Isnin, 27 Februari 2023 | 10:29am
Urusan jenazah COVID-19 ke 86 yang juga bapa mentua Ahmad Fazli (but kuning). - Foto/Ihsan Ahmad Fazli
Urusan jenazah COVID-19 ke 86 yang juga bapa mentua Ahmad Fazli (but kuning). - Foto/Ihsan Ahmad Fazli
Ahmad Fazli sumbang bakti dengan menubuhkan Afza Kifayah khidmat pengurusan jenazah percuma.
Ahmad Fazli sumbang bakti dengan menubuhkan Afza Kifayah khidmat pengurusan jenazah percuma.
Kenangan ketika menguruskan jenazah bersama NGO lain lengkap semua dengan PPE. - Foto/Ahmad Fazli
Kenangan ketika menguruskan jenazah bersama NGO lain lengkap semua dengan PPE. - Foto/Ahmad Fazli

Khidmat percuma urus dan kebumi jenazah

Keinginan untuk berbakti ke jalan Allah dengan menyumbang secara percuma bagi pengurusan jenazah mengetuk pintu hati Ahmad Fazli menceburi bidang itu sepenuh masa.

Ahmad Fazli yang juga pengasas Afza Kifayah, iaitu badan bukan kerajaan (NGO) pengurusan jenazah, mahu membantu waris kehilangan orang tersayang untuk urusan jenazah secara teratur.

"Saya tidak dapat memberi bantuan kewangan, hanya masa dan tenaga dihulur untuk pengurusan jenazah.

"Saya ingin menjadi seperti Uncle Kentang, meskipun agama lain, tetapi menawarkan khidmat pengurusan jenazah Islam.

"Jadi saya ingin melakukan sesuatu yang terbaik untuk umat Islam dalam pengurusan jenazah.

"Saya mencari kaedah untuk menguruskan jenazah dan kebetulan negara dilanda wabak COVID-19, jadi saya berpeluang menguruskan jenazah bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), " katanya.

Afza Kifayah terima sumbangan

Dari situ beliau mula mengenali sahabat seperjuangan seperti Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih, Amal Valley Organisation, Amal, Pengurusan Jenazah Bidor dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, apa saya inginkan sudah mula tercapai dengan penubuhan Afza Kifayah," katanya.

Satu ciri yang membezakan NGO ini dengan pengurusan jenazah lain, beliau bergerak sendiri.

"Pada mulanya 100 peratus duit sendiri, lama-kelamaan ada waris berikan sagu hati atau sumbangan. Tapi, saya asingkan ke dalam tabung pengurusan jenazah.

Pernah bekerjasama dengan JAIS dan NGO lain urus antara 40 hingga 50 jenazah sehari ketika COVID-19.
Pernah bekerjasama dengan JAIS dan NGO lain urus antara 40 hingga 50 jenazah sehari ketika COVID-19.

"Ada sumbangan saya terima daripada pelbagai pihak termasuk orang yang tidak dikenali memasukkan ke tabung ini secara bulanan.

"Bagusnya ada pengusaha pam minyak di Lembah Klang juga memberikan petrol atau diesel percuma kepada Van Jenazah yang berdaftar dan sekali gus membantu mengurangkan kos pengurusan jenazah," katanya.

Urus 40 hingga 50 jenazah sehari

Bekerja dalam pasukan juga adalah salah satu cara pengurusan jenazah percuma ini terus bertahan.

Sebagai contoh, jenazah mahu dihantar ke Kelantan ada kalanya perlu transit di pertengahan jalan atas alasan keselamatan pemandu dan mengurangkan kos.

Bagi pengurusan jenazah COVID-19 Khas bersama JAIS dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP), mereka dan rakan lain menguruskan antara 45 hingga 50 jenazah sehari.

"Pengurusannya agak berbeza daripada mengenal pasti jenazah, tayamum, kafan (sesetengah hospital), solat, hantar jenazah dengan PPE dan mengebumikan jenazah semua dilakukan secara berpasukan.

"Setakat saya uruskan, tiada kes waris marah-marah atau berkeras ingin melihat atau mengurus jenazah khususnya mangsa COVID-19.

"Sebelum jenazah diurus, waris akan diberikan penerangan sebaik mungkin," katanya.

Berita Harian X