Isnin, 4 Disember 2023 | 11:34am
Surat khabar bercetak masih relevan, penghantar akhbar jiwai pekerjaan sanggup tempuhi pelbagai cabaran demi pembaca.
Surat khabar bercetak masih relevan, penghantar akhbar jiwai pekerjaan sanggup tempuhi pelbagai cabaran demi pembaca.
Fungsi surat khabar menyampaikan maklumat tepat dan lengkap mesti dipertahankan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Fungsi surat khabar menyampaikan maklumat tepat dan lengkap mesti dipertahankan. - NSTP/Asyraf Hamzah
Bhaskaran seorang daripada empat orang penghantar surat khabar bermotosikal di Kajang, Selangor.
Bhaskaran seorang daripada empat orang penghantar surat khabar bermotosikal di Kajang, Selangor.
Ravendran mewarisi perniagaan surat khabar daripada ayahnya sejak lebih 20 tahun lalu.
Ravendran mewarisi perniagaan surat khabar daripada ayahnya sejak lebih 20 tahun lalu.
Sharibudin Mohd Yunus.
Sharibudin Mohd Yunus.
Siti Hajar Abd Aziz.
Siti Hajar Abd Aziz.

Perjalanan lebih 130km sehari, keluar seawal 1 pagi hantar surat khabar

SEBELUM dan sekitar 1990-an, menunggu penghantar surat khabar bermotosikal atau basikal satu kelaziman pada setiap hari di bandar atau di kampung.

Si penghantar akan mencampak senaskhah akhbar digulung dan diikat getah ke anjung rumah yang melanggan secara bulanan surat khabar tertentu.

Ketika itu, bagi ejen penjual dan pengedar ada yang keluar seawal jam 1 pagi dan bergerak sejauh lebih 150 kilometer untuk diedarkan ke lokasi tertentu.

Di kala itu, pemandangan biasa apabila ada ramai penjual surat khabar di tepi jalan atau di kaki lima pada waktu pagi. Segelintir yang mempunyai modal, menggunakan kereta dan sanggup menyewa sudut kedai menjual pelbagai surat khabar dan majalah.

Pada zaman kegemilangan surat khabar bercetak, ada akhbar mempunyai naskhah jualan begitu tinggi.

Ketika itu, surat khabar lembaran lebar (broadsheet) atau kompak seperti surat khabar Berita Harian, New Straits Times (NST), Utusan Zaman dan Utusan Melayu dan akhbar bahasa lain menjadi bahan bacaan tetap kebanyakan pembaca.

Masa berlalu dan teknologi berubah pantas. Kini industri surat khabar mengalami perubahan sangat ketara baik dari aspek operasi, kandungan, pencetakan mahu pun editorialnya.

Dari sudut pencetakan misalnya, daripada mesin pencetak offset dua plat hitam putih kepada empat plat berwarna CMYK (cyan, magenta, yellow dan key atau black).

Kini pencetak digital menggunakan teknik komputer ke plat atau Computer to Plate (CTP) mampu mencetak dengan lebih cepat dan berkualiti tinggi seolah-olah mengambil alih kerja penerbitan konvensional.

Di jabatan editorial daripada penggunaan mesin taip pada 1970-an beralih kepada mesin taip elektrik, teleprinter dan kini komputer atau tablet.

Jurugambar daripada menggunakan kamera filem hitam putih kepada filem berwarna dan terkini kamera digital hingga melenyapkan operasi 'bilik gelap' iaitu bilik kedap cahaya jurugambar untuk memproses filem negatif sebelum mencetak gambar.

Dari saiz kompak ke tabloid

Gambar fail - Penjualan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times di Lebuh Ampang. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail - Penjualan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times di Lebuh Ampang. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Surat khabar kompak bertukar kepada saiz tabloid. Manakala pembaca atau pembeli surat khabar juga berkurangan menyebabkan jumlah jualan surat khabar secara keseluruhannya jatuh kesan ledakan teknologi maklumat dan wujudnya peranti pintar muda alih dan peralatan moden lain seumpamanya.

