Isnin, 6 March 2023 | 8:38am

Tak cuak, gayat tergantung di bangunan pencakar langit

BERADA di awang-awangan di dalam jentera berat, sesekali bergoyang akibat angin kencang situasi biasa dilalui operator kren menara ketika bertugas mengangkat atau mengalihkan barangan di bangunan pencakar langit.

Jika angin berterusan kuat disusuli hujan semakin lebat, tugasan dilakukan perlu dihentikan segera bagi mengelak sebarang risiko seperti tumbang.

Kadang kala, kren menara boleh bergoyang bukan saja kerana angin, tapi kerana ada lori atau kenderaan berat melalui kawasan berhampiran kren.

Sesekali terasa bergoyang pada paksi beratus meter di angkasa akan membuatkan operator 'cuak' dan bimbang sebarang kemalangan.

Hakikatnya, gayat berada di tempat tinggi sudah lama 'berkubur' bagi mereka menggalas tugas sebagai operator kren menara.

Malah, selepas menyedari puncanya, mereka mampu tersenyum dan meneruskan tugasan walaupun sedar berada dalam kren penuh berisiko kemalangan maut demi memburu rezeki.

Terkedu, gayat berada di 'beam' di angkasa

Bagi operator kren menara, Riski Syah Pitra Jumarlis, 29, mengakui selepas lebih lapan tahun dalam kerjaya ini, baharu rasa takut lenyap sepenuhnya ketika berada di tempat tinggi.

Berada di tingkat 20 ketika melakukan kerja mengangkut barang dan lain. - NSTP/Rohanis Shukri
Berada di tingkat 20 ketika melakukan kerja mengangkut barang dan lain. - NSTP/Rohanis Shukri

Riski Syah sudah tak gayat berada di bangunan tinggi melakukan kerja seharian. - NSTP/Rohanis Shukri
Riski Syah sudah tak gayat berada di bangunan tinggi melakukan kerja seharian. - NSTP/Rohanis Shukri

Beliau mula belajar bawa kren menara, pada 2014 daripada bapa saudaranya, Effendi Agusman, 59, dan mengakui pada saat itu sangat takut.

Ketika itu, bapa saudaranya, operator kren di tapak projek pembinaan sebuah apartmen di ibu negara, membawa untuk melihat cara bekerja.

"Kami menaiki lif ke tingkat 25 dan kemudian menaiki dua lagi tingkat menggunakan tangga ke tingkat 27 untuk ke kren menara.

"Apabila sampai di 'beam' iaitu laluan kecil antara bangunan ke kren menara sepanjang kira-kira tiga meter, saya terkedu kerana merasa gayat.

"Disebabkan terlalu takut dan merasa seperti seakan-akan mahu jatuh. Saya mengambil keputusan merangkak di sepanjang laluan itu untuk ke kren.

Riski Syah ketika mendaki bangunan 20 tingkat kondominium di Taman Medan. - NSTP/Rohanis Shukri
Riski Syah ketika mendaki bangunan 20 tingkat kondominium di Taman Medan. - NSTP/Rohanis Shukri

Riski Syah berada di tapak pembinaan kondominium 20 tingkat, di Taman Medan, Petaling Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri
Riski Syah berada di tapak pembinaan kondominium 20 tingkat, di Taman Medan, Petaling Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri

"Saya sangat takut kerana kali pertama berada di tempat tinggi di kawasan terbuka pula," katanya ditemui di tapak pembinaan kondominium 20 tingkat, di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, ketika itu perasaan takut menyebabkan beliau pening kepala sehingga pulang ke rumah.

Namun, ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus mempelajari cara mengendalikan kren daripada bapa saudaranya.

"Kini saya sudah biasa dengan keadaan sekeliling dan selepas itu langsung tiada perasaan gayat," katanya pernah mengendalikan kren setinggi 45 tingkat.

Dapat lesen operator kren menara

Kongsinya, selepas berjaya mempelajari cara mengendalikan kren menara, beliau terus mendapatkan lesen. Pada 2016 beliau ditawarkan bekerja sebagai operator kren.

