Isnin, 30 Januari 2023 | 11:32am
Pemandangan di Tasik Bera di Triang, Pahang. - NSTP/Aizuddin Saad
Pemandangan di Tasik Bera di Triang, Pahang. - NSTP/Aizuddin Saad

Malaysia kaya khazanah tanah lembap

MALAYSIA adalah antara negara paling bertuah di dunia kerana dikurniakan kepelbagaian ekologi termasuk kewujudan lokasi tanah lembap yang sangat penting kepada kehidupan habitat serta manusia.

Pemuliharaan tahan lembap juga menjadi intipati penting dalam penjagaan alam sekitar global sehinggakan pada 2 Februari 1971 di bandar Ramsar berhampiran Laut Caspean, Iran terwujudnya suatu perjanjian antarabangsa mengenai kepentingan tanah lembap.

Sejajar itu, Malaysia turut menandatangani Konvensyen Ramsar yang menyediakan rangka kerjasama antarabangsa dalam pemuliharaan habitat tanah lembap pada 10 Mac 1995.

Setakat ini, sebanyak tujuh kawasan di seluruh negara diwartakan sebagai tapak Ramsar.

Tasik Bera diiktiraf sebagai tapak Ramsar pertama negara dan diwartakan pada 10 Mac 1995. Selepas itu Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai pula diisytiharkan tapak Ramsar.

Selain itu Taman Negara Kuching Wetlands pula diiktiraf sebagai Tapak Ramsar kelima pada 2005 manakala Hilir Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah, masing-masing pada 2008 dan 2013.

Hutan paya bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian. - Foto hiasan NSTP
Hutan paya bakau di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian. - Foto hiasan NSTP

Potensi baharu tanah lembap sebagai tapak Ramsar

Dengan keadaan alam semula jadi di Malaysia yang kaya dengan tanah lembap, taman negara dan santuari sewajarnya lebih banyak kawasan baharu diwartakan sebagai tapak Ramsar demi kepentingannya kepada khazanah negara.

Kenyataannya, Malaysia tidak ketandusan tanah lembap kerana terdapat banyak lagi lokasi ekologi itu konsisten untuk diwartakan sebagai tapak Ramsar.

Dijangka lebih lima lokasi baharu boleh diwartakan bagi tujuan sama.

Antaranya, Teluk Air Tawar di Pulau Pinang; Matang-Kuala Gula di Perak; Taman Alam Kuala Selangor di Selangor, Setiu di Terengganu dan beberapa lagi di Sabah serta Sarawak.

Semua tanah lembap di Malaysia meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai, yang menjadi habitat penting kepada kepelbagaian spesies flora dan fauna terutama burung air yang bermigrasi.

Bantu tingkatkan kualiti air, elak hakisan

Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof Dr Ahmad Ismail, sejajar Hari Tanah Lembap Sedunia, pada 2 Februari ini, yang disambut setiap tahun lebih 50 tahun lalu, sepatutnya tahap kesedaran orang ramai mengenai kepentingan tanah lembap semakin meningkat.

Ini kerana secara umumnya kawasan tanah lembap sangat penting bagi kawasan produktif secara biologi dan mempunyai sistem yang kepelbagaian biologi untuk membantu meningkatkan kualiti air, mengawal hakisan tebing tasik, mengawal aliran air, mengawal hakisan, penyimpanan karbon, mengawal perubahan iklim.

"Ia juga menyediakan habitat kepada haiwan yang terancam dan dilindungi. Oleh kerana kawasan yang kaya dengan kepelbagaian biologi, tasik menarik peminat alam semula jadi seperti memerhati burung dan tumbuhan akuatik yang unik," katanya.

Kuala Gula di Batu Kurau antara lokasi yang berpotensi diwartakan sebagai tapak Ramsar. - NSTP/ L Manimaran
Kuala Gula di Batu Kurau antara lokasi yang berpotensi diwartakan sebagai tapak Ramsar. - NSTP/ L Manimaran

Malah, ia juga penting kepada habitat organisma akuatik, mengelak kejadian jerebu yang antara berlaku disebabkan pengurusan hutan paya gambut yang tidak cekap.

"Contohnya, kejadian jerebu pada 1998 memberikan pengajaran kepada dunia dan pihak berwajib untuk memperkenalkan sistem pengurusan paya gambut yang lebih baik secara bersepadu serta terkawal.

"Kejadian jerebu antara tahun 1997 hingga 1998 memberikan kesan kepada negara-negara meliputi Thailand, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia dan Malaysia. Kerugian ketika itu dilaporkan sebanyak AS$9 bilion (RM35 bilion) dari segi ekonomi, sosial dan kerosakan alam sekitar.

"Ia juga memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia dan hidupan liar," katanya.

Jadi span semula jadi

Beliau berkata, malah pada September 2019, media melaporkan kebakaran besar-besaran hutan paya gambut di Indonesia sudah menyebabkan jerebu beracun yang merebak ke Singapura dan Semenanjung Malaysia turut memberikan kesan serius kepada spesies terancam Orang Utan dan habitat mereka.

