Isnin, 24 Januari 2022 | 10:56am
Dua ekor tapir, haiwan terancam yang mundar-mandir tanpa arah tujuan harungi banjir di sebuah taman perumahan di Kuantan, Pahang.- Gambar hiasan
Dua ekor tapir, haiwan terancam yang mundar-mandir tanpa arah tujuan harungi banjir di sebuah taman perumahan di Kuantan, Pahang.- Gambar hiasan
Krisis alam sekitar kian meruncing jika pemuliharaan hutan tidak dilaksanakan secara mapan. - Gambar hiasan
Krisis alam sekitar kian meruncing jika pemuliharaan hutan tidak dilaksanakan secara mapan. - Gambar hiasan

Bah ganggu habitat haiwan liar

MUSIBAH banjir melanda di beberapa negeri baru-baru ini yang menyebabkan kemusnahan harta benda, alam sekitar, kehilangan nyawa dan pelbagai lagi.

Tidak terkecuali haiwan ternakan turut menjadi korban, selain binatang liar yang tinggal di dalam hutan didapati keluar daripada kediaman selesanya.

Adakah hidupan liar itu terpaksa menjadi 'collateral damage' akibat kejadian fenomena alam ini?

Daripada kejadian banjir sebelum ini, jelas dilihat rakaman lanser kamera buaya tembaga keluar dari Sungai Pulau Gadong, Melaka, merayap di atas jalan raya.

Selain video dua ekor tapir, iaitu spesies haiwan terancam yang mundar-mandir tanpa arah tujuan mengharungi banjir di sebuah taman perumahan di Kuantan, Pahang.

Malah, babi hutan, rusa dan memerang turut berkeliaran di kawasan perumahan. Begitu juga dengan ular, biawak air, kura-kura, labi-labi juga dilaporkan masuk ke dalam rumah atau di sekitar kawasan rumah.

Kesemua video yang dipaparkan itu 'menjentik hati' kita mengenai persoalan, adakah 'rumah' haiwan liar itu sudah lenyap?

Pastinya ada sebab kenapa haiwan ini berlegar dalam kawasan perumahan manusia ketika kejadian banjir. Mungkin mereka dibawa arus atau sekadar sesat, tetapi pastinya bah baru terjadi itu mengurangkan lagi kawasan legar mereka yang sebelum ini sudah mengecil.

Situasi banjir memungkinkan habitat haiwan liar ini terkesan dan tenggelam. Haiwan kerdil akan lemas atau terpaksa lari menyelamatkan diri ke tempat lain.

Malah lebat dan arus deras mengakibatkan hakisan tanah dan merosakkan lubang tanah sehingga boleh membunuh haiwan yang tinggal dalamnya.

Banjir rosakkan habitat hidupan liar

Selain itu, banjir juga merosakkan habitat itu dan mengganggu jaringan serta rantai makanan mereka.

Justeru, cerita mengenai banjir besar baru-baru ini belum selesai lagi, sebaliknya perlu kajian secara menyeluruh mengenai kesannya terhadap kehidupan manusia, haiwan liar dan alam sekitar.

Tiada keluarbiasaan untuk mengaitkan kejadian banjir dengan pembalakan kerana teori ini sudah pun disahkan dengan beberapa siri bah terdahulu.

Seperti berlaku di sebuah negeri di Pantai Timur sekitar beberapa tahun lalu, namun ada pihak dilihat masih lagi samar untuk mengakui pembalakan adalah punca, kerana aktiviti penebangan hari ini masih lagi rancak.

Apabila curahan hujan pada kadar tinggi di kawasan bukit 'dilandaikan' maka akan terjadinya hakisan permukaan dan ini mengakibatkan banjir lumpur apabila keadaan sedimentasi yang tinggi menyebabkan air berkelodak, keruh dan tidak mendapat cukup cahaya matahari menembusi permukaan air ke dasar sungai.

Haiwan yang bergantung kepada sungai untuk sumber makanan akan terjejas dan tidak dapat melihat mangsanya dengan jelas sebagai makanan.

Situasi sama berlaku kepada hidupan akuatik apabila kekurangan cahaya juga memberi kesan terhadap proses fotosintisis, selain kandungan oksigen dalam air yang berkurangan.

Apabila berlakunya banjir, serangga dewasa atau larva boleh dihanyutkan air banjir dan akhirnya keadaan sungai menjadi keruh malah arus mengganggu rantai makanan semula jadi ekosistem akuatik berkenaan.

Kajian sistem habitat hidupan liar

Menurut Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, sistem pengurusan habitat hidupan liar sangat penting dan maklumat biologi serta ekologi hidupan liar perlu difahami.