Minatnya sejak kecil apabila melihat bapa saudara dan abangnya juga bekerja sebagai operator kren.

"Saya tahu risiko operator kren menara, namun kerana minat dengan tugas mencabar saya sanggup mempelajarinya.

Pernah merangkak di beam kerana terlalu takut berada di bangunan tinggi. - NSTP/Rohanis Shukri
Pernah merangkak di beam kerana terlalu takut berada di bangunan tinggi. - NSTP/Rohanis Shukri

"Bagi saya pengendalian kren menara lebih mudah daripada kren bergerak kerana hanya perlu menggunakan tangan berbanding kren bergerak menggunakan kaki dan tangan serentak," katanya.

Bapa kepada anak berusia tiga tahun itu berkata, berada di tempat tinggi seorang diri memerlukannya sentiasa memberikan tumpuan ketika bertugas.

Temannya hanya 'walkie talkie' untuk berkomunikasi dengan jurungambing (signal man) kerana tidak nampak apa berlaku di bawah.

"Kerja ini perlu sentiasa memeriksa keadaan platform menempatkan kren setiap kali naik ke kren.

"Ini untuk memastikan tiada skru yang longgar elak kren bergoyang ketika bekerja sekali gus berisiko tumbang," katanya pernah mengendalikan kren 16 tan.

Isteri minta tukar kerja lain

Dia pernah bertugas di beberapa lokasi berbeza dan mengendalikan kren sudah agak berusia dan sentiasa bergoyang ketika melakukan tugasan mengangkat barang.

Memikirkan ia rezeki halal setiap hari berdoa supaya tiada masalah sebarang tragedi buruk.

"Isteri banyak kali minta saya tukar kerja, tapi, sebab minat saya hanya meminta dia sentiasa mendoakan keselamatan saya," katanya memiliki lesen kren bergerak sejak 2020.

Minat mendalam membuatkan Riski Syah tak hirau risiko menjadi operator kren menara. - NSTP/Rohanis Shukri
Minat mendalam membuatkan Riski Syah tak hirau risiko menjadi operator kren menara. - NSTP/Rohanis Shukri

Gaji operator kren tak tinggi

Jelasnya, gaji operator kren tidaklah setinggi seperti orang sangkakan kerana faktornya bergantung kepada persaingan majikan ketika ini.

Purata gaji operator kren juga tidak menentu kerana ketika ini tiada mana-mana pihak melaksanakan kadar gaji tetap.

"Ada majikan culas membayar gaji pekerja. Ada juga tidak membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan satu lagi penganiayaan kepada pekerja," katanya yang bersyukur tidak berdepan majikan bermasalah.

Elak risiko kren tumbang

Selain kren menara, kren bergerak dan kren berantai juga kerjaya mencabar meskipun kapasiti kenderaan dan jenis berbeza.

Mendekati operator kren bergerak, Muhammad Hafiz Aizat Mohamad Sabri, 31, pula menyifatkan bidang ini umpama seni halus tetapi memerlukan kemahiran tinggi dan mencabar.

Muhammad Hafiz Aizat Mohamad Sabri. - NSTP/Fathil Asri
Muhammad Hafiz Aizat Mohamad Sabri. - NSTP/Fathil Asri

Katanya, walaupun memiliki Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP), beliau pada mulanya tiada keyakinan mengendali kren kerana bimbang risiko bakal dihadapi.

"Mulanya saya ikut kawan bertugas sebagai operator kren, bagaimana cara mengendalikan di beberapa kawasan berbeza.

"Kemudian, saya ikuti kursus enam bulan, sebelum bina keberanian operator kren," katanya.

Akuinya, bukan mudah membawa kren kerana berdepan persekitaran, cuaca, tanah, kenderaan dan keadaan diri sendiri.

