Sabtu, 9 Disember 2023 | 1:49pm
Jariyah Mat Petah, berusia 77 tahun menunjukkan alat kiut. - Foto NSTP/Amir Hamzah Nordin
Jariyah Mat Petah, berusia 77 tahun menunjukkan alat kiut. - Foto NSTP/Amir Hamzah Nordin

Nyanyian, tarian indung di tengah sawah semakin lenyap

Nyanyian dan tarian indung antara kesenian atau budaya ekspresif di Ulu Tembeling yang semakin lenyap, seharusnya dikekalkan demi menghargai khazanah seni Melayu.

Tarian indung, gabungan dua elemen seni, iaitu nyanyian dan tarian membentuk aktiviti sosial, iaitu gotong-royong yang kaya dalam kehidupan masyarakat Melayu.

Tarian Indung ini dapat menggembleng hiburan kepada aktiviti kerja mereka, aktiviti kerja adalah lebih penting daripada aktiviti lain.

Sambil bekerja mereka akan menghiburkan diri dengan menyanyi dan berpantun, seperti biasa dengan cara usik-mengusik melalui berbalas-balas pantun ia dapat memberi keseronokan menghilangkan letih bekerja.

Lazimnya, tarian ini disertai wanita di Ulu Tembeling ketika merumput di sawah atau padi huma.

Lagu dinyanyikan berdasarkan perasaan gembira, sedih, marah dan sebagainya serta turut mengaitkan alam flora dan fauna setempat.

Tarian dimulakan penyanyi utama berada di tengah-tengah dengan dikelilingi penyanyi lain dan lagu dinyanyikan oleh penyanyi utama akan disambut sebagai korus atau 'jong dondang' oleh penyanyi lain sambil mereka menghayun 'kiut-kiut' mereka di hadapan penyanyi utama dan memulakan gerakan tarian mengelilingi penyanyi utama di dalam sawah.

Pada rangkap akhir lagu dinyanyikan oleh penari yang akan mencapai 'kiut' masing-masing dari posisi membongkok mengelilingi 'pulau' sawah menjulang 'kiut' itu ke atas sambil bersorak atau loghat di sana dipanggil 'bersuruk' dan perlakuan ini dilakukan bagi setiap lagu yang dinyanyikan.

Terdapat 38 lagu dinyanyikan di dalam rangkaian tarian indung ini, jumlah itu koleksi yang sempat dikumpulkan oleh sekumpulan penari tarian indung yang ada ketika itu dikumpul secara lisan.

Sudut elemen muzik, nyanyian yang didendang disampaikan penyanyi dengan cara 'melismatic'yang berdayu-dayu secara acapella dan monofoni.

Struktur nyanyian penyanyi pertama atau muzik adalah AAAB, iaitu tiga rangkap pantun dengan melodi sama dan kemudian apabila 'bersorak' sambil berdiri mengangkat tinggi alat kiut itu adalah struktur B dan terus bergilir-gilir dengan penyanyi lain.

Bekas penggiat seni itu, Jariyah Mat Petah, 77, ketika itu masyarakat di Ulu Tembeling menanam padi atau 'buat padi' dan sering membersihkan kawasan tanaman padi daripada ditumbuhi rumput.

Oleh itu, mereka kerap ke kawasan tanaman padi untuk merumput atau 'merepeh', sambil melakukan kerja itu, mereka akan bernyanyi dalam bentuk pantun dan menari secara bergilir-gilir.

"Terdapat 38 lagu di dalam rangkaian tarian indung ini. Jumlah itu adalah jumlah yang dirakamkan secara lisan.

Judul lagu dalam rangkaian tarian indung itu seperti, Anak Indung, Kubang, Yanakidin, Dendang Sayang Adik dan beberapa buah lagu lagi.

"Saya hanya dapat mendendangkan dua lagu yang ingat kerana sudah lama tidak mendendangkan lagu serta melakukan tarian kerana aktiviti menanam padi sudah tidak dilakukan di kawasan kampung itu di samping faktor usia saya," katanya.

Katanya, dia dan adiknya, Mahani, Faizah dan Aminah ketika itu sering bernyanyi dan menari indung termasuk saudara mara, tapi kini sudah tidak melakukan nyanyian dan tarian itu.

"Memang nyanyian lagu didendangkan seperti lagu bertajuk Burung Belatok mirip berzanji atau marhaban yang popular di kalangan masyarakat Melayu.

Berita Harian X