Isnin, 11 Oktober 2021 | 12:01pm
Rumah comel atau tiny house kini jadi trend golongan muda dan profesional sebagai cara hidup baharu. - Foto hiasan
Rumah comel atau tiny house kini jadi trend golongan muda dan profesional sebagai cara hidup baharu. - Foto hiasan

Rumah comel simbol cinta

RUMAH kecil, comel atau 'tiny house' kini menjadi satu trend baharu yang semakin meningkat dalam kalangan golongan muda dan profesional di negara ini.

Trend itu mungkin dipengaruhi situasi di luar negara seperti di Amerika Syarikat dengan gerakan komuniti rumah kecil terus berkembang sebagai satu cara hidup baharu.

Rumah kecil ini mempunyai keluasan lebih kecil berbanding rumah biasa dibina, bahkan lebih kecil daripada rumah kos rendah.

Yang menariknya, banyak rumah comel ini dibina oleh golongan berkemampuan dan profesional ini ada yang diabadikan sebagai simbol cinta mengeratkan hubungan suami isteri dan keluarga.

Malah, tumpuan pada reka bentuk seni bina menarik, kreatif dan mempunyai pendekatan penggunaan ruang dalaman yang sangat cekap bagi mengoptimumkan setiap ruang yang ada.

Faktor penerimaan rumah kecil

Pengerusi Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ar Dr Mohd Farid Mohamed, berkata terdapat pelbagai faktor tercetusnya trend rumah kecil di Malaysia.

Prof Madya Ar Dr Mohd Farid Mohamed.
Prof Madya Ar Dr Mohd Farid Mohamed.

Katanya, antara faktor utama berkembang trend ini adalah faktor kos, iaitu rumah comel ini mampu memenuhi keinginan pemilik untuk memperoleh rumah idaman pada kos yang mampu milik.

Pada masa sama mempunyai kos penyelenggaraan dan pengurusannya murah.

"Dengan memiliki rumah yang murah, pemilik mampu mencapai satu kehidupan yang lebih bebas tanpa terikat dengan beban hutang bank yang besar dan dalam jangka masa panjang.

"Di samping faktor kos, sosial memainkan peranan yang penting dan perkembangan trend rumah kecil.

"Sebahagian pemilik rumah kecil ini ingin menjalani kehidupan yang sederhana, mudah dan hanya menumpukan kepada keperluan asas kehidupan tanpa memberikan fokus kepada kemewahan yang berlebihan," katanya.

Mahu pengalaman mencabar

Beliau berkata, antara faktor sosial yang lain adalah keinginan golongan ini untuk mendapat pengalaman baharu dan lebih mencabar.

Untuk mencapai pengalaman ini, sebahagian pemilik rumah menjadikan rumah kecil ini sebagai rumah kedua di lokasi jauh dari kediaman mereka di bandar dan dijadikan rumah percutian.

Reka bentuk seni bina menarik, kreatif dan mewah dengan mengoptimumkan setiap ruangan agar tampak sempurna. - Foto hiasan
Reka bentuk seni bina menarik, kreatif dan mewah dengan mengoptimumkan setiap ruangan agar tampak sempurna. - Foto hiasan

Di samping faktor di atas, ada dalam kalangan pemilik rumah kecil yang dipengaruhi oleh faktor kelestarian, iaitu kesedaran kepada kepentingan menjaga alam sekitar melalui satu kehidupan yang sederhana dan mempunyai kesan minimum kepada alam sekitar.

Rumah kecil yang memerlukan keluasan tanah yang kecil, penggunaan tenaga yang rendah dan bahan pembinaan dan buangan yang rendah mampu mengurangkan kesan negatif ke atas alam sekitar, seterusnya menjadikan kehidupan pemilik yang lebih lestari.

Rumah kecil terawal

Beliau berkata, dalam konteks pembinaan rumah kecil ini, sistem pembinaan dan bahan binaannya juga tidak terlalu rumit kerana saiznya yang kecil.

Pelbagai jenis bahan binaan bersesuaian bagi pembinaan rumah kecil ini sama ada penggunaan bahan kayu, batu-bata, konkrit atau logam.

"Rumah warisan Melayu, iaitu jenis rumah bujang contoh rumah kecil terawal wujud di Malaysia yang binaannya menggunakan bahan kayu.

"Rumah ini bersifat modular dan sesuai untuk dibuat penambahan ruang selepas jumlah ahli keluarga berkembang," katanya.

Rumah warisan Melayu, jenis rumah bujang contoh rumah kecil terawal di Malaysia dibina menggunakan kayu. - Foto hiasan
Rumah warisan Melayu, jenis rumah bujang contoh rumah kecil terawal di Malaysia dibina menggunakan kayu. - Foto hiasan

Bahan kayu masih lagi penting bagi binaan rumah kecil di Malaysia, manakala binaan batu-bata dan konkrit adalah bahan utama kerana ia kukuh dan kosnya yang murah.