Surat khabar maya atau diterbit dalam versi digital atau secara dalam talian penyebab utama kejatuhan jumlah cetakan surat khabar fizikal di samping wujudnya pelbagai versi media sosial dan portal di seluruh dunia.

Mengimbas beberapa dekad lampau dalam penerbitan surat khabar, sekitar 1950-an senaskhah surat khabar berharga 15 sen terus naik hingga kini ada sehingga RM3 senaskhah disebabkan kos kertas dan percetakan meningkat tetapi sangat berkurangan pembeli atau pembaca.

Baca akhbar di kedai kopi, warung

Dulu, surat khabar diletakkan di kebanyakan kedai kopi atau warung di kampung. Di situlah pengunjung kedai kopi membaca surat khabar di samping bertanya khabar sesama penduduk kampung kerana tidak semua yang memiliki radio atau televisyen.

Penghantar surat khabar zaman dahulu yang kebanyakannya bermotosikal atau berbasikal menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian utama walaupun keuntungannya hanya beberapa sen daripada senaskhah yang dijual.

Edar lebih 9,000 naskah sehari

Ejen pengedar surat khabar di Kajang sejak lebih 30 tahun lalu, Lim Way Yin, 71, berkata, pada zaman kegemilangan akhbar bercetak, beliau mengedarkan lebih 9,000 naskhah pelbagai akhbar sehari.

Namun pada hari ini, hanya 3,000 naskhah. Way Yin, ketika itu beliau mempunyai lebih daripada 20 vendor penghantar surat khabar bermotosikal di sekitar Kajang, tetapi hari ini tinggal empat.

Di Kajang, hanya kira-kira 30 kedai di bandar itu masih bertahan menjual surat khabar dalam jumlah yang kecil.

Namun, jualan surat khabar semakin merosot sehingga ada surat khabar atau majalah tidak lagi terbit.

Keluar seawal 1 pagi

Sharibudin Mohd Yunus, 73, menetap di Subang Jaya menempuh perjalanan pergi balik kira-kira 130km sehari untuk menghantar surat khabar kepada lebih 63 kiosk atau penjual akhbar di beberapa lokasi di Selangor.

Sharibudin Mohd Yunus.
Sharibudin Mohd Yunus.

Antaranya Semenyih, Kajang, Bandar Baru Bangi dan Cheras. Beliau sebagai penghantar tetap surat khabar sejak 2013 selepas berhenti sebagai pengawal keselamatan di Petaling Jaya.

Seawal jam 1 pagi, Sharibudin memulakan tugasnya menuju pusat pengumpulan akhbar di Subang.

Beliau mengumpul serta mengasingkan surat khabar mengikut pesanan penghantaran (DO) berjumlah lebih 1,000 naskhah tidak termasuk majalah.

Kira-kira jam 3 pagi, beliau memulakan perjalanan dengan sebuah van ke lokasi penghantaran surat khabar pelanggannya di selatan Selangor.

Memahami saingan akhbar bercetak dengan digital, Sharibudin perlu pantas. Jika lambat pelanggan tertunggu-tunggu atau sudah tidak mahu membelinya dan menyebabkan bilangan surat khabar tidak dijual meningkat.

Sharibudin juga mengambil semula surat khabar hari sebelumnya tidak dijual untuk dikembalikan kepada ejen atau pencetak.

Selepas semua tugasnya selesai, biasanya pada jam 2 petang Sharibudin pulang ke rumah untuk bersama keluarga dan menunggu esok untuk mengulangi rutin sama.

Sharibudin berkata, rakyat dahulu membaca surat khabar kerana itulah sumber maklumat utama, berbanding hari ini diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk internet.

Yang membaca akhbar bercetak pun berusia 50 tahun ke atas".

"Saya tidak pernah bercuti kecuali pada hari pertama Aidilfitri dan Deepavali kerana tiada akhbar dicetak pada hari perayaan itu.

"Jika saya bercuti, tiada pengganti yang boleh menghantar surat khabar", jelasnya.

