MUNGKIN ramai mengimpikan bekerja dalam industri minyak dan gas, selain menjanjikan gaji lumayan ia juga dianggap kerjaya unik, lasak yang menguji kekuatan mental serta fizikal seseorang.
Belayar selama berbulan-bulan, meninggalkan keluarga tercinta dan berdepan pelbagai risiko tinggi, ada kalanya dilambung ombak mengganas dan terkurung dalam ruang sempit, antara tugasan mendebarkan di luar pesisir pantai.
Namun, semua situasi itu bagi mereka yang bekerja di syarikat minyak dan gas sudah dianggap 'alah bisa tegal biasa'.
Itulah yang dilalui oleh pekerja Sapura Energy Berhad (Sapura Energy) yang berdepan dengan pelbagai rencam dan cabaran sepanjang tugasan mereka dalam sebagai mekanik di syarikat terbabit.
Umpamanya, bagi Penyelia Kimpalan di Sapura Energy, Hamid Abdullah, 52, sudah melalui pelbagai rencam dan cabaran sepanjang bertugas hampir 20 tahun dalam bidang ini.
Katanya, pernah berdepan cuaca buruk, dipukul ombak besar beberapa kali dan macam-macam kejadian lain yang sudah menjadi 'mainan' mereka, selain perlu berlayar berbulan-bulan meninggalkan keluarga demi kerjaya itu.
Antara tugasan adalah melangsaikan projek pemasangan paip dari platform ke platform di Semarang, di Labuan, Sabah (2006) dan Projek Tapis di Kuala Berang, Terengganu (2013 hingga 2014)
"Pernah ketika projek di Labuan berlaku ribut kuat selama dua hari, selain ombak besar sehingga air memasuki dek kapal, ketika tugasan dilakukan.
"Ketika di Terengganu, berlaku ombak besar ketika menaiki bot, tetapi terpaksa juga meneruskan perjalanan ke kawasan projek. Keadaan kami melambung-lambung di dalam bot yang membuatkan semua bertawakal dan terus bertahan. Namun, tiada insiden buruk berlaku," katanya.
Beliau ditemui ketika melakukan persiapan sebelum memulakan pelayaran ke Thailand menggunakan kapal Sapura 2000 (S2000) di Pelabuhan Johor di sini, baru-baru ini.
Untuk rekod, syarikat itu mempunyai lebih 8,000 tenaga kerja dalam tiga kategori iaitu profesional, 'craft' dan kru.
16 jam di lambung ombak hingga mabuk
Bercerita lanjut, katanya kerja ini bergantung pada tempat dan jarak, kadang kala memakan masa lebih lapan jam di atas bot untuk ke pangkalan atau kembali semula ke kapal yang berada di tengah laut.
"Pengalaman paling saya tidak boleh lupa ketika melakukan projek di Sarawak, saya perlu menaiki bot selama 16 jam untuk bergerak dari pangkalan di Miri ke kapal.
"Saya mabuk teruk akibat perjalanan lama dan dilambung ombak. Ketika itu saya rasa 'taubat' tak mahu ke laut lagi, tetapi fikirkan tanggungjawab, saya bertahan hingga sampai sekarang dan semua itu akhirnya sudah menjadi mainan biasa dalam pekerjaan ini," katanya.
Beliau menganggap bertugas sebagai jurukimpal di darat dan laut ada cabaran tersendiri.
Bagaimanapun, Hamid berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, tetap ada kemanisan kerjaya ini iaitu sejak memulakan kerjaya pada 2004, beliau berpeluang menjelajah pelbagai negara apabila diberi tugas di luar pesisir.
"Sebelum ini, memang saya bekerja sebagai jurukimpal, di darat dan beberapa limbungan.
"Apabila menyertai Sapura Energy, saya dapat menimba pengalaman bertugas di laut pula.
"Tidak beza skop tugas jurukimpal ini, cuma cabaran dalam industri minyak dan gas ini, kita perlu meninggalkan keluarga lama dan ditawarkan gaji tinggi," katanya.
Sebelum bergelar jurukimpal, beliau melalui beberapa siri ujian dan latihan seperti Welding Qualified Test (WQT) sama ada untuk bekerja di laut atau darat.
"Tugasan di darat antaranya membuat formula untuk jadikan modul saluran paip. Jika di laut lebih kepada tugas memasang modul atau platform atau mengimpal 'pile'.
"Kerjaya ini menuntut ketahanan tinggi dan tidak mudah putus asa. Pada awal-awal kerja saya pernah putus asa, tetapi berusaha teruskan kerjaya ini kerana minat dan tanggungjawab," kata bapa kepada tiga anak ini.
Lalui detik cemas
Bagi mekanik Sapura Energy, Roys Bobson Anak Suga, 23, berasal dari Miri, Sarawak, meskipun masih terlalu baru, iaitu lebih setahun menyertai kerjaya, sudah banyak cabaran ditempuhi beliau yang perlu berlayar ke luar negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
Berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanik dari Kolej Vokasional Miri, Sarawak, Roys pernah meninggalkan isteri dan ibu bapa selama lima bulan kerana bertugas di Thailand untuk Projek Chevron dikendalikan syarikat itu.
