Isnin, 22 Januari 2024 | 10:38am
Keadaan banjir di Long Panai, antara kawasan pedalaman yang teruk terjejas di bahagian Miri, Sarawak, sebelum ini. - Foto ihsan ATM
Keadaan banjir di Long Panai, antara kawasan pedalaman yang teruk terjejas di bahagian Miri, Sarawak, sebelum ini. - Foto ihsan ATM

Banyak bangunan Malaysia mudah serap air, bagaimana pengurusan banjir selepas surut?

TAHUKAH anda semasa berlaku banjir, dalam tempoh 48 jam dinding batu atau binaan plaster simen pada bangunan mampu menyerap 120 milimeter padu (mm³) dan kira-kira tempoh 10 jam ia tepu dengan air.

Sementara itu, dinding daripada bata tanah liat berplaster pula memerlukan 15 jam untuk menjadi tepu.

Menerusi hasil kajian dijalankan oleh Universiti Malaya, mendapati kelembapan itu mampu bergerak naik melalui pergerakan kapilari, sehingga setinggi satu meter melepasi paras tertinggi air.

Ini berikutan air yang terserap itu mampu bergerak jauh dalam rongga batu-bata, namun memerlukan tempoh lebih lama dan kira-kira dua minggu untuk kering selepas banjir surut.

Senario lain sewajarnya diambil perhatian adalah bagaimana pengurusan banjir selepas air surut.

Ancaman banjir jejaskan banyak aspek

Justeru, Pensyarah Kanan di Jabatan Ukur Bangunan Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, Dr Zahiruddin Fitri Abu Hassan, berkata kerja pembaikan bangunan selepas banjir bukan saja memerlukan ilmu, tetapi kemahiran saintifik serta kepakaran dalam bidang patologi bangunan, iaitu sains kerosakan bangunan.

Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Ini kerana saban tahun kejadian banjir di negara ini sering berlaku terutama ketika musim tengkujuh berikutan fenomena Monsun Timur Laut yang menyebabkan kejadian banjir lebih tinggi, khususnya di kawasan Pantai Timur.

"Selain ancaman dan risiko terhadap nyawa manusia dan kerosakan harta benda, banjir mendatangkan masalah kepada pemilik rumah dan premis yang terpaksa melakukan kerja pencucian setiap episod banjir berlalu.

"Bagaimanapun, kerja pencucian itu perlu bergantung kepada jenis struktur dan juga kadar kerosakan. Namun, terdapat cara betul mencuci bangunan yang terjejas akibat terendam dalam sesuatu tempoh banjir.

"Selain itu, pemilik juga perlu memastikan ketahanan struktur dan 'fabrik' bangunan dalam jangka masa panjang," katanya.

Kerja pencucian perlu ada ilmu

Sehubungan itu, Zahiruddin Fitri yang juga pakar patologi bangunan, berpendapat mengendalikan kerja pencucian selepas banjir berakhir memerlukan ilmu pengetahuan.

Kaedah pencucian dan pembaikan yang tepat berupaya mengelakkan masalah kepada kemasan yang diperbaharui selepas pencucian dan pembaikan yang dijalankan.

Keadaan selepas banjir yang melanda Dabong, Kelantan sekitar 2014. - Foto ihsan Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Keadaan selepas banjir yang melanda Dabong, Kelantan sekitar 2014. - Foto ihsan Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Menurutnya, kebanyakan struktur bangunan di negara ini dibina menggunakan sistem struktur konkrit bertetulang dengan fabrik bangunan diperbuat daripada bata dan plaster yang dicat.

"Namun dalam keadaan banjir, struktur sebegini berpotensi untuk menyerap air banjir kerana sifat bahan secara mikrostrukturnya mempunyai rongga telap air.

"Jadi, timbul risiko kesihatan akibat pertumbuhan lumut dan kulat sekiranya bangunan tidak kering sepenuhnya selepas banjir.

