"Orang kata saya 'urat besi', 'badang' dan macam-macam lagi. Tetapi tidak kisah kerana selagi masih sihat, saya mahu mencari keredaan Allah menerusi kerja-kerja penambakan pasir di pusara lama."
Jadi tidak hairanlah bagi bapa lima anak itu, Azmi Jahaya, mengangkut lebih 30 pek pasir dengan setiap kampit seberat 35 kilogram (kg) dilakukan sendirian bukan satu masalah.
Rutin setiap hari Azmi, 64, akan ke Pantai Bisik, tidak jauh dari tanah perkuburan di Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang untuk menceduk pasir menggunakan mangkuk ke dalam beg plastik.
Aktiviti itu sudah dilakukan sejak tujuh bulan lalu bagi memastikan pusara berusia ratusan tahun terletak di Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang ini sentiasa kemas serta teratur sebelum Ramadan menjelang tidak lama lagi.
Menurut Azmi, ramai yang tahu mengenai usaha murninya yang mahu menjaga pusara berkenaan tanpa ada niat untuk bermegah-megah, sebaliknya mahu membantu waris supaya tanah perkuburan dapat dijaga dengan sebaiknya.
"Orang sekeliling dekat sini semua tahu saya mengambil pasir dekat pantai ini untuk tujuan menjaga kubur lama dan bukannya mencuri, apatah lagi saya buat kerja ini ketika ramai orang berada di pantai.
"Syukur ramai yang menyokong kerja amal saya dan tidak pernah marah apabila mengambil pasir di pantai ini.
"Saya dapati, meskipun sudah banyak pasir di pantai ini yang saya ambil, persekitarannya tidak terjejas langsung," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Pasir seberat 35 kg diangkut dengan motosikal
Kongsinya, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah agama akan ke pantai itu sebaik habis kerja untuk mengambil pasir dan kemudian menyambungnya pada waktu petang selagi kudratnya masih ada.
"Saya memang tidak boleh duduk diam kerana habis sahaja waktu kerja sekitar jam 7 pagi, sejam selepas itu saya akan ke pantai dahulu mengutip pasir dan mengisinya ke dalam beg plastik kosong (plastik ais).
"Pada setiap hari dianggarkan lebih 30 pek pasir saya diambil, kadang-kadang lebih daripada itu yang ia bergantung kepada masa dan keadaan saya sebab selain waktu pagi, saya juga akan lakukan lagi pada waktu petang.
"Setiap satu pek pasir yang seberat 35 kg yang saya akan angkut sedikit demi sedikit menggunakan motosikal ke tanah perkuburan lama sehingga selesai," katanya.
Kubur mendap
Menurutnya, beliau melakukan kerja berkenaan secara sukarela dan mahu berbakti selagi hayatnya masih ada.
"Tanah perkuburan lama di sini pula tanahnya selalu jerlus (mendap). Apabila hujan jadi berlopak dengan air dan keadaan itu membuatkan rasa sedih untuk saya yang mahu melihat pusara orang Islam berada dalam keadaan baik.
"Dahulu tanah perkuburan ini ditambak dengan pasir yang diwakafkan orang awam, tetapi selepas ada tanah perkuburan baharu, sudah kurang orang wakafkan pasir di sini.
"Atas sebab itu saya mahu membantu dengan menambak pasir yang saya ambil dari pantai dan seronok melakukan kerja ini.
Digelar 'badang'
Berbekalkan kemahiran ketika berkhidmat sebagai anggota tentera selama 10 digunakan untuk melakukan kerja itu
"Ketika dalam tentera saya masuk dalam pasukan komando yang banyak sangat mengajar saya tentang ilmu kelangsungan hidup termasuk cara mengorek pasir dengan kaedah betul.
"Jadi, ilmu itu saya gunakan dalam kerja ini. Ramai yang membantu saya sebelum tidak tahan dengan kerja ini kerana bukan mudah nak korek pasir, kemudian masukkan dalam plastik kemudian angkat pula ke tanah perkuburan.
"Orang kata saya 'urat besi', 'badang' dan macam-macam lagi tetapi saya tidak kisah kerana selagi saya masih sihat, saya mahu mencari keredaan melalui kerja-kerja seperti ini," katanya.
Azmi berkata, beliau bersyukur apabila semua kerja yang dilakukannya dipermudahkan dan berharap tanah perkuburan itu boleh ditambak secara keseluruhannya sebelum menjelang Ramadan nanti.
"Saya nak keluarga yang datang ziarah nanti seronok lihat pusara ini dalam keadaan baik dan memudahkan mereka apabila ia tersusun dengan kemas," katanya.