Manisan aneka warna disaluti serbuk tepung, iaitu lebih dikenali sebagai gula tarik atau Sema, apabila dimakan mulut menjadi comot dan perlu dikunyah dengan senyap serta tidak boleh bercakap bagi mengelak tersembur keluar.
Cara membuatnya unik. Bahan utamanya gula, ditarik berulang kali pada tiang khas sekurang-kurangnya 20 kali hingga menjadi sehalus benang dan diselaputi tepung.
Itulah keunikan tekstur gula tarik menjadi manisan tradisional popular di Kelantan, selain memberi rasa berbeza kepada mereka yang baharu menikmatinya.
Sema seperti gulungan benang halus berwarna dengan rasa manis dibaluti tepung membuatkan sesiapa pertama kali melihatnya tidak sabar untuk merasa.
Menggunakan bahan utama iaitu gula, Sema dikategorikan sebagai kuih tradisional kerana menjadi 'jajan' pilihan masyarakat dahulu terutama dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan kerana ia boleh dihasilkan sendiri di rumah.
Bagaimanapun, pembuatannya agak rumit dan memerlukan kemahiran tersendiri terutama ketika menarik gula yang menjadi proses utama dalam penghasilan Sema.
Hakikatnya, tidak ramai pengusaha yang berminat untuk menjalankan perniagaan gula tarik berkenaan, walaupun ia sebenarnya boleh dibawa sehingga ke pasaran antarabangsa jika kena dengan caranya.
Gula ditarik bagi membentuk seperti benang halus
Pengusaha Sema, Rosmani Salleh, 57, adalah antara kumpulan kecil yang masih 'setia' menghasilkan gula tarik sejak lebih 15 tahun lalu untuk dipasarkan di seluruh negara.
Dia yang juga ibu kepada tujuh cahaya mata berkata, gula tarik yang dihasilkannya menjadi pilihan ramai kerana kehalusan manisan berkenaan, selain rasa yang tidak terlalu manis seperti Sema lain.
"Bagi menyiapkan gula tarik, ia memerlukan beberapa proses bermula dengan memasak air gula, meletakkan pewarna dan kemudian merendamkan bekas berisi gula di dalam air supaya ia menjadi ketulan separa keras.
"Selepas itu, ketulan gula yang separa keras terbabit ditarik berulang kali pada tiang khas sebelum dilakukan langkah seterusnya iaitu menarik ketulan gula terbabit sehingga menjadi sehalus benang di dalam tepung yang sudah digoreng.
"Proses menarik ini perlu dilakukan secara berpasangan dengan anggaran ditarik sebanyak 20 kali agar Sema yang terhasil menjadi halus dan diselaputi tepung dengan baik," katanya ketika ditemui di premis pembuatan gula tarik miliknya di Kampung Kutan Tengah, Kota Bharu.
Rosmani berkata, selepas terhasil Sema yang halus mereka perlu memotong dan menggulungnya sebesar tapak tangan dan dimasukkan ke dalam bekas yang kedap udara bagi memastikan ia tidak cair atau menggeras.
Sema yang dihasilkannya boleh bertahan lama selain dijual ke seluruh negara termasuk di Melaka, Kuala Lumpu, Johor, Pahang selain turut menjadi piliihan pelanggan dari Thailand.
"Walaupun prosesnya dilihat agak banyak serta rumit, tetapi Sema terhasil dalam masa 40 minit sahaja kerana ia perlu dilakukan dengan pantas memandangkan sifat gula yang mudah cair atau mengeras.
"Justeru, kemahiran juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan manisan terbabit.
"Saya biasanya membuat gula tarik tiga ke empat hari seminggu bergantung kepada jumlah tempahan.
Dengan dibantu beberapa orang pekerja, kami mampu menyediakan lebih 650 bekas sema sehari dengan menggunakan 72 kilogram (kg) gula .
"Sema yang dihasilkan oleh saya dijual dengan harga RM4 sebekas yang berisi 12 biji dan harga manisan ini juga bergantung kepada nilai semasa gula," katanya yang bersyukur kerana anak ketiganya, Ayuilawati Mohd Sayuti, 32, berminat meneruskan usahanya sebagai peniaga gula tarik.
Sema diolah jadi pelbagai warna
Beliau berkata, ramai antara remaja atau anak-anak hari ini yang tidak mengetahui akan kewujudan Sema kerana hanya banyak dijual di lokasi pelancongan atau premis jualan makanan tradisional.
Menurut 'orang lama', Rogayah Mat Daud, 75, yang turut mengusahakan Sema bersama Rosmani, awal kemunculan Sema hanya berwarna putih tanpa sebarang pewarna, tetapi kini ia diolah dengan warna seperti merah jambu, hijau dan kuning supaya kelihatan lebih menarik.
"Tetapi rasanya tetap sama. Malah, ketika zaman remaja saya sekitar 1960an, sema yang dijual hanya dibungkus di dalam kertas atau surat khabar.
"Cara makan manisan agak mencuit hati kerana serbuk daripada tepung akan membuatkan mulut menjadi comot dan kita tidak boleh bercakap sebaliknya perlu mengunyah sahaja kerana tepung boleh tersembur," katanya
Menurutnya, sema boleh dijadikan manisan untuk majlis keraian atau dijadikan 'goodies' bagi majlis hari jadi, perkahwinan atau diletakkan sebagai pilihan hantaran bagi menggantikan kek.
Gula tarik ini diharap akan terus diusahakan supaya manisan berkenaan tidak terus hilang ditelan zaman memandangkan ia mempunyai kelebihan serta rasa tersendiri yang boleh dikomersialkan.