Gambar seekor seekor harimau Bengal diraja berendam dalam kolam di sebuah zoo di Dhaka, Bangladesh, sudah cukup menunjukkan suhu panas di bandar itu, bukan hanya memberi kesan kepada manusia, malah seksaan juga terhadap haiwan.
Photo: Syed Mahamudur Rahman |
A Royal Bengal tiger reacts to the camera as he swims during a heatwave at Bangladesh national zoo in Dhaka, April 16, 2023. Dhaka saw the maximum temperature rise to 40.4 degrees Celsius on Saturday, making it the city's hottest day in 58 years. pic.twitter.com/lpjgnC9kWQ— Syed Mahamudur Rahman 🇧🇩 (@RLiemu) April 17, 2023
Baru-baru ini, suhu di Dhaka mencecah sehingga 40 darjah Celcius, sekali gus menjadikan hari paling panas pernah dicatatkan dalam tempoh 58 tahun lalu.
Hakikatnya, bukan sahaja Dhaka, malah gelombang haba dan berskala besar menyelubungi seluruh Asia dikesan bermula sejak Mac lalu, diikuti peningkatan secara mendadak pada awal April lalu dengan kenaikan suhu tinggi pada setiap hari.
Situasi ini terus menjadi isu hangat diperbincangkan kini yang turut menyebabkan amaran daripada saintis bahawa 2023 boleh mencatat rekod haba baharu apabila corak iklim berubah dan pemanasan global semakin pantas.
Menurut Ahli Klimatologi dan Sejarah Cuaca dari Sepanyol, Maximiliano Herrera, dipetik dari portal theguardian.com, menggelarkan situasi berkenaan sebagai 'gelombang haba bulan April terburuk dalam sejarah Asia'.
Jabatan Meteorologi India (IMD) juga menjangkakan, kemungkinan suhu itu akan membahang sehingga bulan ini (Mei) dan ia boleh diburukkan lagi dengan kehadiran fenomena cuaca El-Nino yang akan bermula sekitar Jun depan, di sesetengah negara Asia.
Mengikut rekod gelombang haba melanda sebahagian besar Asia, iaitu di China, India, Bangladesh, Myanmar dan Thailand, yang kesemuanya melepasi 40 darjah Celsius.
Laporan menunjukkan, suhu naik ke paras tertinggi, iaitu 45 darjah Celsius dicatatkan di Myanmar, India (44.5 darjah Celsius); China (41.9 darjah Celsius).
Mengakibatkan 13 maut di India
Situasi di India semakin memburuk dengan pakar mendedahkan, gelombang haba melampau dilihat lebih teruk pada tahun ini.
Gelombang haba pada April dikesan melanda beberapa negeri di India, dengan Jabatan Meteorologi, pada minggu lalu mengeluarkan amaran jingga atau teruk di bahagian Bihar, Jharkhand, Odisha, Andhra Pradesh dan Bengal Barat.
Enam bandar di utara dan timur India pula merekodkan suhu melebihi 44 darjah Celcius manakala di Delhi, merekodkan 40.4 darjah Celcius, pada minggu lalu .
Natijahnya, suhu tinggi di India menyebabkan 13 orang maut akibat strok haba selepas mereka menyertai acara anugerah diadakan di luar rumah di Maharashtra.
Sementara di Bangladesh, negara yang berdepan krisis iklim, suhu meningkat melebihi 40 darjah Celsius di ibu negaranya, Dhaka, pada pertengahan April lalu, iaitu hari paling panas dalam tempoh 58 tahun, menyebabkan permukaan jalan menjadi cair.
Gelombang haba terburuk di Asia
Beralih di China, media tempatan melaporkan rekod suhu tinggi dikesan di pelbagai lokasi, termasuk Chengdu, Zhejiang, Nanjing, Hangzhou dan kawasan lain di wilayah delta Sungai Yangtze.
Malah, Asia Tenggara juga dilihat mengalami gelombang haba terlalu tinggi dengan empat stesen cuaca di Myanmar mencecah atau menyamai rekod suhu bulanan.
"Rekod panas yang tidak berkesudahan di Asia Tenggara, dengan rekod yang sebelum ini dicatat berminggu-minggu berlaku pada setiap hari," kata Herrera.
Menyumbang kenaikan bekalan elektrik
Gelombang haba turut mengganas di Theinzayet, Mon, India, mencapai paras suhu tertinggi, iaitu 43 darjah Celcius manakala di Bago, timur laut Yangon, mencecah 42.2 darjah Celcius menyamai rekod sepanjang masa dicatatkan sebelum ini pada Mei 2020 dan April 2019.