Bagi bahan binaan logam, kegunaan sepenuhnya bahan ini juga sesuai namun dengan perincian pembinaan yang bersesuaian dengan iklim tropikal.

Namun, kebiasaannya ia digunakan dengan gabungan bahan lain seperti bahan penebat, papan fiber simen, konkrit, batu bata dan kayu.

Rumah kontena

Beliau menambah, kini tidak terkecuali penggunaan kontena menjadi satu trend baharu pembinaan rumah kecil di negara ini.

Kos pembinaannya berpatutan, tahan lasak, bersifat modular dan juga jangka masa pembinaan cepat.

"Bagaimanapun, ada beberapa kelemahan kepada penggunaan kontena iaitu ukuran yang terhad dan kos terselindung seperti keperluan pengangkutan, pemasangan dan keperluan bahan penebat serta pelindung bagi permukaan logam kontena yang terdedah kepada panas cahaya matahari.

"Namun, kelemahan ini ada solusinya dan sentuhan pereka bentuk bangunan mampu menukar satu kontena buruk, membosankan dan penuh karat kepada satu seni bina yang menarik, unik dan elegan, sebagaimana dikehendaki pemiliknya," katanya.

Beliau menyifatkan rumah kecil ini wajar dan disambut secara positif oleh masyarakat kerana pelbagai kelebihan ditawarkan.

Digabungkan dengan pelbagai kreativiti dan pendekatan seni bina diterapkan pada reka bentuknya, tidak mustahil trend ini akan terus berkembang terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kesedaran masyarakat kepada penjagaan alam sekitar dan kehidupan sederhana.

Bagi menjamin keselamatan pembinaannya perlu babitkan profesional berdaftar seperti arkitek dan jurutera dan dipastikan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Unit Kotak Teduh

Kediaman unik kotak yang diilhamkan dengan konsep rumah Scandinavia pada awalnya diubah suai kepada rumah kontena atau kabin terletak di Meru, Klang, ini mencuri tumpuan.

Konsep rumah Scandinavia menggunakan kontena di namakan Kotak Teduh, antara rumah comel yang menarik. - Foto ihsan Apit
Konsep rumah Scandinavia menggunakan kontena di namakan Kotak Teduh, antara rumah comel yang menarik. - Foto ihsan Apit

Rumah comel dengan keluasan 167.2255 meter persegi, dinamakan Kotak Teduh milik pasangan, Zaizul Azri, 39, dan Hamizah Baharuddin, 34, dibina minimalis.

Kediaman dua tingkat itu seperti rumah teres biasa, namun siapa sangka rumah idaman dinamakan 'Kotak Teduh' diperbuat daripada kontena yang dilengkapi ruang tamu, ruang kerja, dapur, dua tandas, dua bilik tidur, ruang santai dan balkoni.

Zaizul atau dipanggil Apit yang juga guru sebuah sekolah dan jurugambar bebas, berkata Kotak teduh dilengkapi dengan taman mini Hutan Kecil bagi menempatkan pelbagai jenis tumbuhan sebagai terapi.

Rekaan rumah kontena dan hiasan dalam dicipta sendiri. - Foto ihsan Apit
Rekaan rumah kontena dan hiasan dalam dicipta sendiri. - Foto ihsan Apit

"Anggaran kos rumah ini, RM120,000 termasuk perabot, rekaan dalaman dan luar yang semuanya asal daripada idea kami sendiri.

"Kami menggunakan perabot yang minimum berwarna natural dengan susun atur bertepatan dengan konsep minimalis.

"Di dapur dan pagar, saya menerapkan konsep industri dengan penggunaan bata merah dan besi," katanya.

Konsep minimalis

Beliau berkata, semua rekaan rumah dan hiasan dalam dicipta sendiri memandangkan isterinya juga seorang artis illustrasi yang mempunyai jenamanya sendiri iaitu TekapbyKotak.

Kotak Teduh juga sebagai simbol cinta Apit dan isterinya. - Foto ihsan Apit
Kotak Teduh juga sebagai simbol cinta Apit dan isterinya. - Foto ihsan Apit

Pemilik Instagram, @tekapbykotak itu menyifatkan, Kotak Teduh juga sebagai simbol cinta mereka yang hidup berdua dengan konsep minimalis tetapi kemas.

"Biasalah bila membabitkan pembikinan rumah idaman, masing-masing ada saja idea. Cuma idea yang bernas atau tidak untuk diterima.

"Tetapi disebabkan kami sememangnya meminati seni unik, maka terhasillah Kotak Teduh menggunakan dua kontena yang berkeluasan 30 x 60 kaki persegi menjadi sebuah kediaman yang unik dan menarik," katanya.

Hiasan dalam minimalis tampak mewah dan menyamankan.
Hiasan dalam minimalis tampak mewah dan menyamankan.

Berita Harian X