Isnin, 1 Januari 2024 | 8:53am
Permaidani bulu bebiri dan sutera Safvid Isfahan Central Persia pertengahan abad ke 17 Masihi dipamerkan dalam Pameran Perjalanan Menelusuri Seni Islam di MKIM. - NSTP/Amirudin Shahib
Permaidani bulu bebiri dan sutera Safvid Isfahan Central Persia pertengahan abad ke 17 Masihi dipamerkan dalam Pameran Perjalanan Menelusuri Seni Islam di MKIM. - NSTP/Amirudin Shahib

Lebih 160 artifak, kaligrafi berusia 1,000 tahun dipamer di Muzium Kesenian Islam

MELIHAT pelbagai artifak dan seni khat kaligrafi kontemporari yang sedang dipamerkan di muzium pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara yang dikhususkan bagi kesenian Islam ini membuatkan pengunjung seolah-olah berada di zaman silam.

Menariknya sebanyak 160 artifak bersejarah kebudayaan Islam sejak 1,000 tahun lalu dan koleksi seni kaligrafi yang sangat luar biasa dipersembahkan dalam dua pameran serentak, iaitu Pameran Menelusuri Seni Islam dan Pameran "Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim", di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), di Kuala Lumpur itu membolehkan pengunjung mengetahui secara terperinci menceritakan sejarah kesenian Islam yang tersendiri.

Pameran yang dibuka kepada orang ramai sejak 13 Disember lalu sehingga 30 Jun 2024 itu jelas memaparkan mengenai kehebatan dan kegemilangan budaya dan kesenian Islam di mata dunia.

Pameran 'Perjalanan Menelusuri Seni Islam' dan 'Alif Lam Ra: Kaligrafi Kontemporari Muslim' diadakan bagi meraikan ulang tahun MKIM ke-25 itu juga, pasti membuatkan pengunjung mengagumi kesenian Islam.

Ia sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan keindahan kesenian dan kebudayaan Islam yang dilakarkan, selain memahami lebih mendalam peradaban sejarah seluruh pelosok dunia.

Maizura menunjukkan pedang dan senapang serta pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Dungun. Foto NSTP Rosli Ilham
Maizura menunjukkan pedang dan senapang serta pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Dungun. Foto NSTP Rosli Ilham

Kurator MKIM, Dalia Mohamed, berkata sebanyak 160 daripada artifak terpilih yang dipaparkan sebagai bahan pameran daripada keseluruhan hampir 13,000 koleksi tetap dimiliki muzium berkenaan.

"Misalnya pameran 'Perjalanan Menelusuri Seni Islam' ini merangkumi sejarah serta kebudayaan selama lebih daripada 1,000 tahun yang diperoleh dari kawasan Asia Timur sehingga ke Afrika Barat.

"Setiap objek dan koleksi dipamerkan adalah koleksi MKIM yang dikumpul dari tahun demi tahun, yang berasal dari tempat dan zaman berbeza serta daripada material yang pelbagai.

"Pakar serta seniman Muslim menghasilkan karya dengan menggunakan pelbagai medium seperti tekstil, kayu, logam dan seramik supaya mutu kerja serta rekaan seni dapat dinikmati dan diteladani orang ramai," katanya ditemui di MKIM, baru-baru ini.

Kedua-dua pameran itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Disember lalu.

Koleksi bercirikan estetika kesenian Islam

Menurut Dalia, pameran menempatkan semua barangan di dua tingkat bangunan berkenaan bertujuan mendedah dan memudahkan orang ramai menyaksikan kepelbagaian elemen estetika dalam kesenian Islam.

Dalia Mohamed
Dalia Mohamed

"Setiap objek mempunyai cerita tersendiri, antaranya koleksi pertama MKIM, iaitu 30 jilid al-Quran China dari era pemerintahan Dinasti Qing di abad ke-17 Masihi sehinggalah kepada koleksi terkini muzium seperti barang kemas.

"Selain itu, artifak menarik yang boleh disaksikan di sini ialah pinggan hidang Baba Nakkash, iaitu perintis reka bentuk hiasan RumiHatayi di Istana Uthmaniyah.

"Ia memiliki gaya rekaan di bengkel diraja Iznik, iaitu salah satu daripada lima bengkel yang masih wujud dan pernah menghiasi bankuet istana Uthmaniyah," katanya.

Dalam pada itu, koleksi lain termasuk karya tekstil, iaitu jubah mewah Sogdian yang berasal dari Jalan Sutera di bumi Asia Tengah dan juga bahagian tekstil tiraz dari Dinasti Fatimiyah, cukup memperlihatkan kehalusan seni kerja tangan daripada bengkel diraja.

Yang turut mencuri tumpuan adalah permaidani merah bermotif palma bersulur, dihasilkan menggunakan benang bulu bebiri dan sutera sepanjang 10 meter, mempamerkan ketinggian kreativiti kraf tangan mereka yang menjadi antara permaidani terbaik daripada zaman kegemilangan Parsi, pada era Safavid ketika pertengahan abad ke-17.

Selain itu, antara artifak yang juga menggamit pengunjung untuk mendekatinya ialah topi besi tombak (dari Uthmaniyah, Turkiye); pembakar setanggi berbentuk singa (Seljuk, Parsi); potret berkumpulan Qajar (Parsi), risalah kosmografi (wilayah Uthmaniyah) dan Jar Porselin (Dinasti Ming, China).