PRESIDEN Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail
PRESIDEN Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail

Katanya, kajian mendalam perlu sentiasa dilaksanakan dan paling tidak, pemantauan keberadaan haiwan ini, kehidupan habitat itu dari segi bilangan, kawasan legar, sumber makanan dan kawasan yang cukup untuk spesies berbeza serta ancaman terhadap mereka.

Jelasnya, kawasan legar yang cukup untuk mencari makanan, pembiakan dan mengekalkan populasi haiwan ini sangat penting khususnya bagi habitat haiwan seperti tapir Malaya, harimau Malaya, gajah Asia, beruang madu, rusa dan babi hutan.

"Sekiranya berlaku banjir besar kawasan legar mereka tidak seharusnya terancam dan memasuki kawasan penempatan manusia kerana kawasan hutan sepatutnya sudah cukup.

"Setakat ini, tidak nampak lagi kajian tentang kesan banjir terhadap hidupan liar terancam dan konflik dengan manusia apabila berlaku banjir.

"Sekiranya tiada kajian dilakukan, sukar untuk dibuat tindakan bagi pengurusan konflik manusia terhadap hidupan liar yang terbaik," katanya.

Sediakan zon penampan

Beliau menjelaskan, cadangan kerajaan untuk memastikan 50 peratus hutan simpan di Malaysia dan program Central Forest Spine (CFS) adalah suatu inisiatif baik, namun bagi menjayakannya, kawasan merosot ini perlu dipulihkan melalui penanaman pokok yang sesuai dengan kerjasama pelbagai pihak.

Dalam membantu mengawal hakisan permukaan dan keadaan sungai yang berkelodak, Ahmad berkata zon penampan perlu diadakan.

Kemusnahan hutan disebabkan pelbagai faktor termasuk banjir menjadikan ‘kediaman’ haiwan liar terancam. - Foto/NSTP
Kemusnahan hutan disebabkan pelbagai faktor termasuk banjir menjadikan ‘kediaman’ haiwan liar terancam. - Foto/NSTP

"Keluasan zon penampan perlu mengikut keadaan sesuai untuk menapis kelodak akibat daripada hakisan permukaan dan zon penampan boleh menjadi kawasan rayau hidupan liar dan bersambung dengan hutan yang luas.

"Bagi kawasan tanah rendah atau sungai yang menjadi habitat buaya, zon penampan sangat penting dalam keadaan banjir besar.

"Ini penting kerana buaya mungkin dihanyutkan ke muara sungai atau terkandas di kawasan perumahan.

Pengurusan habitat buaya sangat penting sama ada musim banjir atau tidak contohnya buaya tembaga atau crocodylus porosus yang sangat memerlukan perhatian pemuliharaan," katanya.

Tapir haiwan terancam

Mengikut laporan tapir antara haiwan yang terancam dan akan mengalami kepupusan di Malaysia. Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), populasi tapir hanya tinggal antara 1,100 hingga 1,500 ekor.

Mengulas mengenainya, Ahmad berkata, haiwan terrestrial seperti tapir sememangnya terkesan apabila kawasan daratan tenggelam kerana mereka tidak mendapat makanan cukup dan terpaksa berpindah ke lokasi yang tidak ditenggelami air untuk memudahkan mencari makanan.

"Bagi kes tapir, kawasan legar mereka mesti dikenal pasti dan jenis makanan mereka perlu dipastikan mencukupi bagi populasi setempatnya.

"Kajian menunjukkan lebih daripada 200 spesies tumbuhan menjadi pilihan makanan mereka. Jenis, saiz dan bahagian pokok yang menjadi makanan popular haiwan itu boleh ditanam di tempat yang sesuai dari segi kawasan, keadaan tanah, jenis pokok dan mungkin kualiti nutrisi.

"Dalam program penanaman 100 juta pokok dan pemulihan habitat, kesesuaian pokok, kawasan dan tempat sangat penting bagi pengurusan habitat haiwan liar.

"Tapir adalah haiwan terancam dan mudah masuk ke kawasan kediaman manusia, justeru tindakan segera dalam pengurusan habitat mereka sangat penting.

"Oleh itu, pelbagai pihak khususnya orang awam dan yang berkepentingan mengambil iktibar dengan kejadian banjir ini," katanya.

Krisis alam sekitar kian meruncing

Beliau menegaskan kajian kesan banjir ke atas hidupan liar, pemuliharaan mereka dan konflik dengan manusia perlu dilakukan dengan segera, iaitu pemetaan kawasan legar hidupan liar, kawasan banjir dan kawasan berpotensi konflik dengan manusia perlu dilaksanakan.

Masyarakat perlu membuat melapor kepada pihak berkuasa kerana ancaman banjir ini jelas menunjukkan kita sedang berdepan krisis alam sekitar yang meruncing.

Jika manusia boleh merasai kesannya, apatah lagi haiwan yang juga amat terjejas cuma bezanya, kita boleh bangkit dan melakukan perubahan.

Berita Harian X