Jumaat, 29 Disember 2023 | 10:30am
Lipatan berbentuk bunga Getam Budu yang dihasilkan Wan Nooralee. - NSTP/Syaherah Mustafa
Lipatan berbentuk bunga Getam Budu yang dihasilkan Wan Nooralee. - NSTP/Syaherah Mustafa

Getam Budu tengkolok unik, harga cecah RM20,000

Tengkolok khas Kelantan dikenali sebagai Getam Budu mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi hiasan kepala sering dikenakan lelaki pada majlis adat istiadat di Istana negeri itu.

Selain menjadi tanjak rasmi Sultan Kelantan, ia juga menjadi hiasan kepala kepada semua kerabat diraja, pembesar negeri atau pegawai tadbir negeri, kini Getam Budu mula menjadi perhatian rakyat khususnya di negeri Che Siti Wan Kembang.

Perbezaan Getam Budu dengan tengkolok yang lain adalah pada lipatan berbentuk bunga di hadapan tengkolok, selain mempunyai ikatan simpul pada bahagian belakang.

Menariknya, pembuatan Getam Budu hanya menggunakan sehelai kain songket tanpa perlu dipotong atau digunting, kemudian memerlukan kemahiran teknik lipatan (solekan) bagi membentuk satu tengkolok dengan hiasan bunga di hadapan.

Ahli solek Getam Budu, Wan Nooralee Wan Daud, antara individu aktif menghasilkan tengkolok hasil tunjuk ajar selama enam bulan daripada seorang kenalan yang mahir dalam pembuatan Getam Budu.

Dia tidak lokek berkongsi sejarah Getam Budu, mengakui kesabaran serta ketelitian menghasilkan hiasan kepala terbabit selain, diikuti minat mendalam terhadap pembuatan warisan Kelantan itu.

Wan Nooralee dan Natrah bangga koleksi Getam Budu mendapat sambutan ramai. - NSTP/ Syaherah Mustafa
Wan Nooralee dan Natrah bangga koleksi Getam Budu mendapat sambutan ramai. - NSTP/ Syaherah Mustafa

"Untuk menghasilkan tengkolok, biasanya menggunakan kain songket bidang 31 atau bidang 36, bergantung kepada saiz kepala atau bentuk bunga yang mahu dihasilkan. Bunga pada Getam Budu dilihat sama pada mata kasar tetapi, jika diperhatikan bentuk berbeza kerana tukang solek menggunakan teknik lipatan berlainan.

"Kain songket perlu dilipat menjadi segi tiga sebelum membentuk 'tapak' iaitu lilitan kepala sebagaimana pembuatan songkok. Seterusnya, lilitan dijahit tangan dengan kemas, selain tukang solek memastikan kesan jahitan terlindung.

"Teknik jahitan tangan berperanan penting termasuk pemilihan warna benang sesuai dengan warna songket agar tiada 'cacat cela' pada Getam Budu yang dihasilkan," katanya juga bapa tiga cahaya mata.

Koleksi Getam Budu terus dikenali sebagai tengkolok Kelantan, harus dikekalkan pemakaiannya elak hilang telan zaman. - NSTP/Syaherah Mustafa
Koleksi Getam Budu terus dikenali sebagai tengkolok Kelantan, harus dikekalkan pemakaiannya elak hilang telan zaman. - NSTP/Syaherah Mustafa

Sejarah Getam Budu

Mengikut sejarah, Getam Budu diperkenalkan semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Ismail ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan pada 1920 hingga 1944.

Dipakai sebagai hiasan kepala rasmi dalam majlis istiadat di Istana Kelantan bersama-sama pakaian baju kebangsaan (sepasang) songket hitam bermotifkan mata kukuran dan bersamping hitam corak melintang bermotifkan bunga padi

Perkataan 'getam' bermaksud penutup dan bersesuaian dengan solekan getam budu kerana dihasilkan untuk menutupi seluruh kepala, manakala 'budu' ialah makanan tradisional melambangkan Kelantan.

"Di Kelantan tidak ramai terbabit dalam penghasilan Getam Budu, mungkin kerana pembuatannya agak rumit dan memerlukan kesabaran. Saya ada waktu tertentu membuat getam budu, iaitu selepas jam 10 malam ketika keadaan tenang dan sunyi.

"Saya mengambil masa dua hingga ke tiga hari untuk menyiapkan satu Getam Budu bergantung kepada jenis lipatan dengan dibantu isteri, Natrah Awang, 53, sebagai pemerhati kualiti agar jahitan serta lipatan terlihat kemas.

Harga cecah RM20,000

"Getam Budu dijual dengan harga serendah RM200 sehingga RM1,000 bergantung kepada jenis songket digunakan. Dalam simpanan saya ada Getam Budu mencecah nilai RM20,000 kerana diperbuat daripada kain limar (kain tenunan sutera halus)," katanya.

Dia yang sebelum ini bekerja dalam bidang perhotelan mengakui, selain Malaysia, pelanggan lain dari Indonesia, Singapura dan Thailand.

Dia juga dalam proses mencari ruang untuk membawa masuk ke muzium untuk dipamerkan supaya Getam Budu terus dikenali sebagai tengkolok Kelantan seterusnya warisan itu terus kekal dan tidak hilang dek zaman.

Wan Nooralee menunjukkan antara koleksi Getam Budu dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bayam. - NSTP/Syaherah Mustafa
Wan Nooralee menunjukkan antara koleksi Getam Budu dihasilkannya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bayam. - NSTP/Syaherah Mustafa

"Masyarakat tempatan sendiri perlu memainkan peranan mengangkat martabat Getam Budu dengan membiasakan sebagai hiasan kepala menggantikan kopiah atau songkok.

"Kebanyakan tempahan yang saya terima adalah untuk dijadikan hadiah atau cenderahati. Bagaimanapun, melalui kuasa tular media sosial ia kini turut menjadi pilihan golongan muda untuk dipakai di majlis perkahwinan terutama dalam kalangan pasangan di Kelantan sendiri.

"Saya mengalu-alukan golongan muda berminat belajar menghasilkan tengkolok jenis Getam Budu ini, namun pastikan agar diri benar-benar ikhlas dan berminat dengan hiasan warisan terbabit," katanya.

Menurutnya, jika ada kerjasama daripada semua pihak tidak mustahil Getam Budu boleh dikenali di seluruh dunia namun rakyat tempatan sendiri harus memainkan peranan untuk memperkenalkannya.

Berita Harian X