Melambangkan kekuatan dan kepahlawanan zaman silam, dapat disaksikan dalam pameran itu dengan mengetengahkan empat bilah pedang maharaja Empayar Mughal, India pada abad ke-15 hingga awal abad ke-18.

Pedang anak kecil Uthaniyah Turki abad ke-17 M. - NSTP/Amirudin Shahib
Pedang anak kecil Uthaniyah Turki abad ke-17 M. - NSTP/Amirudin Shahib

Koleksi pedang berkenaan masing-masing milik Maharaja Akbar yang memerintah dari 1556 hingga 1605; Maharaja Jahangir (1605-1627); Maharaja Shah Jahan (1628-1666) dan Maharaja Aurangzeb (1658-1707) dipaparkan pada pameran itu.

Pelbagai koleksi kaligrafi kontemporari Islam

Bagi kaligrafi pula, Dalia menjelaskan ia menonjolkan kepelbagaian hiasan dinding yang mengetengahkan ciri kontemporari moden termasuk seni tulisan khat ataupun kaligrafi Islam.

"Karya kaligrafi kontemporari Islam yang dipamerkan di sini memperlihatkan evolusi kaligrafi sebagai medium ekspresi tertinggi dalam Islam.

"Di sini terdapat tujuh bahagian utama menjejaki transformasi yang berlaku pada seni khat.

"Bermula peranannya dalam penyampaian mesej, ia berkembang menjadi wadah dalam mengekspresikan perasaan dalaman dan luahan mistik.

"Jadi kita akan dapat menelusuri perjalanan penulis kaligrafi awal yang mengabdikan kalam Allah sehingga kepada inovasi yang berlaku dalam penyampaian perkataan serta huruf secara artistik dalam seni kaligrafi kontemporari," katanya.

Tambah Dalia, pihaknya mengetengahkan hasil karya penulis kaligrafi terkenal, Fuad Kouichi Honda dari Jepun yang menggabungkan kaligrafi tradisi dan moden kerana karyanya dilihat masih menghormati warisan tradisi khat Islam dengan menyelitkan elemen kontemporari.

Malah, Fuad Kouichi turut mengadakan bengkel kaligrafi, sekali gus dapat memberi gambaran mengenai keindahan dan keunikan seni Islam itu, pada 13 Disember lalu.

"Selain itu, seorang lagi penulis kaligrafi, Azra Aghighi Bakhshayeshi pula mengetengahkan inovasi artistik halus. Gaya tersendiri beliau mencerminkan pemahaman unsur kaligrafi tradisi yang diseimbangkan dengan perspektif kontemporari yang unik," katanya.

Secara keseluruhan, seramai 42 artis kaligrafi kontemporari Islam dari pelbagai negara dihasilkan dalam pameran seni tulisan khat itu.

Selain pameran, beberapa siri ceramah pakar dan perbincangan daripada ahli panel, termasuk dikendalikan oleh Dr Ackermann dari Muzium Sains Sejarah, Universiti Oxford, mengetuai bengkel interaktif mengenai astrolab.

Tidak ketinggalan perbincangan mengenai masa depan muzium seni Islam oleh ahli akademik dan pakar dalam bidang seni Islam turut mengisi aktiviti di MKIM.

Justeru, menerusi pameran itu juga diharapkan dapat menyemai kecintaan dan mengagumi kesenian Islam serta evolusi ketamadunan masyarakat pada zaman silam.

Antara artifak dipamerkan dalam di Muzium Kesenian Islam sehingga Jun 2024. - NSTP/Amirudin Shahib
Antara artifak dipamerkan dalam di Muzium Kesenian Islam sehingga Jun 2024. - NSTP/Amirudin Shahib

Info Muzium Kesenian Islam Malaysia

  • Ditubuhkan sebagai pemelihara, pemulihara dan pendidik seni Islam.
  • Dibuka pada 12 Disember 1998
  • Muzium pertama dan terbesar di rantau Asia Tenggara dikhususkan bagi kesenian Islam
  • Lokasi di Jalan Lembah, Tasik Perdana, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Masjid Negara dan Pusat Islam.
  • Muzium ini juga berdekatan dengan Muzium Negara, Planetarium Negara, Taman Orkid, Taman Rama-rama dan Taman Burung
  • Dibuka setiap hari beroperasi dari 9 pagi sehingga 6 petang
  • Tiket masuk dewasa RM20 dan kanak-kanak RM10
  • Terdapat 12 galeri tetap di muzium meliputi, Seni Bina, Al-Quran Dan Manuskrip, India, China, Alam Melayu, Tekstil, Barang Kemas, Senjata dan Perisai, Syiling dan Mohor, Kerja Logam, Seramik dan Kaca dan Hidup dengan Kayu
  • Memuatkan lebih 7,000 artifak termasuk contoh kerja logam dan seramik Islam.
  • Ada perpustakaan mengenai buku kesenian Islam
  • Antaranya Muzium Galeri Quran dan Manuskrip, Galeri Seni bina Islam, Galeri India, Balai Cina, Melayu lama Galeri Dunia serta Bilik Syria Uthmaniyah dibina semula sejak abad ke-19
  • Di tingkat 2 menempatkan koleksi barang kemas, tekstil, senjata dan perisai, seramik dan kaca Islam purba.
Berita Harian X