Di Pakistan, sembilan bandar mencatatkan suhu melebihi 40 darjah Celsius, pada 23 April lalu dan kini terus berjaga-jaga.
Di Thailand, suhu mencecah 42 darjah Celcius pada minggu lalu, namun beberapa hari berikutnya, indeks haba mencapai 54 darjah Celcius.
Pihak berkuasa di sana mengeluarkan nasihat agar orang ramai di Bangkok dan kawasan lain berada di dalam rumah bagi mengelakkan jatuh sakit.
Tetapi masih ramai dilihat keluar sama ada berpayung atau berada di pusat beli-belah berhawa dingin, manakala di pangsapuri dan universiti disembur air untuk mengurangkan bahang haba.
Cuaca terlalu panas menyumbang kepada rekod penggunaan bekalan elektrik di Thailand, dengan penggunaan lebih 39,000 megawatt, pada 6 April lalu, lebih tinggi berbanding 32,000 megawatt pada April tahun lalu.
Pihak berkuasa Bangkok bagaimanapun, menyatakan musim panas di negara itu sudah berada di tahap kemuncak dengan kehadiran hujan beberapa hari lalu.
Di Filipina, pengurusan haba menjadi kritikal
mencecah 37 darjah Celsius disebabkan cuaca panas memberi kesan kepada pembelajaran di bilik darjah. Ketika ini, beratus sekolah terpaksa beralih kepada pembelajaran jarak jauh untuk mengelakkan pelajar sakit, dan masa pengajian lebih pendek serta saiz kelas lebih kecil untuk meredakan keadaan.
Bulan lalu, lebih 100 pelajar dirawat di hospital di Laguna, tenggara Manila, akibat dehidrasi selepas mengambil bahagian dalam latihan kebakaran ketika suhu antara 39 darjah Celcius dan 42 darjah Celcius.
Minggu lalu, portal theguardian.com, juga melaporkan, suhu meningkat melebihi 30 darjah Celcius di Jepun, dengan Minamata di wilayah Kumamoto mencapai 30.2 darjah Celcius.
Singapura juga dikatakan mencatatkan suhu tertinggi mencecah 36.7 darjah Celcius pada minggu ketiga April.
Manakala, Malaysia tidak terkecuali dilanda gelombang haba yang tinggi sehingga dikejutkan dengan satu kes kematian setakat, membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari Kelantan, disebabkan keadaan cuaca yang terlalu panas.
Keadaan suhu sangat luar biasa turut direkodkan di Asia tengah, termasuk di Kazakhstan, di mana 33.6 darjah Celcius direkodkan di Taraz serta di Turkmenistan dan Uzbekistan.
Petanda kecemasan iklim akan datang
Saintis dunia mendakwa gelombang haba terlalu panas sebagai 'tanda amaran' lebih banyak potensi kejadian alam lebih besar dalam tempoh masa hadapan.
Deepshikha Sharma di Pusat Antarabangsa bagi International Centre for Integrated Mountain Development (ICIMOD) menerusi portal Independent UK berkata, fakta berlakunya kecemasan iklim di rantau ini.
"Perubahan iklim disebabkan oleh manusia adalah punca utama peningkatan jumlah dan keganasan gelombang haba kita lihat di seluruh Asia," katanya.
Dunia boleh memecahkan rekod suhu purata baharu pada 2023 atau 2024, yang didorong oleh krisis iklim dan kembalinya fenomena cuaca El Nino yang dikaitkan dengan pemanasan lautan Pasifik.
Malah, sejak lapan tahun lalu, keadaan paling panas berada dalam rekod walaupun sebahagian dari negara dilanda La Nina - keadaan iklim lebih sejuk.
Pakar ekonomi kanan dan sistem makanan di ICIMOD, Abid Hussain menjelaskan, semua model iklim menunjukkan lonjakan haba akan meningkat dalam kerapan dan intensiti di seluruh Asia Selatan.
"Gelombang haba sebegini akan memberi kesan kepada dua bilion penduduk dari segi kesan haba terhadap kesihatan dan kerja, selain pencairan glasier, banjir, kebolehubahan air, hujan tidak menentu dan tanah runtuh serta mungkin berubah menjadi bencana," katanya.
Pakar menjelaskan, rantau Hindu-Kush Himalaya di seluruh Asia Tengah dan Selatan menempatkan air beku ketiga terbesar di dunia dan boleh memanas dua kali ganda purata global.
Ia bermakna glasier mencair lebih cepat dan menjadikan aliran air ke sungai tidak dapat diramalkan.
Sekiranya suhu terus meningkat, glasier menjadi lebih kecil, berlaku kekurangan air dan makanan di rantau ini serta meningkatkan bahaya seperti banjir kilat.