Selasa, 15 March 2022 | 12:32pm
Mohd Noor atau Pak Udo mengekalkan rumah berkonsepkan seni ukiran Melayu di Mutiara Classic. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Mohd Noor atau Pak Udo mengekalkan rumah berkonsepkan seni ukiran Melayu di Mutiara Classic. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Barangan klasik mewarnai hiasan dalaman kediaman Pak Udo. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Barangan klasik mewarnai hiasan dalaman kediaman Pak Udo. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Mohd Noor dan Rubiah menggabungkan elemen kayu dan batu bagi menggambarkan keunikan seni ketukangan Melayu. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Mohd Noor dan Rubiah menggabungkan elemen kayu dan batu bagi menggambarkan keunikan seni ketukangan Melayu. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Rumah klasik cipta nostalgia tersendiri

TAK lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Seni ukiran kayu dan warisan pertukangan rumah tradisional yang dilengkapi pelbagai barangan antik menjadikan kediaman lama mampu mencipta fenomena tersendiri.

Pada era moden ini, tidak ramai yang membina atau mengekalkan rumah berkonsepkan seni ukiran Melayu kerana membabitkan kos tinggi dan sukar mendapatkan tukang kayu berkemahiran tinggi.

Impian mencipta kelainan dan keunikan pada kediaman, mendorong bekas kakitangan Kedutaan Australia, Mohd Noor Abdullah, 64, dan isteri, Rubiah Hamid, 66, menjadi rumahnya lokasi tumpuan penduduk setempat dan pelancong asing.

Terletak di Taman Mutiara Juasseh Kuala Pilah, Negeri Sembilan rumah dikenali teratak Mutiara Classic itu amat menarik kerana di bahagian luar, depan rumah seperti bumbung, tingkap, dinding dan pintu diukir indah.

Gabungan seni bina kayu dan batu konkrik yang menjadi sebahagian besar struktur rumah teres setingkat milik Mohd Noor itu jelas menyerlahkan kepakaran tukang kayunya, Razak Lebai Karim, 60.

Hampir semua struktur bahagian hadapan rumah ditukar kepada papan atau kayu bercirikan tradisional dan klasik.

Keunikan dan tambah berseri dengan pelbagai barangan antik menjadi hiasan sekali gus menjadi pelengkap kepada dekorasi kediaman pasangan terbabit.

Impi konsep berbeza

Semua dekorasi dihiaskan kemas dan teratur pada setiap sudut bermula dari pagar rumah, ruang tamu, bilik tidur, bilik air, dapur sehingga ke bahagian pintu belakang rumah.

Sebaik melangkah ke dalamnya, pengunjung akan terasa seolah-olah berada pada era 1950 apabila ruang tamu menempatkan meja makan antik, pantas mengingatkan kedai kopi zaman dahulu.

Mohd Noor lebih mesra dipanggil Pak Udo

membeli rumah itu pada tahun 2000. Peluang kerap ke luar negara terutama Australia kerana bertugas memberinya banyak pengalaman untuk mendiami rumah seperti itu.

Bahagian tingkap direka khas berasaskan seni kayu bersifat eksklusif. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Bahagian tingkap direka khas berasaskan seni kayu bersifat eksklusif. - NSTP/Mohd Amin Jalil

"Saya mengupah tukang kayu yang berpengalaman untuk membentuk sebahagian struktur rumah dengan kayu termasuk ukiran ada pada bumbung. Kekemasan bahagian siling kayu nampak berbeza," katanya menetap di situ sejak 2014.

Dihiasi dekorasi barangan antik

Kerja mengubah suai rumah dengan elemen kayu siap pada November tahun lalu.

"Saya sukakan elemen kayu kerana ia nampak menarik dan unik dan menyerlahkan seni bina tersendiri.

"Saya hias kediaman dengan pelbagai barangan antik. Kebanyakan barangan melebihi 50 tahun seperti seterika, basikal, pinggan mangkuk, pisau getah, kaki mesin jahit, kerusi malas, kipas siling, lampu, suis, bekas telur dan dacing timbang," katanya.

Datuk kepada empat cucu itu, berkata kerana sayangkan bahagian pintu kedai runcit milik arwah bapanya di Kampung Keru, Padang Lebar di sini, beliau mengupah orang menjadikan papan itu sebagai meja kopi dan bangku panjang, dan diletakkan di ruang tamu serta luar rumah.

Daripada pintu kayu terbiar dan masih elok, maka dijadikan antara koleksi dekorasi di dalam rumah.

"Banyak barangan antik dibeli di dalam dan luar negara seperti mangkuk tingkat, pelbagai lampu, lampu kereta api, piring hitam, seterika arang, botol susu dua puting, telefon, pintu kayu, sofa, katil dan banyak lagi.

"Semua koleksi hanya ada satu sebagai hiasan memandangkan ruang rumah terhad dan mahu nampak kemas," katanya.

Kerap dikunjungi pelancong

Beliau amat berpuas hati dan gembira dengan keadaan rumahnya kerana sering dikunjungi ramai termasuk pelancong asing terutama sebelum pandemik COVID-19.

"Saya suka mereka datang untuk melihat keunikan rumah dan menerangkan mengenai maklumat dan sejarah barangan antik itu.

"Saya berharap dua anak saya mewarisi dan menjaga rumah dan barangan yang ada," katanya yang memenangi tempat pertama pertandingan kebersihan dan keceriaan taman perumahan daerah Kuala Pilah bagi kategori Rumah Teres Terbersih dan Ceria, tiga tahun berturut-turut bermula 2008.

Berita Harian X