Kerja sebati di jiwa

Seorang lagi penghantar surat khabar hanya dikenali sebagai Bhaskaran 53, dari Kajang tahun, berkata dulu menghantar kira-kira 400 naskhah setiap hari pelanggan tetapnya di Jalan Bukit dan Sungai Chua, di Kajang, Selangor, sekarang hanya 200 pelanggan.

Bhaskaran seorang daripada empat orang penghantar surat khabar bermotosikal di Kajang, Selangor.
Bhaskaran seorang daripada empat orang penghantar surat khabar bermotosikal di Kajang, Selangor.

"Saya dapat komisen 25 sen. Sekarang ramai baca dalam telefon pintar dan komisen saya sangat kurang", katanya.

Penjual surat khabar, Ravendran Pandugaran, dari Semenyih, Selangor, berkata pengedar hanya membekalkan 50 ke 60 naskhah pelbagai akhbar setiap hari tetapi antara 20 ke 25 naskhah tidak dapat dijual dan dikembalikan.

Ini bermakna dalam sebulan beliau memperoleh kira-kira RM150 komisen menjual surat khabar.

Ravendran menjual surat khabar di sebuah pondok di tepi Jalan Semenyih berdekatan Bandar Rinching menambah, tidak seperti dulu boleh menjual sehingga 300 naskhah sehari, komisen yang diperoleh juga hanya cukup untuk minum teh.

Tetapi beliau terus menjual surat khabar kerana pekerjaan itu sudah sebati dengan jiwanya sejak 20 tahun lalu walaupun kini pendapatan menjual surat khabar tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk menyara hidup.

"Saya seronok kerana dapat bertemu dengan pembaca atau pelanggan berbagai bangsa yang kebanyakannya berusia 50 tahun ke atas.

Mewarisi kerja bapa

Ravendran mewarisi perniagaan surat khabar daripada ayahnya sejak lebih 20 tahun lalu.
Ravendran mewarisi perniagaan surat khabar daripada ayahnya sejak lebih 20 tahun lalu.

Orang tua usia 50-an sahaja yang membeli surat khabar dan hampir kesemua mereka saya kenal. Tetapi mungkin saya tidak lagi menjual dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi kerana pendapatan atau komisen yang terus merosot", katanya.

Berdasarkan tinjauan, penghantar surat khabar hari ini terutama bermotosikal pendapatan tidak lumayan, tetapi tetap menjiwai pekerjaan dilakukan sejak sekian lama.

Malah, ada mewarisi pekerjaan itu daripada ibu bapa masing-masing. Mereka lakukan selagi surat khabar bercetak diterbitkan dan juga seumpama menghargai para pembaca golongan dewasa yang menjadi pelanggan tetap surat khabar bercetak.

Mereka lebih selesa membaca akhbar dalam talian dan penurunan harga itu belum dapat dimanfaatkan untuk merancakkan industri surat khabar seperti sebelumnya.

Surat khabar bercetak masih relevan

Namun, akhbar bercetak masih relevan dalam dunia maklumat di hujung jari, fungsi surat khabar menyampaikan maklumat bermutu, tepat dan lengkap mesti dipertahankan meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Kampus Alor Gajah, Siti Hajar Abd Aziz secara peribadi berpendapat "surat khabar bercetak masih relevan kerana sumber rujukan komprehensif semua golongan pembaca berbanding akhbar dalam talian".

Siti Hajar Abd Aziz.
Siti Hajar Abd Aziz.

"Akhbar bercetak tidak sama dengan versi digital seperti media sosial yang tidak mempunyai ciri algoritma dan hanya memaparkan maklumat yang diminta atau disukai sahaja.

"Oleh sebab itu, maklumat penting boleh tenggelam dengan pelbagai hantaran, kontroversi dan provokasi menyebabkan pembaca tidak mendapat maklumat yang tepat dan pada kes tertentu tidak dapat membuat keputusan dalam isu-isu berbangkit", katanya.

Justeru katanya, industri surat khabar di Malaysia perlu mengukuhkan kekuatan kandungan digital untuk menyokong operasi bercetak seperti mana amalan di negara luar dengan memasukkan variasi kandungan yang sentiasa menarik bagi meraih pengiklanan.

Berita Harian X