Sebelum mula operasi, perlu melihat persekitaran dan tanah dalam keadaan stabil kerana kren berat, selain periksa kren di dalam dan luar pastikan tiada kerosakan, peralatan seperti lampu, lampu isyarat dan 'boom' berfungsi.

"Kemudian dicatatkan di dalam buku log dan memulakan tugas. Di sini bermula cabaran tugasan.

"Jika mengangkat barangan seperti paip, besi, tanah atau simen, operator kren perlu tahu jarak sesuai antara kren dan barangan sebelum diangkat.

"Ia bagi mengelak risiko kren tumbang, tali terputus, barangan diangkat rosak dan pelbagai lagi kemalangan jika tersalah percaturan, selain perlu mengetahui prosedur operasi standard (SOP) mengikut carta beban disediakan," katanya.

Carta beban menunjukkan kapasiti beban diangkat kren dan perlu sentiasa dipatuhi bagi mengelak terlebih beban.

Bantuan juruambing yang menjadi jurupandu kepada operator kren penting kerana mereka perlu memberitahu di mana barangan diangkat dan diletakkan supaya semuanya selamat.

"Setiap lokasi cara kerja berbeza, ada tanah keras, berbukit dan lecek, jadi cara bekerja berbeza," katanya pernah terbabit projek rumah teres, kedai, kilang, pasar dan pelbagai," katanya setakat ini tidak pernah alami saat genting ketika bertugas.

Tidak mudah dapat sijil

Di negara ini kapasiti kren bermula dari tujuh tan sehingga 750 tan.

Selain untuk mengangkat atau memindahkan barangan seperti simen, besi, kayu kren juga digunakan untuk pelbagai tugasan seperti pemuatan, pemunggahan dan juga pemasangan jentera berat bagi industri tertentu.

Justeru, salah satu tempat yang menawarkan Sijil Pengiktirafan Operator Kren ini adalah di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah yang menawarkan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir.

Bagi Tenaga Pengajar Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah, Myzuuki Mohamed, sebelum menerima sijil, peserta perlu menjalani teori, praktikal dan ujian lisan.

Myzuuki Mohamed.
Myzuuki Mohamed.

Katanya, di dalam teori pelajar akan didedahkan sepenuhnya mengenai kren bergerak, pengiraan carta beban, berkenaan alatan kren, cara penyelenggaraan dan lain-lain.

"Pelatih perlu lulus ujian dinilai oleh JKKP terlebih dahulu dan baharu mereka layak mendapat SKKP," katanya.

Beliau sudah sembilan tahun menjadi tenaga pengajar di ABM Wilayah Tengah berkata, rata-rata yang datang belajar kerana dihantar oleh syarikat, namun ada juga datang sendiri kerana minat, ingin mempelajari bidang pengendalian kren dan kepentingan mendapatkan pentauliahan sebagai operator kren yang diiktiraf.

Akuinya, bukan mudah mendapatkan SKKP ini. Ramai gagal teori dan praktikal termasuk yang ada pengalaman membawa kren.

"Untuk dapatkan sijil tidak mudah. Ada mengulangi latihan hingga tiga kali untuk mendapatkan SKKP," katanya perlu bersedia bekerja dalam bidang 3D (kotor, bahaya, sukar).

Bersolat dalam kren

Pernah beberapa tahun menjadi operator kren katanya, bertugas kendalikan kren menara di sebuah tapak pembinaan lapang terbang antara pengalaman terus melekat di minda,

"Saya tinggal di rumah kongsi bersama pekerja asing, ada kala makan dan solat di dalam kren untuk siapkan ikut jadual.

"Ini antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan mereka yang berhasrat untuk menjadi operator kren perlu bersedia fizikal dan mental.

"Pendapatan agak lumayan dan berbaloi dengan tugas dan kemahiran, selain berkorban masa dan tenaga," katanya.

Berada di bangunan pencakar langit sudah jadi ‘mainan’ operator kren menara. - Foto hiasan
Berada di bangunan pencakar langit sudah jadi ‘mainan’ operator kren menara. - Foto hiasan
Berita Harian X