Tanah lembap berfungsi sebagai span semula jadi yang memerangkap dan melepaskan air permukaan, air hujan, air bawah tanah dan banjir secara perlahan.

"Semua pokok, akar dan daun tumbuhan akuatik memainkan peranan dalam menguruskan air ekosistem tanah lembap.

"Tumbuhan akuatik juga melambatkan pergerakan arus air dan menyebarkan air ke kawasan rendah lain. Tanah lembab secara am juga membantu mengurangkan hakisan secara semula jadi," katanya.

Tasik Bera antara tempat yang digemari pengunjung. - NSTP/Ilah Hafiz Aziz
Tasik Bera antara tempat yang digemari pengunjung. - NSTP/Ilah Hafiz Aziz

'Pasar raya biologi' tanah lembap

Ahmad yang juga Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), berkata ekosistem tanah lembap juga boleh dianggap sebagai 'pasar raya biologi' kerana menyediakan tumbuhan yang menjadi bahan makanan dan menarik banyak spesies haiwan.

Haiwan menggunakan tanah lembap sebagai habitat mereka sepenuhnya atau sebahagian daripada kitaran hidup atau tempat singgah mereka.

"Tumbuhan yang mati, daun dan batang berpecah kecil dan mereput.

"Partikel kecil bahan organik dipanggil 'detritus' akan memperbanyakkan makanan serangga air kecil, siput, ikan kecil yang menjadi makanan kepada ikan atau predator lebih besar seperti ikan, reptilia, amfibia, burung dan mamalia.

"Kawasan tanah lembap juga menyumbang kepada hasil makanan seperti siput, ikan dan lain-lain tumbuhan komersil termasuk bahan perubatan tradisional dan kraf tangan," katanya.

Secara semula jadi proses ekologi yang berlaku menyediakan nutrien untuk tumbuhan akuatik secara semula jadi," katanya.

Kriteria tapak Ramsar

Justeru, untuk diwartakan sesuatu lokasi sebagai tapak Ramsar perlu memenuhi sembilan kriteria bagi kawasan dicadangkan, iaitu:

Kriteria 1: Kawasan tanah lembap yang luar biasa mempunyai keunikan tanah lembap semula jadi di kawasan yang diwakilinya.

Kriteria 2: Tanah lembap sebagai habitat spesies yang terancam atau hampir pupus.

Kriteria 3: Tanah lembap yang penting bagi populasi flora dan fauna menjamin kelestarian kepelbagaian biologi dalam kawasan berkaitan.

Kriteria 4: Tanah lembap yang menyokong spesies flora dan fauna sebagai habitat dalam keadaan kritikal seperti banjir besar atau cuaca buruk.

Kriteria 5: Tanah basah yang menampung lebih daripada 20,000 burung air.

Kriteria 6: Habitat yang menampung satu peratus daripada populasi spesies atau subspecies burung air.

Kriteria 7: Habitat penting bagi spesies atau subspesies ikan asal atau sebahagian daripada kitaran hidupnya atau ada kepentingan kepada populasi atau habitatnya atau berkepentingan kepada spesies global.

Kriteria 8: Habitat kepada sumber makanan kepada ikan, tempat pembiakan, tumbesaran atau laluan hijrah di mana spesies ikan bergantung kepadanya.

Kriteria 9: Habitat penting yang menampung satu peratus daripada populasi spesies lain bukan burung dan ikan.

Justeru, mengulas mengenai sambutan Hari Tanah Lembap itu, Ahmad menegaskan tidak lain tidak bukan dengan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya ekologi kawasan terbabit.

"Masyarakat juga diberi peluang untuk mengenal tanah lembap dengan pelbagai cara, pendekatan dan aktiviti.

"Jadi, sejajar dengan tema tahun ini, iaitu 'Masa untuk pemulihan semula tanah lembap' seharusnya disahut dengan bersungguh-sungguh bagi situasi lebih kritikal berikutan pelbagai ancaman aktiviti manusia seperti tebus guna tanah, pencemaran dan perubahan iklim.

Tanah lembab terbesar di dunia di Panatanal, Brazil. - Foto ihsan Frans Lanting
Tanah lembab terbesar di dunia di Panatanal, Brazil. - Foto ihsan Frans Lanting

Info mengenai Ramsar

* Ramsar : Sempena nama sebuah bandar di Iran, menjadi tuan rumah Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa pertama pada 1971.

* Tujuan konvensyen untuk memulihara tanah lembap, tempat berehat, lokasi mencari makanan burung hijrah dan lain-lain.

* Malaysia menganggotai Ramsar pada 1994

* Tasik Bera, Pahang diisytiharkan tapak Ramsar pertama negara (1995)

* Tanah lembap terbesar di dunia adalah di Pantanal (merentangi negara Brazil, Bolivia dan Paraguay di Amerika Selatan).

Berita Harian X