air bagi sesuatu tempoh banjir.

Berita Harian X