Selasa, 9 Januari 2024 | 9:31am
Tulisan Braille dapat mengeja dan menajamkan otak dengan sentuhan untuk kesempurnaan kehidupan orang buta. - Foto hiasan
Tulisan Braille dapat mengeja dan menajamkan otak dengan sentuhan untuk kesempurnaan kehidupan orang buta. - Foto hiasan

Hasilkan kamus Braille Inggeris-Melayu, untuk kemudahan orang buta

PERKEMBANGAN dunia teknologi ketika ini begitu pesat, namun masih belum dapat menyediakan bahan bacaan bercetak tulisan Braille untuk kemudahan golongan cacat penglihatan termasuk pelajar di pelbagai peringkat pendidikan.

Contohnya, ketika ini hanya 20 peratus bahan bacaan dialih ke sistem Braille dan ia secara tidak langsung mengganggu proses pembelajaran pelajar buta.

Ketua Program Pendidikan Khas, Pensyarah Kanan bidang Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan), Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Norazmi Nordin, berkata memang ada pelbagai bahan audio untuk membantu pembelajaran golongan itu.

Namun, katanya bahan itu bersifat taktil dengan tulisan Braille perlu diperbanyakkan kerana dapat membantu pembelajaran lebih berkesan dengan gabungan deria sentuhan, bau dan pendengaran.

Dr Mohd Norazmi Nordin.
Dr Mohd Norazmi Nordin.

"Bahan bacaan Braille juga dapat memberikan ruang pembelajaran bahasa lebih baik berkaitan ejaan, struktur ayat, susunan frasa dan pembinaan ayat yang tepat kepada pelajar buta.

"Tidak dinafikan bahan pembelajaran dan bacaan masih lagi kurang di pasaran dan boleh mengganggu proses pembelajaran.

"Di UKM, kami menyediakan sukarelawan iaitu pengiring celik untuk membantu mereka memahami selok-belok di universiti selepas memasuki semester kedua.

Bengkel pembelajaran asas Braille dianjurkan oleh Yayasan Orang Buta Malaysia.
Bengkel pembelajaran asas Braille dianjurkan oleh Yayasan Orang Buta Malaysia.

"Malah, kami juga akan membantu pelajar mengalih tulisan ke Braille untuk bahan bacaan diperlukan atau membuat nota mereka sendiri menggunakan mesin Braille.

"Mesin Braille ini umpama komputer bagi mereka kerana boleh menghasilkan nota untuk rujukan apabila berada di dalam kelas," katanya sambil menjelaskan sebuah mesin Braille tradisional beratnya kira-kira sekilogram dan berharga RM5,000.

Tulisan Braille ada dua tahap, iaitu tahap pertama meliputi kod A hingga Z dan 0 hingga sembilan, manakala tahap dua mempunyai 18 bab yang mengandungi kod diringkaskan seperti @, tanda baca bagi memudahkan bacaan.

Tulisan Braille dalam bahasa Melayu ini sudah lama dan baru sekali dipinda, tetapi tambahan kod lain sentiasa dilakukan.

"Untuk setiap subjek ada kod masing-masing seperti muzik, al-Quran dan sains. Di sekolah pendidikan khas, silibus kurikulum sama pelajar biasa dan tambahan subjek kemahiran asas individu ketidakupayaan penglihatan (KAIKUP)," katanya.

Hasilkan kamus Braille Inggeris-Melayu

Justeru, bagi merealisasikan usaha memperbanyakkan bahan bercetak tulisan Braille, Mohd Norazmi berkata, beliau sedang menghasilkan Kamus Braille Inggeris-Melayu dilakukan Fakulti Pendidikan UKM dengan kerjasama Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM) dan City University Malaysia (City U).

Kamus itu adalah pertama di Malaysia dan mungkin pertama di Nusantara yang menggunakan bahasa Melayu.

Kamus Braille Inggeris-Melayu mudahkan orang buta membaca.
Kamus Braille Inggeris-Melayu mudahkan orang buta membaca.

"Setakat ini, pasukan kami sudah pilih beberapa perkataan dan menapis mengikut kesesuaian kerana tujuannya untuk diedarkan di sekolah pendidikan khas.

"Mungkin akan ada beberapa jilid kamus ini memandangkan penggunaan tulisan Braille ini menggunakan 1,500 muka surat.

"Modul Braille Pendidikan Pengurusan Zakat kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak juga sudah dihasilkan.

"Mungkin selepas ini, jika ada pihak berminat menjalin kerjasama, kita boleh hasilkan buku wakaf, kursus perkahwinan, ibadah umrah dan haji untuk golongan itu," katanya.

Semua bahan bacaan Braille dapat menggalakkan budaya membaca dan menyemai ilmu dalam kalangan orang buta.

"Saya menyarankan pihak berkepentingan menyediakan perpustakaan khas bahan bacaan Braille bagi meningkatkan lagi akses kepada pendidikan pelajar buta.

"Saya bercadang menyediakan perpustakaan Braille di peringkat fakulti ini," katanya yang mendidik pelajar buta di fakulti itu untuk menjadi guru," katanya.

Pernah ada bertanya mengapa perlu ada bahan bercetak tulisan Braille lagi, sedangkan terdapat aplikasi yang boleh membantu.

"Jawapan saya dengan tulisan Braille mereka juga dapat mengeja dan menajamkan otak dengan sentuhan berkenaan.

"Contohnya, jika bergantung sepenuhnya dengan aplikasi seperti 'screen reader' khusus untuk pelajar universiti, orang sekeliling akan terganggu kerana bunyi sangat kuat.

"Dengan ada bahan bacaan Braille, sekurang-kurangnya dalam keadaan gelap pun masih boleh membaca.

"Mereka sama macam orang normal, cuma tidak nampak saja, jadi seeloknya kita juga perlu menyantuni mereka sama rata.

"Mungkin mereka tidak mampu memiliki gajet, jadi perlu ada usaha berganda untuk membantu mereka yang juga berada di dalam komuniti," katanya.

Beliau berkata, semester lalu, enam graduan buta berjaya menamatkan pengajian, manakala tahun ini hanya seorang yang berdaftar.

Setiap kali menerima pelajar buta, beliau bersyukur kerana dapat membantu mengajar mereka menjadi insan berguna pada masa hadapan.

"Saya pernah mengajar di sekolah di Lembah Klang pada 2009, ada seorang murid mengalami kecacatan penglihatan, pekak dan bisu sehingga saya tidak tahu bagaimana ingin mengajar dia.

"Ibunya setia menghantarnya ke sekolah setiap hari, dan pada suatu hari, pelajar itu menyentuh saya dan buku seolah-olah ingin menyatakan jangan abaikan dia. Jadi saya tak mahu abaikan dia," katanya.

Berita Harian X