Istilah 'menyelam' ketika mencari pakaian atau pelbagai barangan terpakai atau lebih popular disebut 'bundle' memang tidak asing lagi dalam kalangan penggemarnya.
Pakaian 'bundle' tidak kurang hebatnya bagi penggemar yang rajin dan bersabar 'menyelam', iaitu bahasa pasar digunakan, iaitu bermaksud menyelongkar untuk mencari pakaian.
Tidak terkejut apabila dalam kesabaran membelek helai demi helai anda mendapat pakaian yang elok dan berkualiti dengan harga murah.
Namun, sebilangan barangan itu mempunyai cerita dan sejarah di sebaliknya sehingga harganya pula boleh mencecah sehingga RM300,000.
Namun, tidak hairanlah ada penggemar barangan seperti pakaian sanggup menghabiskan ribuan ringgit dan tidak kisah berbelanja setinggi itu bagi memenuhi minat menghimpun barangan vintage.
Di Malaysia, 'scene' atau industri berkaitan bundle tidak sehebat luar negara antaranya Amerika Syarikat (AS), yang mana ia tidak cenderung kepada pakaian sahaja, bahkan merangkumi pelbagai jenis barang seperti senjata lama, hasil seni dan lain-lain lagi.
Namun begitu, 'scene bundle' di Malaysia terdapat keunikan tersendiri sehingga ada orang asing sanggup datang ke negara ini, hanya untuk mendapatkan pakaian bundle yang jarang ditemui atau memiliki nilai estetika dan sejarahnya tersendiri.
Tidak dinafikan terdapat banyak barangan bundle yang jarang dijumpai untuk dijadikan koleksi peribadi.
Antaranya barang era 70an dan 80an berkisar kumpulan kugiran antarabangsa atau bintang rock yang masih menjadi momen kepada peminat tegar.
Harganya pasaran untuk barang berkenaan boleh mencecahkan ribuan ringgit dan ada yang sanggup menghabiskan wang ringgit hanya untuk mendapatkan koleksi jarang didapati seperti itu.
Sanggup beli seluar harga RM300,000
Manakan tidak, ada individu yang sanggup membeli seluar jeans keluaran kurun ke-18 dengan harga RM300,000. Itu belum lagi ada yang rela membayar RM10,000 untuk topi terpakai berjenama antarabangsa.
Industri bundle negara juga dikatakan banyak bergantung 'stok' dari Jepun, AS, Korea Selatan, selain Australia dan Singapura.
Kepelbagaian industri bundle tanah air boleh disaksikan apabila ia bukan sahaja dijual di premis yang berkonsepkan premium atau boleh didapati secara dalam talian, bahkan barangan itu turut boleh didapati di lorong-lorong gelap berdekatan Pasar Chow Kit, Jalan Raja Bot di ibu kota.
Bundle 'lorong gelap'
Bagi penulis yang kali pertama berkunjung ke situ, persepsi awal yang terpacul adalah ia cumalah 'bundle lorong gelap', namun bagi penggemar pakaian bundle, ia umpama syurga bagi mereka termasuk menjadi tumpuan pelancong asing.
Dikenali sebagai 'Weekend Vintage Night Market' Jalan Raja Bot, terletak di belakang Pasar Chow Kit, hanya dibuka kepada pengunjung bermula 9 Malam hingga 3 pagi pada setiap Jumaat dan Sabtu.
Menurut Penganjur Weekend Vintage Night Market Jalan Raja Bot, Herman Plani Syafrudin, 'scene bundle' di situ bermula sejak 2012 dengan pembabitan sekitar 50 peniaga sekali gus menjadi suasana di kawasan itu terang dengan lampu dan meriah dengan kedatangan orang ramai.
Menceritakan permulaan komuniti peniaga 'bundle' di jalan terbabit, beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Peniaga Bundle Malaysia, berkata ketika itu tidak ramai mengetahui lorong di belakang Pasar Chow Kit terdapat pasar larut malam yang menjual barang 'bundle'.
Namun, selepas kewujudan komuniti itu tular menerusi cakap-cakap media sosial dan berita di televisyen, pada 31 Disember 2013, lokasi itu diserbu ribuan pengunjung sehingga menjadikan kawasan itu sesak seperti sambutan perayaan.
Baju, jaket serendah RM1
Menurut pemuda berusia 39 tahun yang pernah bergelar peniaga pakaian 'bundle' suatu ketika dahulu, selain menawarkan pelbagai barang 'bundle' seperti seluar, baju, jaket, topi dan kasut, Weekend Vintage Night Market Jalan Raja Bot menawarkan harga serendah RM1.
"Laluan ini (lorong di belakang Pasar Chow Kit) lori hantar ayam ke Pasar Chow Kit. 'Scene' kita memang lain daripada pasar malam atau 'night market' seperti di Danau Kota dan Uptown Cheras.