"Lumut hidup dalam persekitaran yang sangat lembab, bersifat licin yang meningkatkan risiko orang ramai jatuh akibat tergelincir.

"Kulat pula mempunyai risiko kesihatan yang tinggi, berikutan terdapat beberapa spesies seperti aspergillus dan penicillum yang sporanya berbahaya kepada paru-paru manusia, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan," katanya.

Selain itu, perhatian terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diambil kira ketika proses pembaikan berikutan terdapat risiko penyakit bawaan vektor.

Tidak terkecuali haiwan dan binatang berbisa yang mungkin terperangkap atau merayau ke dalam rumah ketika banjir pasti akan berlaku.

Individu terbabit dalam proses pembersihan seperti kumpulan sukarelawan perlu menyedari risiko ini dan mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara.

Justeru, penting pemilik bangunan memastikan kadar kelembapan pada dinding bangunan menurun kepada tahap yang cukup rendah sebelum kerja pembaikan seperti mengecat semula permukaan dinding dilakukan.

"Ini untuk mengelakkan permukaan dicat menjadi rosak dan berkemungkinan menggelupas dengan cepat," katanya.

Perlu cuaca kering sebelum mengecat

Kesan lumut akibat serapan air daripada banjir dan memerlukan ilmu bagi menguruskan banjir selepas surut. - Foto ihsan Zahiruddin Fitri Abu Hassan
Kesan lumut akibat serapan air daripada banjir dan memerlukan ilmu bagi menguruskan banjir selepas surut. - Foto ihsan Zahiruddin Fitri Abu Hassan

Sebagai panduan, dinding bata berplaster memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua ke tiga minggu dalam cuaca kering untuk membenarkan kelembapan yang terperangkap dalam rongga mikro bata dan plaster tersejat ke persekitaran kepada paras cukup rendah.

"Langkah ini bagi membolehkan dinding benar-benar kering sehingga mencapai peratusan di bawah empat peratus diukur menggunakan peralatan protimeter sebelum kerja mengecat boleh dilakukan semula dan ia kurang terdedah kepada risiko kerosakan.

"Di samping itu, komponen bangunan diperbuat daripada kayu turut mempunyai risiko kerosakan daripada pengembangan berlaku akibat penyerapan air ke dalam sel kayu.

"Jadi dalam keadaan banjir dan komponen ini terendam lama, pintu atau tingkap kayu boleh berubah bentuk dan juga saiz, sehingga tidak dapat dibuka atau ditutup dengan sempurna disebabkan ia kembang dan tersepit," katanya.

Guna kayu keras tahan air

Beliau juga juruukur bangunan profesional berdaftar yang dengan Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM), berkata dalam keadaan itu, kerosakan sering kali terjadi dan menyebabkan struktur kayu itu terpaksa ditanggalkan untuk pembaikan atau ditukar baharu.

"Apabila pembaikan dibuat, kayu gantian sewajarnya daripada jenis kayu keras yang tahan air terutama apabila terdapat risiko ulangan kejadian banjir di premis itu.

"Sebagai langkah tambahan, kayu perlu dicat bagi memberi lapisan perlindungan yang meningkatkan keupayaan telap airnya," katanya.

Pemilik bangunan disarankan mendapatkan khidmat juruukur bangunan profesional yang terlatih dengan pengetahuan sains dan teknikal kerosakan bangunan bagi membantu mereka merencana proses pembersihan serta pembaikan yang tepat pada bangunan.

"Ini kerana juruukur bangunan profesional mempunyai peralatan khas yang membolehkan diagnosis kerosakan dibuat secara saintifik.

"Di samping itu, pengetahuan mendalam mengenai teknologi pembinaan dan pembaikan bangunan perlu diambil perhatian supaya kos dikeluarkan bagi pembaikan tidak dibazirkan akibat kerosakan berulang," katanya.

Berita Harian X