Roys berkata, mereka juga adalah kru kapal berperanan penting untuk memeriksa keadaan dan keselamatan enjin kapal dahulu serta kelengkapan lain sebelum memulakan sesuatu pelayaran.
"Antara pengalaman cemas dan tidak dapat dilupakan apabila pernah melompat masuk ke penutup lubang utama bersama seorang lagi kru memeriksa dan membaiki saluran paip yang pecah.
"Saya ditugaskan untuk mengeluarkan semua air yang sudah memenuhi ruang berkenaan akibat daripada saliran paip yang pecah.
"Ketika itu perasaan memang sangat takut kerana berada hampir dua jam dalam ruang itu, tetapi gagahi kerana fikir ia adalah tanggungjawab saya untuk menjaga dan memastikan kapal dalam keadaan selamat," katanya.
Impian jadi ketua jurutera
Bagi Roys bekerja di bidang ini perlu kental, tetapi tercatat juga keseronokan apabila dapat berjumpa ramai individu berlainan bangsa dan dari luar negara yang sering memberi bimbingan daripada mereka yang lebih berpengalaman.
Jadi, tidak salah lagi minat disemai sejak kecil suka membaiki enjin, mesin dan belajar mendalami komponen terus mekar hingga di dalam bidang pekerjaannya sekarang.
"Sejak menjadi mekanik di sini, Roys pernah membaiki dan mengendalikan pelbagai jenis enjin termasuk cummins K50, 'water maker cat pump', enjin Kobelco Hino, 'tensioner', 'caterpillar forklift' dan penjana Denyo.
"Memang pada mulanya, keluarga saya membantah kerja ini, tetapi dek kerana minat mereka terpaksa akur.
"Kerjaya ini memerlukan kemahiran asas mekanikal dan perlu pastikan mempunyai mental dan fizikal kuat.
"Impian saya mahu menjadi ketua jurutera, suatu hari nanti. Saya tidak putus asa untuk terus belajar dan berterima kasih kepada Sapura Energy yang sentiasa memberi bimbingan dan menyediakan pelbagai kursus antaranya Ujian Perubatan dan Spirometri, 'T-Bosiet and Compressed Air Emergency Breathing System (CAEBS)', latihan ruang terkurung, latihan bekerja di tempat tinggi serta survival laut," katanya.
Pantau 300 kru kapal
Pengurus Pembinaan Luar Pesisir, Mohamad Rufian Daimon, 50, yang juga ketua kepada Hamid dan Roys, bukan calang-calang kakitangan apabila beliau awalnya hanya pegawai keselamatan di syarikat itu, sebelum dinaikkan pangkat ke jawatan jurutera keselamatan.
"Mula sertai syarikat ini, pada 2001, saya banyak buat kerja-kerja keselamatan di sektor marin kerana latar belakang saya seorang pelaut dan saya ditugaskan menjaga keselamatan marin.
"Kemudian saya dinaikkan pangkat sebagai pegawai operasi kanan, sebelum ke jawatan sekarang sebagai pengurus mobilisasi, selain turut berperanan sebagai Pengurus Pembinaan Luar Pesisir.
"Sapura Energy menghantar saya kursus lanjutan sebagai bimbingan dan sokongan untuk meningkatkan kemahiran serta kerjaya," katanya.
Tugasnya perlu menguruskan operasi keluar masuk kapal syarikat itu dengan membuat penyediaan pemakaian kapal bagi sesebuah projek dan menyediakan keperluan kapal sebelum berlayar ke lapangan.
"Peralatan hendak digunakan seperti peralatan menyelam, tukul pembinaan, peralatan pengeluaran seperti peralatan mengimpal, gas dan peralatan kaji selidik untuk posisi kapal, perlu saya pantau," katanya.
Berkongsi pengalaman bapa tujuh anak ini bersyukur isteri dan anak memahami kerjayanya yang perlu merantau ke luar pesisir dalam tempoh yang lama.
Belayar enam bulan tinggalkan keluarga
"Biasa jika dalam negara, minimum 60 hari, jika tugasan negara seperti India, Mexico atau Brazil, boleh mencecah tiga hingga enam bulan.
Berdepan keadaan cuaca di laut dan menguruskan antara 270 hingga 300 kru dalam satu masa sudah pasti antara cabaran dihadapinya.
"Risau apabila berlaku kecemasan seperti keadaan cuaca tidak elok dan pernah berdepan dengan kru yang terbabit dalam kemalangan ketika bekerja.
"Saya perlu uruskan dengan baik, biasanya saya akan segera menghantar pulang kru berdepan kemalangan menggunakan khidmat helikopter atau bot laju.
"Yang ceburi bidang ini perlu ada minat, berpendidikan, berkemahiran, jiwa kental dan komited untuk bekerja di luar pesisir," jelasnya yang mahu mendidik kakitangan menjadi pelapis pada masa akan datang.