"Keahlian sekarang seramai 300 peniaga. Apabila menjelang Ramadan jumlahnya melebihi 300 peniaga.
"Jangan risau kerana pasar 'bundle' ini dilesenkan pada 2020 dan ia digazetkan sebagai 'Weekend Vintage Night Market JRB' pada 2020 oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu.
"Yang berniaga di sini bukan hanya peniaga dari Selangor dan Kuala Lumpur, bahkan ada sanggup datang dari Perak, Melaka. Pengunjung pula tidak terhad orang tempatan, malah ada orang asing dari Thailand, Indonesia, Jepun dan AS.
"Komuniti di sini, asalnya peniaga dalam talian. Jalan Raja Bot adalah medium mereka berniaga kerana tak mampu sewa kedai. Kita kenakan bayaran RM5 sehari yang untuk caj pembersihan, keselamatan dan kawalan lalu lintas," katanya.
Buru baju 'bundle'
Penggemar pakaian bundle, Syazwan Fahmi Zaini, 31, dari Shah Alam, sanggup turun ke 'Weekend Vintage Night Market, di sini, hampir setiap minggu untuk 'memburu' baju yang jarang didapati di tempat lain.
Bermula sebagai 'collector' baju 'bundle', katanya kini beliau menceburi perniagaan pakaian 'bundle' secara kecil-kecilan dengan menjualnya di platform dalam talian.
"Saya selalu datang ke sini setiap minggu. Bagi yang minat pakaian atau barangan 'bundle' lain memang mereka tahu tempat ini. Boleh dikatakan saya akan menghabiskan sekitar RM200 untuk beli baju dijual.
"Bagi saya pakaian 'bundle' ini tak sama dengan beli baharu. Umpamanya, kalau kita pakai, kita seorang saja memakainya. Susah nak dapat di tempat lain," katanya.
Pakaian terpakai berkualiti tinggi
Sementara itu, bagi yang tidak suka berpeluh dan pentingkan suasana premium ketika membeli barangan bundle, ada premis barangan terpakai dengan dekorasi lebih segar, eksklusif, ruang luas, berhawa dingin untuk keselesaan pelanggan.
Premis 'bundle' ada yang di tempatkan di pusat beli-belah dan rumah kedai menjadikan sebilangan 'pemburu' barangan berkenaan suka mengunjunginya.
Antaranya Bondoru Sdn Bhd (Bondoru), sebuah jenama pakaian bundle berkualiti tinggi tempatan yang menawarkan konsep butik.
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Eksekutifnya, Mohamad Rifa'at Roslan, berkata butik pakaian terpakainya menawarkan lebih 50,000 pakaian daripada lebih 100 jenama popular antarabangsa.
Jelasnya, pakaian atau barangan yang disediakan di butik berkenaan adalah berkualiti tinggi yang diimport terus dari Jepun ke Malaysia sebagai alternatif kepada penggemar tempatan.
"Idea kewujudan menjual pakaian 'bundle' ini dalam masyarakat tempatan terhasil menerusi pendekatan masyarakat Jepun yang menjadikan pakaian terpakai sebagai salah satu alternatif dalam menggayakan dunia fesyen, selain menjadi pilihan untuk memenuhi keperluan peribadi.
"Fenomena dunia 'bundle' ini sebenarnya dapat dilihat di bandar-bandar besar di Jepun termasuk di Tokyo dan Osaka.
"Saya lihat masih ada ruang kosong dan peluang untuk mengembangkan manfaat ini kepada masyarakat memandangkan Malaysia sememangnya hab untuk memproses pakaian terpakai sebelum diimport ke negara lain.
"Tambahan pula, harga jualan yang ditawarkan sangat berpatutan, iaitu penjimatan sehingga 80 peratus berbanding harga pasaran semasa, sekali gus memberi nilai tambah yang sangat menguntungkan kepada pengguna.
"Kami menjual pakaian terpakai bermula RM5 dan boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenis dan jenama pakaian," katanya.
Pakaian dalam keadaan baik
Dalam konteks 'bundle' di negara ini, kebiasaannya hanya meletakkan fokus pilihan barangan lelaki, namun jenama ini turut ada menjual produk untuk wanita.
Menariknya semua koleksi bajunya dari Jepun ekoran pakaian yang terpakai yang diimport ke dalam negara ini boleh dikatakan sangat baik dari segi kondisi dan jenama.
Rakyat Jepun kebiasaannya akan memilih untuk menjual pakaian mereka yang tidak lagi dipakai kepada kedai pakaian terpakai kerana jika tidak mereka perlu membayar servis perkhidmatan pelupusan untuk membuang pakaian mereka.
"Oleh itu, pakaian dari negara ini masih dalam keadaan baik dan terjaga," katanya.