Isnin, 22 Januari 2024 | 9:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Seni memulakan perbualan, jangan asyik dengan dunia sendiri

Dengan penggunaan telefon pintar dan tablet pada hari ini, semua jenis komunikasi melalui media sosial dan pemesejan interaktif berkembang secara meluas yang mengakibatkan ramai golongan muda tidak mahir untuk mencetus perbualan secara fizikal.

 

Perbualan ini boleh jadi perbualan di rumah bersama ahli keluarga, saudara atau rakan. Ia juga boleh merujuk kepada perbualan di pejabat, kelab, persatuan, rumah ibadat dan gimnasium bersama rakan sekerja atau sekutu. Inilah realiti yang kelam dan menyedihkan.

Beberapa individu dilihat agak pemalu dan kekok semasa berinteraksi secara sosial, dan mereka ini takut untuk menghadiri majlis koktel, minum teh, acara pembukaan dan parti.

 

Apabila ditanya mengapakah mereka berasa tidak selesa untuk menghadiri majlis sosial, mereka mengakui bahawa mereka tidak mengenali hadirin yang datang. Tetapi sebenarnya, inilah tujuan seseorang hadir ke majlis seperti ini - untuk bertemu orang.

 

Mengatasi rasa malu

 

Salah satu sebab utama untuk hadir ke majlis sedemikian adalah untuk memanfaatkan peluang membina rangkaian yang baik.

Anda boleh bertemu dan menambah kenalan berguna daripada pelbagai industri, dan saling bertukar kad niaga.

 

Pertemuan seperti ini amat berguna semasa anda perlu bertemu seseorang dalam organisasi itu.

Dalam beberapa lama, seseorang akan terbiasa dengan acara seperti ini dan mungkin tidak sabar untuk hadir lagi ke majlis sedemikian.

 

Kadangkala, individu yang amat pemalu kerap dianggap sebagai seorang yang sombong dan antisosial, hanya kerana mereka tidak membuat hubungan mata dan tidak bersosial.

Oleh yang demikian, amat perlu untuk golongan eksekutif hari ini belajar dan menguasai seni mencetus perbualan dengan mudah dan yakin dalam situasi seperti itu.

 

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Leka dalam dunia mereka sendiri

 

Ketika saya dan isteri menikmati makan malam di sebuah restoran mewah di Kuala Lumpur, kami terganggu dengan satu perkara yang aneh daripada meja bersebelahan yang diduduki oleh empat sekeluarga.

 

Semasa menunggu pelayan membawa pesanan, si bapa berbual dengan kuat. Si isteri leka menghantar mesej, manakala si anak leka mendengar muzik dan membaca sesuatu, daripada telefon masing-masing.

Ini sesuatu yang aneh, kerana mereka terlalu asyik dalam dunia masing-masing. Semasa makan, inilah masa yang sesuai untuk ahli keluarga berkomunikasi dan berbual tentang apa saja yang berlaku sepanjang minggu.

Sebab itulah amat perlu untuk menerokai semula keseronokan, kepuasan dan seni berbual yang sebenar.

 

Tip berguna untuk anda:

 

Memulakan perbualan

 

1. Perkenalkan diri anda sebagai orang baharu dalam sesebuah majlis. Katakan, "Saya Jack Chin" dan bukannya "Saya Encik Jack Chin".

"Saya telah menemui ramai orang yang memperkenalkan diri mereka sebagai Encik, kerana gelaran ini seharusnya diberikan oleh pihak yang anda berhadapan.

 

Kemudian, soal beberapa pertanyaan dan tunjukkan minat am anda terhadap individu tersebut.

Jadilah seorang yang spontan. Kalau boleh, kekalkan perbualan secara positif dan memuji. Cuba berikan keceriaan yang mampu membuatkan peserta perbualan gembira. Ini kerana tiada orang mahu berbual dengan individu yang bermasalah, murung dan negatif. Anggap diri anda sebagai seorang sahabat lama kepada orang yang anda berbual.

 

Meneruskan perbualan

 

2. Ketika berbual, berikan perhatian dalam perbualan dan jangan mudah leka. Tetapkan telefon anda dalam mod senyap dan jangan menjawab panggilan. Kebanyakan orang, termasuklah golongan profesional dan berpendidikan, berkelakuan biadab tanpa disedari. Semasa mengemukakan tajuk, ketengahkan minat dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. Jangan hanya menjawab "ya" atau "tidak" semasa berbual. Jika perlu, isikan kekosongan dengan sesuai. Sebagai contoh, "…percutian tersebut amat menyesakkan" atau "…ianya kelakar". Cuba untuk memasukkan elemen positif semasa berbual, kerana komen dan tingkah laku yang positif menjadikan perbualan lebih seronok dan menarik.

 

Jika perlu, tarik orang lain ke dalam perbualan anda. Gunakan bahasa tubuh sebagai satu kelebihan, seperti senyuman dan mengangguk kepala. Jangan sesekali menyentuh topik yang sensitif seperti agama, politik dan kaum, serta hindari komen sinis dan pedas.

 

Mengakhiri perbualan

 

3. Berikan isyarat secara tertib: "Seronok berbual dengan anda" atau "gembira bertemu dengan anda". Bersalam dan katakan "jumpa lagi" jika dia tidak memahami isyarat anda.

 

Apa yang boleh dilakukan dalam perbualan

 

Lebihkan mendengar daripada bercakap, jangan kawal keseluruhan perbualan dan sediakan beberapa tajuk sebelum bertemu.

 

Ingat, bentukkan perbualan anda mengikut pendengar anda, sama ada pelajar, suri rumah, profesional atau pesara. Selang selikan giliran anda semasa berbual. Berfikir sebelum bercakap, terutamanya ketika bertemu orang buat kali pertama.

 

Apa yang tidak boleh dilakukan dalam perbualan

 

Jangan menyampuk semasa seseorang bercakap. Jangan hanya bercakap dengan seorang jika berada di dalam kumpulan kerana ianya boleh menimbulkan tanggapan yang salah.

Jangan meninggi diri atau berkongsi terlalu banyak maklumat peribadi, dan jangan membuatkan pendengar anda berasa bosan.

 

Hindari perbualan menghina paras rupa, warna kulit dan sebagainya kerana ia menunjukkan sifat tidak sensitif anda. Untuk menjadi pembual yang bagus, ia memerlukan latihan dan amalan dengan mengambil peluang untuk memperbaiki kualiti perbualan anda. Dapatkan maklum balas yang sebenar daripada mentor dan rakan yang boleh anda percayai.

 

Gunakan maklumat sebaiknya untuk memperbaiki gaya percakapan anda. Anda akan berasa seronok belajar melalui proses tersebut dan mendapat banyak manfaat.

Berita Harian X