Selasa, 9 Januari 2024 | 8:44am
Sistem Braille mudahkan bacaan dan komunikasi golongan cacat penglihatan
Sistem Braille mudahkan bacaan dan komunikasi golongan cacat penglihatan

Titik enam penyuluh orang buta

KETIKA sedang tekun mengulangkaji pelajaran, Louis Braille menemui sejenis bentuk tulisan yang unik.

Dengan perasaan teruja dan terpesona dengan sistem tulisan itu, beliau mendapat inspirasi untuk mencipta satu bentuk penulisan yang baru dalam memudahkannya meneroka pembelajaran dan komunikasi.

Sebagai seorang yang kehilangan penglihatan sejak usia muda, Louis Braille sentiasa beriltizam untuk membantu orang lain yang senasib sepertinya.

Jangkitan pada matanya akibat tusukan secara tidak sengaja menjadikan matanya buta sepenuhnya.

Dalam kekurangan itu, Louis Braille akhirnya muncul sebagai pencipta sistem tulisan teragung untuk orang buta.

Bersandarkan kepada idea 'tulisan malam' atau Sistem Tulisan Barbier yang diciptakan lebih awal oleh Kapten Charles Barbier, seorang pegawai tentera Perancis, Louis Braille memperkenalkan tulisan Braille pada 1829 dan digunakan secara meluas di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Pembabitan NGO dalam bengkel pembelajaran asas Braille dianjurkan oleh Yayasan Orang Buta Malaysia.
Pembabitan NGO dalam bengkel pembelajaran asas Braille dianjurkan oleh Yayasan Orang Buta Malaysia.

Tulisan Braille adalah titik bermula kewujudan sistem itu yang dihasilkan di atas kertas rata sebagai perwakilan kepada huruf dan singkatan tertentu daripada tulisan biasa.

Asas tulisan Braille mempunyai enam titik tersusun secara menegak dalam satu sel. Keenam-enam tidak ini ditimbulkan sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya tertakluk kepada perkataan atau simbol diwakilkan.

Berbekalkan asas enam titik ini terciptanya perwakilan bagi setiap huruf, perkataan, tanda baca, nombor dan simbol untuk bacaan orang buta.

Titik-titik ini disusun, diolah digabungkan dan dicantum agar setiap perwakilan tidak sama antara satu sama lain. Terdapat pelbagai bahasa, simbol dan istilah di seluruh dunia diwujudkan secara tulisan braille bagi memudahkan bacaan dan komunikasi untuk orang buta.

Braille jadi medium komunikasi orang buta

Dengan adanya mesin Braille dan tulisannya yang unik mudahkan pembelajaran orang cacat penglihatan.
Dengan adanya mesin Braille dan tulisannya yang unik mudahkan pembelajaran orang cacat penglihatan.

Enam titik ini sangat hebat dan berguna kepada orang buta kerana kuantiti sangat sedikit berjaya menjadi medium komunikasi kepada jutaan perkataan dan perlambangan.

Kini, sistem tulisan braille ini digunakan dengan meluas dalam pelbagai bidang termasuk dalam bahasa, matematik, sains dan al-Quran.

Terdapat juga versi braille ditambah kepada lapan titik satu sel bagi memenuhi keperluan sesuatu bahasa dan bidang. Perubahan itu bersifat terpencil, dengan asas enam titik satu sel masih kekal digunakan.

Menurut Ketua Program Pendidikan Khas, Pensyarah Kanan bidang Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan), Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Norazmi Nordin Tulisan Braille wujud dengan hikmah tersendiri dan berfokus langsung kepada kebergantungan komunikasi orang buta.

Dr Mohd Norazmi Nordin.
Dr Mohd Norazmi Nordin.

Katanya, penciptaan sistem tulisan ini seakan-akan memberikan cahaya kepada kegelapan dunia penglihatan orang buta. Kebergantungan kepada tulisan braille oleh orang buta dikenal pasti dalam kehidupan seharian mereka seperti membaca papan tanda, penentuan aras dalam lif serta secara meluas dalam pendidikan di sekolah.

"Dengan tulisan braille, orang buta mampu membaca, memahami keperluan, berkomunikasi dan menjalani kehidupan seharian.

Louis Braille mencipta tulisan Braille pada tahun 1829 yang mempunyai enam titik tersusun sebagai asas tulisan itu. - Foto hiasan
Louis Braille mencipta tulisan Braille pada tahun 1829 yang mempunyai enam titik tersusun sebagai asas tulisan itu. - Foto hiasan

"Sistem tulisan ini merangsang kekuatan deria sentuhan orang buta untuk merasai dan seterusnya membaca tulisan yang ditimbulkan," katanya.

Merangsang fungsi otak

Mesin Braille yang memudahkan tulisan Braille dicetak dan dibaca.
Mesin Braille yang memudahkan tulisan Braille dicetak dan dibaca.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, akibat kehilangan deria penglihatan, deria lain seperti deria pendengaran, deria bau dan deria sentuhan sangat berguna kepada orang buta.

"Rangsangan sentuhan diperlukan dalam membaca tulisan braille dapat membantu menguatkan lagi kebolehan deria sentuhan orang buta.

"Gabungan dan singkatan tertentu dalam sistem tulisan Braille mendorong mereka merangsang fungsi otak untuk mengingat dan menghafal singkatan tulisan Braille," katanya.

Sekiranya diperhatikan pada butang aras pada lif, terdapat tulisan braille diletakkan bagi memudahkan orang buta memilih dan menentukan aras destinasi mereka.

Di papan tanda tertentu di taman rekreasi, juga di tandas dan kemudahan seperti lampu isyarat. Pelabelan ini sangat membantu mereka mengetahui tanda diberikan, selain mengelak bahaya seperti di tandas dan jalan raya.

Beliau menegaskan, pelabelan itu belum meluas dan kurang mencukupi, sedangkan jumlah orang buta berdaftar di Malaysia mencecah 50,000 orang dan pastinya memerlukan bantuan itu.

"Sebagai contoh, usaha perlu dilakukan untuk melabel ubat-ubatan bagi mengelakkan orang buta tersalah membeli ubat. Begitu juga dengan label pada laluan tertentu di kaki lima jalan atau di bangunan dan premis kerajaan bagi memudahkan mereka berurusan.

Berita Harian X